BAB 1

Romance Completed 8583

‘’Saya tak rasa permintaan saya ini melebih, bukannya minta tujuh dulang hati nyamuk, atau tujuh dulang hati kuman, lepas puas saya fikir ini adalah beberapa permintaan yang logik dan boleh dilakukan.

‘“Awak ni biar betul, Balqis? Bukan ke selama ni awak cakap awak tak berkenan dengan Iskandar tu. Macam mana pula awak boleh setuju nak kahwin dengan dia? Awak jangan main-main, ni perkara serius,” Liyana berjalan mundar-mandir di dalam bilik, seolah-olah dia pula yang akan berkahwin. Balqis yang baru keluar dari bilik air setelah berwuduk tertawa melihat gelagat Liyana seperti cacing kepanasan itu.

“Liyana, bertenanglah. Saya tak cakap pun saya tak berkenan dengan Iskandar. Saya cuma cakap yang saya tak nak fikir lagi soal kahwin. Itu sahaja. Kalau saya tak cakap macam tu, sampai bila-bilalah Iskandar akan mendesak saya,” Balqis mencapai telekungnya yang berlipat di hujung katil.

“Balqis, kalau Iskandar dapat tunaikan permintaan awak, maknanya awak mungkin kena kahwin dengan dia, tahu?” Liyana mengingatkan.

“Tengoklah dulu.”

Balqis menarik lengan Liyana dengan kuat, matanya merayu agar Liyana tidak beredar dari situ. Liyana mengetap bibirnya serba salah. Renungan Balqis yang tajam itu membuatkan Liyana terpaksa mengubah keputusannya untuk pergi. Dia kembali duduk di sebelah Balqis, bahu bertembung bahu. Seraya itu, Balqis pantas mengoyak senyuman lega. Keberadaan sahabat baiknya di situ sekurang-kurangnya dapat melegakan keadaan. Namun, masalah masih belum selesai. Di hadapan mereka berdua kini, seorang pemuda bermata coklat sedang merenung tepat ke arah Balqis. Pemuda Melayu kacukan Arab itu tetap tidak mahu berganjak dari tadi.

Iskandar Arif. Seorang pemuda yang sentiasa tekad dengan niat dan cita-citanya. Dia bukanlah seorang yang mudah mengalah pada keadaan. Semua yang diingininya pasti akan dapat dicapai secara cepat atau lambat. Tetapi ada satu perkara yang begitu sukar sekali untuk dimilikinya. Nurul Balqis, rakannya sejak sekolah menengah sehinggalah mereka sama-sama masuk ke universiti.

“Baiklah. Mungkin lagi bagus kalau Liyana ada sekali. Sekurang-kurangnya, dia boleh jadi saksi yang aku betul-betul ikhlas dengan kau. Balqis, ni dah kali ke berapa aku cakap pasal kahwin. Aku serius dengan kau. Aku bukannya macam Iskandar yang dulu-dulu, aku dah matang sekarang ni,” Iskandar mengerutkan dahinya. Baginya, usia yang muda bukanlah penghalang untuk berkahwin dan berjaya dalam pelajaran. Kewangannya pun cukup untuk menampung kehidupan berkeluarga.

Balqis menarik nafas panjang. Hendak pergi dari situ pun tidak ada gunanya kerana dia yakin Iskandar tetap akan menanyakan soalan yang sama sehinggalah mendapat sebuah jawapan daripadanya. “Baiklah Iskandar. Aku nak mengelak lagi pun tak ada gunanya. Betul kau nak jawapan daripada aku?” Balqis sengaja menarik tali. Iskandar mengangguk dengan wajah yang ceria. Akhirnya, Balqis akan memberikannya jawapan kepada lamarannya.

“Aku akan mempertimbangkan lamaran kau, tetapi sebelum itu aku ada lima permintaan dulu yang perlu kau penuhi dalam masa tiga bulan. Jika kau rasa tak boleh tunaikan permintaan aku, tak ada masalah,” ujar Balqis. Liyana di sebelah turut terkejut dengan pernyataan itu seperti Iskandar.

“Lima permintaan, dan kau akan kahwin dengan aku?”

“Aku akan mempertimbangkan tentangnya.”

“Baik, apa lima permintaan tu? Biar aku catatkan supaya aku tidak lupa,” Iskandar mengeluarkan buku nota kecil dan pen dari poketnya, bersedia untuk mencatat apa yang bakal dikatakan oleh Balqis.

“Baiklah. Yang pertama, setiap kali aku hantar mesej pada kau, kau harus segera membalasnya. Itu untuk membuktikan bahawa kau serius dengan aku.

Yang kedua, dalam masa tiga bulan ni, kau tak boleh pulang ke rumah ibu bapa kau atau berhubungan dengan mereka. Aku hendak pastikan bahawa kau seorang yang berdikari dan tidak bergantung kepada orang tua semata-mata.

Yang ketiga, kau tidak boleh membantu mana-mana perempuan yang lain. Itu untuk memastikan bahawa kau seorang yang setia.

Permintaan aku yang keempat, kau tak perlu mengeluarkan walau satu sen pun untuk aku dalam masa tiga bulan ni. Nanti orang fikir aku ni mata duitan pula.

Dan yang terakhir ini senang sahaja. Setiap kali kau berjalan, kau kena jalan tegak sahaja. Tak boleh bongkok. Barulah akan menyerlahkan kaliber diri kau. Itu sahaja lima permintaan aku yang perlu kau tunaikan dalam masa tiga bulan. Macam mana, boleh tak?” Balqis menghirup air sirap yang dibelinya. Iskandar menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

“Aku tak janji aku boleh tunaikan semua, tak ada diskaun ke?” Iskandar tersengih.

Liyana pula menyampuk. “Tadi bukan main semangat lagi, sekarang minta diskaun pula.” Balqis terdiam sejenak. “Baiklah. Kalau kau dapat penuhi dua atau tiga pun bolehlah. Mungkin aku akan pertimbangkan.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience