BAB 4

Romance Series 2283

USAI membuat bayaran di kaunter, Anita mencapai dua plastik berisi barang dapur dari atas meja kaunter lalu berjalan keluar lewat pintu utama pasaraya mini.

Ketika hendak menuju ke arah kereta yang suaminya parkir di tempat parkir pasaraya, seorang wanita berjubah merah jambu menyergah dari tepi. Mujur tak terlepas plastik di tangannya.

"Ya Allah... kau ni, Milah. Buat terkejut aku saja hah." Anita menggosok dada sendiri membuatkan kawan sekampungnya, Milah, ketawa besar.

"Beli apa, Nita? Datang dengan siapa?" Milah bertanya sambil meliarkan anak mata sekeliling. Kawasan pasaraya tika ini tak ramai orang pun.

Mereka tinggal di kawasan Felda Taib Andak, antara kawasan peneroka paling kecil di negeri Johor ini jadi memang tak sesibuk bandar lain.

"Abang Borhan ada tu hah, dalam kereta. Saja aku beli barang dapur sikit... menantu aku cakap nak buat kek marble petang karang."

"Amboi... bertuah dapat menantu rajin. Kalau orang lain, anak jantan nikah dengan orang bandar, mesti dah pindah keluar kampung tak pandang belakang. Ramai menggelupur nak duduk bandar besar. Tapi ini tak, bagus betul menantu kau kan?" Melambung pujian Milah sambil memegang lengan Anita.

Dah dipuji begitu, kembang kempislah hidung Anita jadinya. Senyum sampai ke telinga wanita bertudung labuh itu.

Tak cukup dengan memuji menantu Anita, Milah sambung lagi. "Kau memang bertuah, Nita. Anak sulung kau kerja pegawai, menantu kau orang bandar, rajin pulak tu. Ana, muda-muda dah pegang jawatan tinggi. Kerja apa dia? Pengurus?"

"Pengurus hotel mewah," tokok Anita konon segan tapi hakikatnya, hatinya berbunga dituai kata puji.

"Ha, pengurus hotel. Aku tengok dalam TV, hotel dekat Genting Highlands tu besar betul, Nita... Macam luar negara. Uish. Hebat sungguh kau didik anak-anak kau."

"Biasa je, Milah... Rezeki diaorang..."

Milah angguk tapi sedetik, wanita rendah dan kurus itu mendekatkan jarak antara mereka. Sekali lagi meliarkan anak mata sekeliling. Nampak gaya, macam nak sampaikan rahsia sulit negara. Setiap kali dia bergerak, perhiasan emas sekerat lengan yang dia pakai, berlaga mengeluarkan bunyi.

"Kau tahu tak yang Soraya, anak nombor tiga Zaiton tu dah kahwin?" bisik Milah dengan mimik muka sekali.

Anita diam sejenak, mengimbas wajah Zaiton yang tinggal selang beberapa rumah saja dari rumahnya. Kemudian, barulah dia angguk.

"Tapi majlis dia buat di rumah lelaki kan?"

"Haaa... Itu yang kau tak tahu. Rumah lelaki apanya? Soraya tu satu-satunya anak perempuan Zaiton, Nita oi... Kalau Soraya kahwin, aku rasa tiga ekor lembu pun tak cukup Zaiton buat makan. Tapi kau tak pelik kenapa dia tak buat majlis kat sini?"

Tak tunggu Anita memberi respon, Milah rancak menyampaikan berita. "Soraya... kena tangkap basah dengan laki orang di hotel!"

"Astaghfirullah... Betul ke, Milah?" Tangan Anita spontan menutup mulut sendiri, terkejut dengan berita didengar. Dia kenal Soraya tu sejak lahir lagi. Soraya kawan sekelas Mariana, baik saja budaknya.

"Takkanlah aku nak tipu kau, Nita. Anak menakan aku kerja pejabat agama kat sana. Dia yang bagitahu aku, siap hantar gambar. Ya Allah... mintak selisih malaikat empat puluh empat. Dahlah buat maksiat, maksiat dengan laki orang pulak tu. Malu Zaiton tujuh keturunan."

"Macam tak percaya aku, Milah. Hmh... Mungkin ini ujian buat Zaiton sekeluarga."

"Sebab tu aku kagum dengan keluarga kau. Jangankan anak-anak kandung kau. Anak angkat kau pun elok perangainya."

Senyum Anita kembali meleret, perlahan saja dia angguk tanda mengiakan kata Milah.

"Eh. Kau cakap laki kau dalam kereta kan? Pergilah. Aku pun nak masuk cari beras. Cucu-cucu aku kat rumah tu dah macam jengkaut. Makan tak berhenti, seguni beras pun tak cukup sebulan. Aku masuk dulu," pamit Milah dengan gopoh sekali.

Anita tidak sempat membalas, dia atur langkah ke arah kereta suaminya, Borhan. Dilihat suaminya ralit menekur skrin telefon sampaikan langsung tak angkat muka memandangnya.

