Series
2283
RAZAK kecap bibir, dibalut bisikan syaitan yang mahu menodai kesucian seorang perempuan. Setapak demi setapak dia mendekati mangsanya yang ketakutan.
"Dah! Ja- jangan dekat!" Kuat suara Humaira bersama gugusan air mata. Jantung bagai nak meletup, anak mata bertunak pada Razak kerana takut jika dia berpaling sesaat, Razak akan menerkamnya.
Mungkin kerana suaranya tidak cukup kuat, mungkin kerana fizikalnya tampak lemah, mungkin kerana dia jelas terperangkap... Razak tetap menerkam ke arahnya tanpa amaran.
"Aaaa!!!" tempik Humaira sekuat hati saat tubuhya sudah terlentang di atas lantai ditindih tubuh gempal Razak.
Tangisan Maryam mencelah lantang, menambah rasa takut menggila.
"Syh... diam. Abang janji abang boleh buat awak puas," bisik Razak yang mengangkat sedikit tubuhnya agar dapat melihat muka Humaira.
Kerana Humaira meronta-ronta sehabis tenaga, dia bertindak mencengkam kedua-dua pergelangan tangan Humaira di atas kepala Humaira. Rakus dia cuba mencium muka wanita malang itu tapi gagal bila wanita itu terus terusan meronta.
"Tolong!!! Aaaa!!!" jerit Humaira lagi meski suaranya tenggelam timbul.
Semakin dia meronta, semakin kuat bebanan yang menghempap tubuh kurusnya. Serasa patah tulang rusuknya. Gila, kacau-bilau dalam otaknya. Pandangan juga kabur oleh air mata. Suara tangisan Maryam tiada tanda akan berhenti.
Allah... Selamatkanlah aku...
Krap! Separuh sedar Humaira menggigit telinga Razak sehingga rasa metalik menyentuh lidah disusuli bunyi erangan Razak.
"Sial!!" Razak angkat tubuh, memegang telinga yang bercucuran darah.
Melihat Humaira cuba mengesot ke arah tilam, pantas dia tarik kaki Humaira lalu merentap tudung di kepala Humaira. Terlepaslah hijab menampakkan rambut hitam lurus dengan ikatan longgar.
"Perempuan tak guna! Berani kau!!" Kali ini Razak duduk di atas perut Humaira seraya melepaskan dua tamparan hebat tepat ke pipi kanan Humaira.
Berdesing. Berdesing telinga Humaira dijalari rasa panas pijar di pipi kanan. Dia belum pitam namun tubuhnya longlai. Berpusing-pusing siling di depan matanya. Sakit...
Dapat dirasakan butang kemejanya dibuka satu-persatu namun dia seakan separuh sedar. Dia ingin melawan namun hujung jari pun tidak dapat digerakkan. Suara Maryam sayup-sayup bergema. Akhirnya, matanya dipejam.
Allah... selamatkan Maryam, hanya pada-Mu aku meminta perlindungan. Lindungi Maryam, Ya Allah...
Bush! Satu bunyi tendangan menerpa telinga sekaligus bebanan di atas tubuhnya hilang. Spontan matanya dibuka, luas. Dalam debaran kembali menggila, dia lihat Razak terlentang di sudut bilik sambil mengerang kesakitan.
Humaira masih terbaring, panik dan bingung. Kemudian, anak matanya beralih pada sebatang tubuh berdiri dekat Razak. Lelaki itu membelakanginya, diam saja merenung Razak.
"Keluar." Sepatah arahan keluar daripada mulut Naz. Lelaki itu meletak kaki di atas dada Razak apabila melihat Razak mencuba bangun.
Dek terlalu terkejut, takut dan keliru, Humaira malah kaku bagai patung cendana.
"Aku cakap berambus!" jerkah Naz mengejutkan Humaira.
Benaran tersedar, laju Humaira angkat tubuh. Tak endahkan rasa sakit dan pening, dia segera dapatkan Maryam. Diasak panik, dia jadi nanar tidak tahu harus berbuat apa terlebih dahulu tapi gerak-gerinya gopoh.
Dia letak semula tubuh Maryam, cepat-cepat dia capai beg galas belakang berisi dokumen penting. Tin susu disumbat ke dalam beg itu. Oleh kerana pakaian dan barangan lain memang tersimpan di dalam bagasi, dia tidak perlu kemas apa-apa. Dalam menggeletar seluruh tubuh, dia dukung Maryam, galas beg dan bimbit bagasi berodanya. Bersedia untuk memecut pergi namun sesaat, dia menoleh pada bagasi milik Mariana. Dia... tak mampu nak bawa pergi barangan Mariana.
Ah. Dia tak boleh berlamaan!
Tanpa menoleh lagi, langkah kaki dibuka besar meninggalkan bangunan motel. Rambut lurus terurai bebas bercampur keringat dan darah. Kaki tidak berlapik, berlari dan berlari seperti dikejar pemangsa. Tiada kenderaan lain, tiada manusia lain jadi dia terus berlari...
