Series
2283
"SAKIT tak kalau Yaya tekan kuat macam ni?" tanya Humaira sambil menekan dua ibu jarinya pada labu betis Mariana.
Suasana bilik agak samar kerana lampu rosak jadi cuma ditemani lampu suluh yang juga hampir kehabisan bateri.
Mariana yang sedang duduk belunjur di atas tilam, geleng. Ralit wanita itu mengunyah asam limau kering.
Tersenyum Humaira melihat teman sejak kecilnya itu berehat. Jemari runcingnya tidak berhenti memicit-micit labu betis dan kaki Mariana.
"Malam ni pun Ana kena kerja ke?" Dia bertanya lagi.
"Ya... Bos aku tu, selagi aku tak beranak, selagi tulah suruh aku kerja," balas Mariana membayangkan muka gila duit bos Cinanya, Mr. Lee.
Pelanggan yang datang ke tempat peranginan bosnya, bukan orang biasa-biasa. Kebanyakan mereka jutawan dengan hobi dan minat aneh. Tak perlu dia jelaskan kepada Humaira bahawa bayara diterima sebagai pengiring lebih mahal ketika dia mengandung. Perempuan sepolos Humaira tidak akan mengerti.
"Hmmm... Kalau Yaya ganti Ana kerja dulu boleh?"
Berkerut dahi Mariana kali ini mendengar permintaan Humaira. Dipandang mata bening Humaira beberapa detik sebelum melepas keluhan pendek. Dia sandar kepala pada dinding batu, air mukanya seperti biasa. Sentiasa tampak sebal.
"Tak payahlah, Yaya. Tempat tu tak sesuai untuk kau."
Muncung pendek muncul di wajah cantik Humaira. Dia cuma ingin mengurangkan beban Mariana. Kandungan Mariana sudah masuk usia tujuh bulan tapi Mariana masih perlu keluar malam balik pagi. Hatinya sedih tiap kali melihat kedua-dua kaki Mariana bengkak sepulang kerja.
Melihat itu, Mariana lantas bersuara. "Kat sana, ramai orang tak baik, Yaya. Orang baik macam kau, jangan pernah dekat tempat tu. Even Sarif pun, kau jangan dekat. Aku bagi nombor telefon dia kat kau, supaya senang kalau apa-apa jadi. Tapi kau jangan layan dia kalau dia cuba contact kau nak menggatal, nak beri tawaran kerja atau pinjaman duit."
Jeda sebentar. Ditatap wajah indah Humaira yang tekun mendengar bicara panjangnya. Jauh di lubuk hatinya, dia mahu sepasang mata Humaira, kekal polos selamanya. Tidak tercela seperti hidupnya ini.
"Dalam dunia ni Yaya, tak ada apa yang percuma. Kau kena ingat pesanan aku sampai kau mati. Kalau someone beri kau sesuatu, maknanya dia pun nakkan sesuatu sebagai balasan. Sama ada daripada kau sendiri atau daripada orang lain. Jadi kau, jangan percayakan sesiapa pun dalam dunia ni."
"Termasuk Ana?" Laju Humaira menduga.
Mariana tersenyum senget. Lambat dia mengangguk. "Termasuk aku. Kau nampak sendiri kan? Aku bawak kau dari kampung, datang sini untuk bela anak dalam perut aku ni nanti."
"Mm mm," gumam Humaira menggeleng tanda menepis ucapan Mariana. "Ana bawa Yaya keluar dari kampung sebab tak nak Yaya selamanya duduk bawah kawalan mak, kan? Yaya tahu... Dan Ana bukan perlukan Yaya untuk jaga anak Ana saja."
Dia menurunkan betis Mariana daripada ribanya lalu dia merangkak untuk duduk di sisi Mariana. Kepalanya dia sandar pada bahu Mariana. Senyum dia mengusap-usap perut bulat Mariana.
"Tapi untuk teman Ana. Ana mesti takut, kan? Tinggal kat tempat ni sorang-sorang.... Pertama kali mengandung, pertama kali akan melahirkan," sambung Humaira separa berbisik.