Sebaik menghenyak punggung di atas kusyen sebelah pemandu, telefon bimbitnya menjerit lantang. Dia letakkan plastik dekat kaki lalu mengeluarkan telefon bimbit daripada beg tangannya. Melihat nama 'Abang Long' tertera di skrin, dia segera sambut panggilan.

"Helo? Mak?" Suara Rosdan dari hujung talian menyapa telinganya tanpa salam.

Hairan Anita dibuatnya. Rosdan sentiasa tenang beri salam. Tapi saat ini, kedengaran agak lain nada suaranya.

"Ya, long... Mak ni. Ada apa telefon mak?"

"Mak ada kat mana? Babah ada dengan mak ke?"

Anita menoleh ke arah suaminya yang acuh tak acuh, masih menekur telefon.

"Ya, mak dengan babah pergi Maju Mart. Baru keluar ni hah. Ada apa, long? Risau pula mak."

"Mak... balik sekarang boleh?"

Debar mencuit hati Anita. Dia sudah dapat rasakan sesuatu yang tidak kena. Firasatnya tidak salah. Dua tiga hari sudah dia dihambat rasa tak nyaman.

"Long... cakap dekat mak betul-betul. Apa berlaku, long?"

Sepi...

"Along!"

"Yaya baru je call along. Ana... accident, mak."

* * *

Humaira telan liur, terasa kesat. Dia belum meneguk setitis air sejak pagi tadi. Mujurlah ada insan baik hati sudi menghulurkan bekas berisi separuh susu formula kepadanya. Mungkin kerana wanita itu kasihan melihat Maryam merengek lapar jadi wanita itu beri saja susu anaknya kepada Maryam. Dapatlah dia bancuh susu baru buat Maryam.

Jam 1:20 tengah hari, dia masih duduk menyandar di atas kerusi batu luar bilik Unit Forensik. Proses bedah siasat selama hampir tiga jam sudah selesai dilakukan. Sekarang dia menanti keluarga Mariana datang untuk proses pengecaman. Sebelum bedah siasat dimulai, dia sendiri sudah jalani proses pengecaman tapi kakitangan forensik perlukan waris terdekat untuk buat pengecaman sekali lagi sebelum proses penuntutan jenazah.

Darah di pakaiannya sudah kering namun perasaannya masih di awang-awangan. Seketika bagai bermimpi, seketika realiti bertiup. Seketika dia termenung, seketika dia menangis.

Matanya bengkak, bola matanya merah. Kulitnya pucat, bibirnya kering. Dalam pelbagai mainan jiwa berbisik, tidak sesaat pun dia melepaskan tubuh Maryam. Walau dikala dia hanyut dibawa perasaan, Maryam tetap didakap kemas.

Maryam...

Humaira tunduk, menatap wajah kecil Maryam. Maryam yang tidak mengerti kedukaan dia tanggung saat ini, tersenyum menampakkan lidah merah. Untuk itu, Humaira balas dengan senyuman hiba. Jemari yang gigil, dia angkat perlahan dan dia sentuh hujung hidung Maryam.

"Anak ibu..." bisiknya bersama tetesan air jernih. Esakan sayu terbit lagi. Muka pucatnya sekelip mata merona merah.

Tubuh kecil Maryam didakap lebih erat, tubuhnya digerakkan ke depan dan ke belakang seperti buaian. Sebak memalu dada, tangisan semakin jelas.

"Maryam anak ibu... Maryam anak ibu..."

Serta-merta dia mematikan tangisan. Dinding bibir bawahnya digigit.

Mulai detik ini, Maryam ialah anaknya. Bersumpah nyawa, akan dia jaga dan lindungi Maryam sampai ke akhir hayat. Dia perlu kuat. Demi Maryam, dia perlu kuat.

"Yaya!" Satu suara bergema di koridor panjang.

Humaira menoleh dan pandangannya bertunak pada wajah yang dikenali.

"Mak!" Laju Humaira bangun meluru ke arah Anita yang diekor Rosdan dan Borhan.

Baru saja Humaira hendak memeluk Anita, Anita mencengkam dua lengan Humaira. Nanar mata wanita seperti orang hilang arah.

"Mana Ana? Ana... Ana anak mak mana, Yaya?" soal Anita yang dari awal menolak hakikat meski mereka berdiri di depan bilik Unit Forensik.

Humaira yang merasa sakit dicengkam lengan, sedikit berkerut mukanya. Dia pandang Rosdan di belakang Anita.

Mengerti pandangan itu, Rosdan maju selangkah seraya menarik tubuh emaknya agar melepaskan lengan Humaira.

"Bawa bertenang, mak."

"Tak... Yaya... Cakap. Mana Ana? Ana tunggu mak dekat mana? Dalam bilik doktor ke?"

"Mak..." rintih Humaira tak betah melihat keadaan wanita yang dianggap seperti ibu sendiri. Dia ingin melutut, dia ingin memohon ampun sesungguh hati.

"Yaya..." Tenang suara Rosdan kedengaran. "Apa yang dah berlaku dah macam mana dengan jenazah Ana sekarang?"