* * *
Azie mengetuk perlahan pintu kamar yang sedia terkuak separuh sebelum menapak masuk. Talam berisi roti, biskut dan air botol mineral, dia letak di atas meja lampu sebelah katil.
Dia pandang Maryam yang sedang lena. Kemudian, dia pandang pula Humaira yang duduk di hujung katil, peluk lutut sambil kepala bersandar pada dinding. Pandangan Humaira kosong tapi bola matanya berkaca. Rambut yang masih lembap seusai mandi, terbiar tak bersikat.
Ruang kamar cuma kedengaran bunyi pendingin hawa. Perlahan-lahan dia duduk di birai katil, menyentuh lutut Humaira.
Apabila Humaira memandangnya, dapat dia lihat betapa mata itu ingin melepas tangis. Begitu kelelahan. Padahal semalam, Humaira masih tersenyum melambai kepadanya.
Sungguh dia terkejut melihat keadaan Humaira petang tadi. Tercungap-cungap, ketakutan seakan dikejar hantu. Tak- lebih teruk daripada itu.
Ah, malang sungguh nasib Humaira.
"Yaya belum makan kan? Kak Zie bawakan makan untuk alas perut. Yaya makan ya?" katanya dengan nada memujuk.
Barulah Humaira memaksa segaris senyuman. Bersyukur pengurus rumah penginapan dia bekerja, Kak Azie, sudi tumpangkan dia dan Maryam di sini. Di salah sebuah rumah penginapan yang kosong. Bahkan Kak Azie menemaninya malam ini. Dia... takut untuk bersendirian di rumah asing ini.
"Maaf sebab susahkan akak," ucap Humaira hampir tidak kedengaran dek suara serak.
Pipinya bengkak, lehernya lebam, tapak kakinya luka. Suaranya juga hampir hilang. Dan semua ini berlaku dalam satu hari sahaja. Satu hari yang teramat panjang...
"Yaya betul tak nak buat report polis?"
Humaira geleng laju. Mariana selalu berpesan jangan libatkan diri dengan polis.
'Polis tak peduli tentang perempuan 'liar'. Kau ceritalah benda betul sekalipun, at the end of the day, kau yang salah. Kalau kau ada duit berkepuk, mungkin kau boleh menang. Kalau tak, jangan berangan.'
Azie terpaksa akur dengan keputusan Humaira walau tiada penjelasan. Dia selalu dengar perihal masalah di motel yang Humaira tinggal tapi tak sangka pula seteruk ini.
"Yalah. Tapi betul ke Yaya nak balik kampung esok? Tak nak tunggu sehari dua dulu? Sampai Yaya betul-betul sihat. Akak pun dah call bos. Dia cakap, dia tak kisah pun Yaya nak guna rumah ni sementara ada guest check in."
Sekali lagi Humaira geleng. Dia perlu segera pulang ke kampung halamannya. Dia perlu dekat dengan Mariana. Dia... tiada arah untuk dia tuju. Tanpa Mariana, dia tiada tempat yang dianggap 'rumah'.
Keluhan nafas panjang meluncur daripada mulut Azie. Wanita 46 tahun itu bingkas bangun, enggan berlamaan mencuri waktu rehat Humaira.
"Yaya tidurlah. Esok nak berjalan jauh, so perlu charge energy okey? Akak tidur bilik sebelah aje tau. Jadi kalau perlukan apa-apa, terus panggil akak."
"Akak." Sepantas kilat Humaira menyambar tangan Azie. Anak matanya bergetar cemas.
"P-pintu... Pintu dah kunci kan?"
Azie senyum, menepuk lembut belakang tangan Humaira seolah mahu memberi jaminan. "Mm. Jangan risau. Semua pintu akak dah lock. Suami akak pun ada kat rumah sebelah."
Mendengar itu, barulah Humaira melepaskan tangan Azie. Debaran masih bersisa tapi dibiarkan saja tubuh tinggi Azie menghilang di balik langsir.
Lambat-lambat dia mengesot ke sebelah Maryam. Duduk memeluk lutut di situ pula.
Tidur? Bagaimana mungkin dia bisa tidur sedang dia tahu jarak antara dia dan Razak tidak sebentang lautan? Bila-bila masa saja Razak boleh muncul menerkamnya, menindih tubuhnya...
Tak. Kepalanya digeleng menolak segala andaian mengerikan. Babak dia di bawah tubuh berat Razak membuatkan tangannya menggigil. Air matanya yang ditahan di depan Azie, berjujuran mengalir. Rasa sesak dalam dada, rasa sempit jiwa raga.
Berapa kali dia menangis hari ini? Tidak terkira...
Melihat wajah tenang Maryam, dia cengkam dada baju sendiri. Pedih sungguh bola matanya.
"Ana... Ana..." rintihnya dalam sunyi malam. Merintih air mata darah sekalipun, dia tahu Mariana tidak akan kembali.
* * *
"Macam mana? Mak cakap apa?" Tak menyabar Amira menembak soalan sebaik saja batang tubuh suaminya muncul di dapur.
Rosdan lepas keluhan pendek, menanggalkan kopiah di kepala. Dia geleng sekali, cukuplah sebagai jawapan.
"Tsk," decit Amira memegang kepala kerusi kayu. "Saya dah malu muka nak menjawab dekat tetamu. Mak Cik Milah, Kak Pauziah, Mak Esah. Semua tu kawan rapat mak. Malu saya bagi jawapan sama. Dorang cuma nak tengok muka mak, nak ucap takziah depan-depan..."
Panjang lebar Amira luahkan rasa tak puas hatinya. Mana tidaknya. Dahlah dia dah terkejut dengan khabar kematian Mariana, adik ipar yang baru empat kali dia bersua muka. Tak cukup dengan itu, mak, babah dan suaminya balik dengan muka yang sukar dia teka. Masing-masing tak bercakap sesama walau sepatah. Yang anehnya, mak mentuanya berkurung saja di dalam bilik sampaikan tetamu yang datang ziarah untuk bacaan Yassin pun maknya tak peduli. Selepas isyak, jenazah Mariana diusung keluar. Maknya cuma hantar jenazah ke muka pintu sebentar sebelum bertapa semula di dalam bilik sampailah saat ini.
"Apa sebenarnya berlaku, bang?" soal Amira memburu penyebab perubahan isi rumah ini. Dia tahu kalau kematian Mariana bukanlah semata-mata punca mak mentuanya jadi begitu. Pasti ada hal lain yang disembunyikan.
Rosdan cuba abaikan soalan isterinya. "Anak perempuan mak baru meninggal kan, mak masih terkejut la tu. Biarlah mak rehat, tenangkan fikiran dia dulu. Awak pun pergilah rehat sana... Tengok anak-anak kot terjaga dalam bilik tu."
"Awak jangan nak mengelak, abang. Duduk sini." Amira malah memaksa Rosdan untuk duduk di atas kerusi meja makan.
"Kenapa keluarga mak dengan babah yang lain tak datang? Awak inform tak keluarga awak semua?"
Diam tidak menjawab. Rosdan tak mahu menyatakan kalau emaknya melarang dia sampaikan khabar kepergian Mariana kepada ahli keluarganya yang lain.
Bertambah curigalah Amira melihat reaksi suaminya.
"Yaya mana? Kenapa Yaya tak balik sekali? Awak cakap Yaya yang call awak kan? Mana dia?"
"Yaya kerja... nanti dia baliklah tu..."
"Adik sendiri meninggal pun tak boleh balik kerja? Yaya? Awak jangan nak tipu saya, abang..."
Rosdan diam dengan riak jenuh nak melayan.
"Habis tu, kes accident Ana macam mana? Dah settle? Yang langgar dah kena tangkap? Boleh tak awak cerita bagi habis?"
"Nak cerita apa lagi? Saya seharian tak sempat duduk pun lagi, awak ingat saya ada masa ke nak bentang semua maklumat depan awak?"
"Jawablah saya tanya."
"Kes dah settle, mak tak nak ada apa-apa hubungan dengan yang langgar. Mak dah maafkan dan tak nak panjangkan kes."
"Hah??" Bersambung kening Amira mendengar jawapan Rosdan. Tutup kes macam tu saja?
Rosdan bangun, tidak betah serabutkan kepala lagi.
Sempat dia berpesan sebelum membuka langkah. "Saya keluar kejap. Awak jangan bangkitkan pasal accident ni depan mak. Jaga mulut awak, tolong."
"Eh. Awak ingat mulut saya ni tak ada lesen ke, tak pandai nak ja-"
Suara isterinya hilang apabila dia menutup pintu di belakangnya. Berdiri di luar pintu rumahnya, dia diam sejenak menekur tanah. Bahu yang menanggung beban sejak awal pagi, akhirnya kendur setelah tiada mata memandang.
Rosdan sarung sandal di kaki lalu menapak ke arah pangkin di bawah pokok ceri. Langkahnya tampak berat, sampai di pangkin. Dia melabuhkan punggung di situ. Hampir jam dua belas tengah malam, suasana di perumahannya sudah sunyi.
Angin malam meniup kulit muka, cengkerik bersahutan. Dia tunduk ke riba sendiri. Beberapa detik... tap. Tap. Air matanya tumpah di atas kain pelikat dipakai. Tiada suara tangisan, cuma mutiara jernih yang tidak pernah kelihatan, muncul di malam ini.
Hati dimamah hiba, bahu dihempap rasa bersalah. Gagal... dia seorang abang yang gagal buat Mariana dan Humaira.
Adiknya... Mariana sudah tiada.
'Abang long! Tengok ni! Cantik tak Ana lukis abang long?' Suara kecil Mariana bergema dalam benaknya. Bayangan Mariana berlari menyambutnya di muka pintu setiap kali dia pulang dari sekolah, berlegar di layar mata.
Bersama bayangan itu, esakannya pecah jua. Tersedu-sedan dia menangis bersaksikan bintang di dada langit.
Dia... rindukan adiknya.
Harini pun chapter air mata tapi tahan sikitttt je lagi ya. Dah tak lama sebelum hero Humaira muncul!
Share this novel
Best
Best?
ermm siapa hero yaya ni.. tak sabarrr