Matanya yang entah bila berkaca, menumpahkan air mata. Hiba meruntun jiwa. Mariana masih muda. Sekuat apa pun Mariana pada luaran, Mariana tetap gadis kecil di matanya. Bagaimana gadis kecil mampu melahirkan sendirian? Bukankah itu amat menakutkan...
Ketelusan Humaira meniup kehangatan di hati Mariana. Mariana bukan jenis cengeng jadi dia ketap gigi sekuatnya, bawah dagunya bergetar. Tunak matanya melekat pada tangan Humaira di perutnya.
Apa dia perlukan seseorang untuk menemaninya?
Entah...
Apa dia takut?
Ya...
Dia takut. Membayangkan satu nyawa lain berada di dalam tubuhnya, buat dia takut. Membayangkan sakit untuk melahirkan, buat dia takut. Bagaimana kalau sakit itu di luar kemampuannya? Bagaimana kalau berlaku kesilapan ketika pembedahan? Bagaimana kalau dia mati melahirkan? Sungguh, dia takut...
Akhirnya, cecair jernih yang dihalang tumpah, mengalir jua di kedua-dua pipi. Esakan halus dilepas tanpa rasa segan lalu dia raih tapak tangan Humaira dan tekap tapak tangan itu di pipi basahnya. Seperti anak kucing yang memerlukan kehangatan ibunya.
"Kalau kau tahu aku takut, kau jangan tinggalkan aku. Jahat macam mana pun aku, jangan pernah tinggalkan aku, Yaya."
* * *
Gedebuk!
Lutut Humaira menghempas tanah. Betul-betul di bahu jalan menyebabkan lututnya luka kerana impak jatuh di atas batu-batu kecil. Namun rasa pedih itu tidak terasa sama sekali.
Dua mata Humaira luas, tidak berkedip. Seluruh tubuh menggigil bersama rembesan air mata deras. Sesaat pandangannya kabur, sesaat ia kembali jelas. Jelas melihat sekujur tubuh Mariana terbaring di atas kolam merah pekat. Dia sudah tidak nampak manusia lain yang mengerumuni Mariana. Yang dia nampak cumalah Mariana seorang. Suara-suara sekeliling sayup dan bergema. Bingung... Kepalanya bingung.
Ya Allah, apa aku sedang bermimpi? Aku sedang tidur menanti Mariana pulang kerja, kan?
"Hoi!"
Humaira tersentap. Satu suara dan goncangan di bahu kirinya merentap dirinya yang hampir hanyut dibawa kejutan.
"Tu kakak kau kan? Bilik 206, tingkat atas." Lelaki berseluar jean tanpa baju mengenali Humaira walau salah anggapan kalau Mariana itu kakak Humaira.
Bagai tersedar daripada mimpi, Humaira mengemaskan pelukan agar Maryam tidak terlepas. Lalu dia cuba bangun namun serta-merta jatuh semula. Lututnya kendur, sendinya tidak berfungsi.
"Ana..." serunya hampir tenggelam dek sebak memakan jiwa. Semakin deras air mata mengalir.
Dilihat tangan longlai Mariana seperti melambai ke arahnya jadi dia cuba bangun untuk kedua kali, gagal lagi.
"Ana..." Pantas dia memaksa kudrat bersisa untuk bergerak secara melutut. Melutut, tersungkur, melutut lagi sehinggalah tiba di sisi tubuh Mariana. Hangat darah menyentuh kulitnya.
"Allah... Allah... Ana..." Nanar mata hitam melihat keadaan Mariana. Kaki kiri terletak dalam posisi berlipat, terpampang tulang keluar menembusi isi. Darah membasahi dari hujung rambut ke hujung kaki.
Panik, takut, bingung, bercampur-aduk rasa dalam isi perut Humaira.
"Ana... Yaya ada ni, Ana jangan takut." Entah dari mana kekuatan dia dapat untuk menuturkan kata itu kerana dirinya sendiri menunggu detik untuk pitam. Degup jantungnya kencang bagai dikocak.
