Series
2283
FIGURA gadis bertudung manis dalam jubah graduasi ditatap bersama linangan air mata. Tidur semalam pun dia mendakap sekeping gambar tidak bernyawa itu. Hati tuanya dirobek hiba teramat. Semangatnya hilang, tenaganya juga hilang.
Anita yang berlunjur di atas katil, mengusap foto anak kesayangannya.
Anaknya yang manja tingkah, anaknya yang lembut bicara, anaknya yang baik pekerti, anaknya yang solehah...
"Ya Allah..." rintihnya menggosok dada sendiri. Memikirkan takdir malang anaknya, Mariana.
Sedetik, bayangan Humaira melintasi layar mata. Serta-merta tangisan terhenti dibalut amarah.
Yaya... Tergamak anak itu menconteng arang di mukanya. Setelah dia beri rumah untuk berlindung, setelah dia beri makan dan minum, setelah dia beri didikan agama yang cukup.
Di mana salahnya? Apa kerana darah keturunan? Jadi walau dia asuh dengan baik sekalipun, hujungnya tetap terpesong?
Angkara Yaya... Angkara perbuatan terkutuk Yaya, anaknya yang tak berdosa menjadi mangsa!
"Allah, Ana..." Dia menangis sekali lagi dek kecelaruan dalam jiwa. Tak sanggup rasanya ingin meneruskan hidup sehari-hari.
Tok. Tok. Bunyi ketukan di pintu membuatkan Anita segera menyeka air mata.
"Abang long masuk ya." Suara itu disusuli kuakan pintu. Batang tubuh Rosdan muncul mendekati katil.
"Mak..." Suara garau Rosdan rendah kedengaran sambil dia melabuhkan punggung di atas birai katil.
"Mak nak makan tak? Abang long hidang dalam bilik nak?"
Sugul Anita menggeleng. Mati sudah seleranya nak menjamah walau sesuap nasi.
Rosdan akur. Tiada guna dia memaksa jadi dia biarkan saja.
"Mak... Untuk tahlil malam ni, abang long dah uruskan kita buat kat masjid kampung. Makanan abang long tempah je siap bungkus, hantar ke masjid."
"Babah abang long mana?"
Giliran Rosdan pula menggeleng. Babahnya tidak kelihatan sejak pengebumian Mariana dan ia bukanlah hal yang aneh. Sememangnya babahnya selalu menghilang, berada di rumah sekejap sekejap saja. Suara pun jarang sekali kedengaran.
"Mak nak abang long telefon babah ke?"
"Tak payahlah, long. Babah pun mesti tengah bersedih. Nanti dia baliklah tu."
"Mak." Tiba-tiba suara lain mencelah tanpa salam.
Terjongol Aslam di muka pintu dengan rambut ikal separa atas bahunya itu. Tersengih-sengih tanda datang berhajat.
"Mak, pinjam lima puluh. Angah nak pergi ke bandar dengan Farid," kata Aslam tanpa rasa segan.
Mendengar itu, Anita lantas meraba bawah bantal sebelahnya sementara Rosdan mengeluh perlahan.
"Angah nak pergi bandar buat apa? Lagi satu, bukan ke mak dah bagi duit baru-baru ni. Dah habis ke?" omel Rosdan tak betah dengan sikap boros adik lelakinya.
Tapi kerana perwatakannya yang baik dan tidak pernah marah, omelannya langsung tak memberi kesan pada Aslam.
"Duit sebelum ni angah guna buat baiki motor. Dah habislah, abang long," balas Aslam sambil laju menyambut wang kertas daripada tangan Anita.
"Thank you, mak. Angah pergi dulu, bye!" Berdesup dia pergi mengundang gelengan Rosdan.
Belum sempat Rosdan ingin menasihati emaknya tentang Aslam, anak kecil berambut ikat dua pula datang mencelah.
"Abi..." Sofea, anak sulung Rosdan memanjat paha Rosdan.
"Ada orang datang..." Petah bicaranya walau baru berusia empat tahun.
Rosdan pandang emaknya sekilas sebelum kembali pada Sofea. "Siapa? Kakak kenal tak?"
Sofea angguk. "Cikya..."
Prang! Bagai disambar kilat tepat di kepala Anita mendengar jawapan cucunya. Tak lambat sesaat wanita itu melompat turun dari atas katil menuju ke luar.
Rosdan dukung Sofea, mengejar langkah emaknya.
Sesampai di pintu rumah, terjegil mata Anita melihat Humaira tercegat di beranda rumahnya. Hampir rebah dia tatkala sedar Humaira tidak datang bersendirian. Sempat dia meliarkan anak mata, takut ada mata jiran-jirannya memandang.
"Anak tak kenang budi, kau Yaya!" hambur Anita mengejutkan Amira yang juga berada di beranda.
Bingung Amira dengan reaksi mak mentuanya terhadap kepulangan Humaira. Lebih bingung dia melihat Humaira yang seolah sudah bersedia akan reaksi mentuanya. Tambah bingung lagi kerana bayi kecil dalam dakapan Humaira. Apa sebenarnya yang sedang berlaku?
"Mak..." Humaira akhirnya bersuara walau tidak berganjak. Enggan menangis namun bola matanya berkaca menanti pecah.
"Sudah!" tepis Anita mengalirkan air mata berbaur amarah. Mungkin terselit kebencian. "Aku tak ada anak buta agama macam kau, Yaya. Aku tak ada anak yang begitu jahil sampai tergamak lahirkan anak luar nikah!"
Tajam sungguh kata-kata Anita menikam dada Humaira. Mata yang berkaca, pecah jua. Berebut-rebut cecair jernih keluar membasahi pipi. Jauh di sudut hati, dia bersyukur kerana bukan Mariana yang perlu mendengar segala ucapan menyakitkan ini.
"Pergi, Yaya. Jangan kau tunjuk lagi muka kau depan aku. Jangan kau jejak lagi tanah aku."
Suara Anita kali ini membuatkan Humaira tersentap. Bulat matanya memandang wanita yang dianggap ibu sendiri. Tak sedar kakinya menapak ke arah muka pintu di mana Anita berdiri.
"Mak... Tolong jangan buang Yaya. Yaya tak ada sesiapa dalam hidup Yaya," rayu Humaira benaran terdesak. Tanpa Mariana, ke mana dia dan Maryam boleh tumpang berlindung?
Amira yang sedari tadi menjadi penonton, terlopong mulutnya dalam tidak percaya. Dia bahkan cuba mencari mata suaminya di belakang mak mentuanya tapi suaminya cuma memandang ke arah Humaira.
"Mak..." rintih Humaira sayu. Tangisannya mendayu saat lututnya bertemu lantai. Sebelah tangan cuba memeluk betis Anita namun Anita lebih pantas berundur selangkah.
"Jangan panggil aku 'mak'!" jerkah Anita kuat.
Sofea yang tak pernah melihat neneknya meninggikan suara, ketakutan memeluk leher Rosdan.
Tangisan Anita dan Humaira saling bertingkah.
"Kau... kau dah conteng arang di muka keluarga aku, Yaya. Kau tak ingat ke siapa yang bela kau selepas mak ayah kau mati? Kau langsung tak rasa bersalah ke malukan kami sekeluarga?"
Sesungguh hati Humaira menggeleng dengan muka merah menyala. Tak sesaat pun dia lupa jasa keluarga Mariana membesarkannya, demi Allah.
"Maafkan Yaya, mak... Ampunkan Yaya..."
"Aku cakap sudah!!" Bagai hilang kewarasan, Anita berpekik kuat sambil menendang sekali kepala Humaira.
Terlentang Humaira ke belakang sekali gus mengejutkan Rosdan dan Amira.
"Mak!" Laju Rosdan cuba menghalang emaknya dengan berdiri di depan emaknya itu.
Sepertinya Anita benaran sudah menggila kerana dia bertindak menepis tubuh tinggi Rosdan lalu menerkam Humaira. Direntap tudung sarung Humaira lalu dia tarik rambut Humaira sekuat hati.
Humaira tidak mampu melawan jadi sedaya mungkin dia peluk Maryam agar anaknya terlindung daripada secoet luka. Pedih di kulit kepalanya membuatkan matanya terpejam rapat. Hidup-hidup dia diheret sampai ke laman rumah.
Ia cuma terhenti apabila Rosdan ikut campur dengan menarik tangan Anita agar melepaskan rambut Humaira.
Gila. Anita sudah gila. Lihat saja matanya yang hilang perikemanusiaan.
"Berambus, Yaya. Kau dengan anak haram kau, berambus dari sini!!"
Tempikan Anita, esakan Humaira, tangisan Maryam, rengekan Sofea. Huru-hara keadaan di laman rumah tika ini mulai menarik perhatian jiran tetangga.
Rosdan yang memegang kemas lengan Anita juga tampak lelah dengan apa yang berlaku. Lelaki itu mencari mata isterinya.
"Mira, bawak mak dengan kakak masuk bilik sekarang," arahnya lebih tegas berbanding kebiasaaan.
Dek terkejut, Amira menurut tanpa bantahan. Sedikit gopoh dia ambil Sofea daripada dukungan Rosdan lalu memimpin mak mentuanya.
"Abang long. Kalau kamu masih hormatkan mak, jangan sesekali kamu sentuh perempuan kotor tu." Sempat Anita menitip kata saat melewati bahu Rosdan. Tidak sudi lagi dia memandang Humaira.
Rosdan tidak membalas. Tercegat kecewa sehingga susuk emak dan isterinya hilang di balik pintu. Akhirnya, dia melepaskan keluhan berat.
Dia menoleh, memandang Humaira yang tersedu-sedan jelepok di atas tanah. Simpatinya tumpah bercucuran.
"Allahuakhbar..." Rosdan raup muka kusutnya sekali sebelum bergerak ke beranda dan mencapai tudung milik Humaira.
Tidak peduli tentang bisikan dan mata jiran-jiran, dia segera duduk menahan kaki di depan Humaira, menghulur tudung wanita itu.
Humaira tidak menyambut. Tangannya yang menggeletar seolah digam pada tubuh Maryam. Seolah takut ingin melepaskan tubuh kecil Maryam. Basah sepasang matanya memandang ke dalam mata redup Rosdan.
Sungguh, hancur lebur hati Rosdan membalas pandangan Humaira. Humaira yang dulu begitu polos di matanya... tak. Saat ini pun, sepasang mata Humaira sentiasa terlihat polos di matanya. Namun harus dia akui kepolosan itu dilitupi kedukaan yang tidak dia ketahui. Dia sudah gagal melindungi Mariana. Dia... tak mahu penyesalannya berulang lagi.
Rosdan merekah senyum. Dia tersenyum tapi senyumnya menebar hiba.
Rambut serabai Humaira, dia ikat semula walau tidak sempurna. Kemudian, dia sarung tudung di kepala Humaira seperti seorang ayah melayan sang puterinya. Melihat Humaira cuma membiarkan, air mata lelakinya tumpah dalam diam.
"Dah. Yaya boleh bangun tak?" tanyanya cuba menyembunyikan sebak yang memamah jiwa.
Humaira diam dulu. Tunduk mencari wajah Maryam. Anak kecil itu pun memahami. Kerana apabila Humaira menangis, dia ikutan menangis. Apabila Humaira berhenti menangis, dia juga berhenti menangis.
Humaira angkat muka, lemah mengangguk sekali.
"Abang long... Boleh tak bawa Yaya jumpa Ana? Yaya nak jumpa Ana... Tolong Yaya, abang long..." rayunya masih tidak melonggarkan pelukan tubuh Maryam.
Bagaimana mungkin Rosdan menolak permintaan Humaira? Ini mungkin pertama kali Humaira meminta pertolongannya.
"Ya. Abang long bawa Yaya jumpa Ana sekarang. Jangan nangis."
* * *
Lima belas minit berlalu, Humaira tidak berkutik langsung. Duduk bersimpuh sambil merebahkan kepala di atas tanah makam Mariana. Entah menangis, entah mengadu, entah terlena.