"Jenazah?" Anita kaget. Luas matanya mencari muka anak sulungnya yang tampak tak bersalah menuturkan kata mengarut sebegitu.

"Jenazah siapa? Mengarut apa kamu ni, along?"

Rosdan kuatkan hati, tidak membalas soalan emaknya. Dia kekal memandang Humaira.

Dalam sedu-sedan, Humaira kesat muka yang basah.

"Waktu balik kerja pagi tadi, Ana dilanggar kereta. Yaya tak nampak tapi Yaya dengar dari dalam bilik. Bila Yaya turun, Ana..." Jeda sebentar dek sebak mengimbas apa yang berlaku.

"Ana dah terbaring di atas jalan, berlumuran darah. Ana... meninggal sebelum ambulans sampai."

"Allah!!!" raung Anita memegang kepala sendiri. Berpusing pandangan, sakit dalam kepala bak dihempap batu nan besar.

"Anak aku, Ya Allah!!" Dia rebah terjelepok, ditahan Rosdan agar tidak pitam.

Hati Humaira bagai disiat-siat mendengar raungan hiba Anita. Tidak terbayang hancurnya hati seorang ibu kehilangan anak kesayangan. Seumur hidup, dia tak pernah melihat Anita menangis. Sungguh, ia amat memilukan.

Sedang Borhan cuma tertunduk sedih tanpa sepatah kata.

Rosdan seorang saja terlihat waras. Menggosok-gosok belakang tubuh emaknya, cuba menenangkan. Sempat dia memandang tubuh kecil dalam dakapan Humaira tapi dia biarkan dulu persoalan yang muncul.

"Mak..." Humaira mendekati Anita, bersimpuh agar dapat bertentang mata. "Maafkan Yaya, mak."

"Tergamak kau, Yaya..." Anita menikam pandangan Humaira, tajam penuh kemarahan.

"Aku minta tolong kau jaga anak aku, aku percayakan kau jaga tengokkan anak aku tapi kau buat apa? Kau buat anak aku mati!!!" tempik Anita sekuat hati membuatkan tangisan Maryam pula meledak. Untung saja koridor tika ini cuma ada mereka sekeluarga.

Dek kerana suara Maryam, barulah Anita menyedari bahawa Humaira tidak keseorangan sejak tadi. Dahinya berkerut.

"Anak siapa? Anak siapa kau pegang ni, Yaya?"

Humaira ketap bibir, mengawal diri daripada terus-terusan menangis sedang Maryam masih lantang mengeluarkan suara kecilnya.

"Yaya, jawab! Anak siapa kau pegang?"

"Anak Yaya!" jawab Humaira memejam rapat dua matanya. Tiada suara tangisan tapi air mata mengalir jua. "Ini Maryam, anak Yaya..."

Semua terkedu kaku. Bahkan Borhan, yang tak pernah peduli hal keluarga pun, melopong dengan pengakuan Humaira.

"Kau dah kahwin? Siapa... mana... mana bapak anak kau?"

Lantas Humaira menggeleng. Dia tidak pandai mereka-reka cerita jadi cuma gelengan itu jawapan terbaik dia boleh beri.

Gelap mata Anita melihat gelengan Humaira. Pitam. Rasa macam dia pitam beberapa saat. Bayangan wajah Mariana menerjah pandangan.

"Anak aku..." rintihnya menumbuk-numbuk dada sendiri.

"Sebab kau, Yaya. Kau yang buat dosa, kau yang buat kerja terkutuk, tapi anak aku... anak aku terkena tempias laknat Allah kepada kau!"

"Astaghfirullahaladzim, mak! Bawa mengucap, mak..." celah Rosdan apabila sedar kalau emaknya sudah berlebihan.

"Perempuan tak kenang budi!" Tanpa menghiraukan Rosdan, Anita menyumpah Humaira. Benci membakar setiap kata.

"Mak..." Humaira cuba memeluk Anita namun Anita lebih pantas menolak.

Pang!! Tamparan hinggap di pipi Humaira, tersungkur Humaira ke arah kiri. Menambah kuat suara tangisan Maryam.

"Mak, sudah!" Rosdan memegang tangan yang barusan menyentuh kulit muka Humaira. Dikerling sekilas pada babahnya yang langsung tidak ikut campur seperti patung.

"Yaya..." Anita belum selesai. Dia sudah hilang akal. "Mulai hari ini, aku buang kau daripada keluarga aku."

"Mak..." Humaira menggeleng laju, tak tertahan air matanya mengalir. Penat...

"Jangan kau tunjuk muka kau depan mata aku lagi. Jangan kau dekat dengan aku, dengan anak-anak aku. Aku jijik, Yaya. Kau dengan anak haram kau. Aku jijik!"

Share this novel

ida
2026-06-08 23:02:38 

Yaya, hebat sungguh ujian mu…

Aryanie
2026-06-08 00:26:13 

aduhai kesiannnn yaya.. sedih betul


NovelPlus Premium

The best ads free experience