"Ma..." Mulut Mariana yang mengeluarkan darah, terbuka seolah mahu berkata sesuatu. Tampak menyeksakan.
Melihat itu, sebelah tangan Humaira yang menggeletar hebat, segera memegang tangan Mariana. Mukanya didekatkan dengan bibir Mariana.
"Maryam. Su... su Maryam."
Humaira angguk laju, teresak-esak dia menangis. "Ada. Yaya nampak susu Maryam. Ana beli untuk Maryam ya? Nanti Yaya bagi Maryam. Ana sabar, jangan pejam mata dulu. Tunggu ambulans datang, kita pergi hospital."
"Yaya..." Bagai nak putus nyawa setiap perkataan keluar daripada mulut Mariana namun ibu muda itu gagah ingin meninggalkan kata.
"Tolong... jangan mak..."
"Hm? Ya? Mak? Ana nak jumpa mak?" Begitu terdesak Humaira mahu mendengar Mariana. Dirapatkan lagi jarak antara mereka, air matanya pun tumpah di atas kulit muka Mariana.
"Jangan... mak... tahu. Mak ma... lu. Maryam... anak kau."
Humaira cemas. Dadanya berombak dan nafasnya laju. Otaknya tak mampu memproses apa yang telinganya dengar.
Sesaat, terasa tangannya dicengkam Mariana.
"Janji... anak kau... Maryam."
Bagai belatuk, sesungguh hati Humaira mengangguk. Merah padam seluruh muka. "Yaya janji. Maryam anak Yaya dan Yaya takkan biarkan mak tanggung malu. Yaya akan jaga nama baik Ana dan keluarga Ana. Yaya janji."
"Hah..." Mariana tersentap bagai ditarik roh daripada jasad. Matanya buntang ke atas, mengeluarkan air mata. Bunyi nafas tersekat-sekat.
"Ana... mengucap, Ana." Humaira cium tangan Mariana, takut dan terdesak.
"Allah... Allah... Allah..." Dia cuma mampu bisikkan kalimah Allah di cuping telinga Mariana. Selang seli suara esakannya sendiri.
Beberapa saat sahaja, sepi. Tiada lagi suara erangan Mariana, tiada lagi cengkaman di tangannya.
"Uwaahhh!!" Nyaring tangisan Maryam menutup segalanya.
Kali ini, Humaira tidak memujuk Maryam. Pandangannya kosong, jiwanya kosong. Dipandang saja wajah Mariana di depannya tanpa sebarang bunyi. Lama...
Mungkin kalau dia pejam mata dan buka semula, dia akan terjaga daripada mimpi buruk ini.
Mm. Dia akan pejam matanya sekarang... dan bila dia terjaga, Mariana ada di atas tilam. Sedang tidur kerana kelelahan.
Dia akan pejamkan matanya sekarang.
Satu...
Dua...
Tiga.
* * *
Mariana tidak tidur di atas tilam kelelahan. Mariana terbaring kaku di atas katil bilik kecemasan, ditutupi kain putih. Tidur selamanya...
Hampir lima belas minit berlalu, Humaira masih tercegat di sisi katil. Mendakap tubuh kecil Maryam yang terlena kerana penat menangis. Dia merenung lama kain putih yang menutup wajah Mariana. Air mukanya kosong, air matanya juga kering.
Mariana benaran telah tiada. Mariana sudah pergi meninggalkannya dan Maryam. Bagaimana dengan hidupnya sekarang? Bagaimana dia nak teruskan hidup tanpa Mariana?
Humaira menjuih, cuba menahan air matanya tumpah lagi. Dia yakin empangan sudah kering tapi dalam hatinya ini, terasa amat sakit dan sebu. Bola matanya pun pedih.
Ternyata tangannya masih menggigil. Perlahan-lahan, dia sua tubuh Maryam ke arah Mariana. Dia tunduk dan meletakkan tubuh Maryam dia atas dada Mariana berlapik kain putih. Kemudian, kepalanya direbahkan di sisi kepala Maryam. Matanya dipejam, membayangkan kalau Mariana bernafas seiring nafasnya.
Lama...
Share this novel
?