Rosdan hanya memerhati dari luar pagar. Berpeluk tubuh dia menyandar pada kereta Alza kelabunya. Fikirannya menerawang seketika. Memikirkan nasib Humaira selepas ini.
Ke mana Humaira akan tuju? Bagaimana dengan anak Humaira? Siapa ayah anak itu? Mampukah Humaira teruskan hidup berdua?
Perbualan dia dan Humaira di dalam perut kereta tadi masih terngiang-ngiang di cupingnya.
'Mana Yaya nak pergi? Abang long boleh hantar Yaya.'
'Jangan. Abang long ingat pesan mak kan? Yaya tak nak sebab Yaya, hubungan abang long dengan mak renggang.'
'Habis tu Yaya nak pergi mana?'
'Yaya... nak pergi stesen bas. Kat sana nanti...'
Sepi. Tanda Humaira sendiri tidak tahu arah tujuannya.
'Abang long boleh sewakan rumah untuk Yaya kat bandar.'
'Jangan! Yaya tak nak buat mak marah. Yaya... Yaya akan cari tempat Yaya sendiri.'
Hah... Rosdan melepaskan keluhan panjang. Dia raup muka sampai ke kepala. Serabut...
Baru saja dia mahu melempar pandangan ke arah Humaira, dilihat Humaira sudah menyusun langkah ke arahnya. Semakin dekat, semakin jelas muka wanita itu sembap kemerahan.
"Abang long..." Serak suara Humaira menyeru. Senyuman terlukis nipis.
"Terima kasih sudi bawa Yaya jumpa Ana. Yaya tak akan lupa jasa baik abang long pada Yaya."
"Mm. Yaya boleh minta tolong abang long bila-bila masa saja. Jangan pernah rasa terhutang budi dengan abang long."
Humaira senyum, tidak mengiakan. Sampai mati pun dia akan kenang budi abang long...
"Yaya." Rosdan cepat-cepat bergerak ke tempat duduk pemandu untuk beberapa detik sebelum kembali berdiri di depan Humaira. Lelaki itu menghulur sekeping kertas putih kepada Humaira.
Lambat-lambat Humaira menyambut tapi matanya melekat pada wajah lembut Rosdan.
"Abang long dah telefon teksi untuk hantar Yaya ke stesen bas. Nanti kalau Yaya tak tahu nak pergi mana, abang long mohon, Yaya hubungi nombor yang abang long bagi. Itu kawan abang long di Kuala Lumpur. Cakap Yaya adik abang long. Jangan risau, abang long akan maklum dia dulu untuk bantu Yaya," ujar Rosdan menjawab persoalan Humaira.
Humaira diam ditiup rasa sebak dan terharu. Sejauh ini Rosdan ingin menolongnya....
Air matanya mengalir untuk yang kesekian kali.
"Abang long."
"Ya?"
"Yaya ada satu permintaan terakhir."
"Permintaan apa, Yaya?"
Dada Humaira sempit, jiwanya sebak. Dia pandang wajah Maryam bersama senyuman hiba.
"Boleh tak abang peluk Maryam sekali?" pinta Humaira menahan sedih teramat sehingga satu mukanya berkerut.
Untuk permintaan itu, Rosdan tak lambat sesaat. Lembut saja dia ambil tubuh kecil Maryam daripada pegangan Humaira. Senyumannya hangat, sedikit pun tak tercalit rasa jijik di matanya saat mendukung 'anak haram' seperti yang dikata emaknya.
"Siapa nama anak Yaya?" tanya Rosdan ingin tahu.
Humaira menangis. Andai saja Mariana dapat melihat anaknya dalam dakapan abang kesayangannya, pasti Mariana pun tersenyum bahagia.
Dalam esakan, Humaira menyentuh dada Maryam.
"Maryam..."
Rosdan angguk. Mengucup kasih ubun-ubun Maryam.
"Maryam... Membesarlah dengan sihat. Pak long doakan Maryam jadi anak solehah buat ibu Maryam."
Share this novel
knape buat kita menangis ni ?
yaya.. polos mu memilukan hati..
kesian yaya?