BAB 9

Romance Completed 8583

Explorace merupakan aktiviti terakhir mereka dan selebihnya hanya ceramah dan kata-kata semangat yang akan diberikan kepada para peserta. Keempat-empat wanita itu bergerak sekali, tidak mahu melepaskan keseronakan mengawasi para peserta menjalankan aktiviti. Setiap fasilitator ditempatkan di lokasi yang berbeza. Kawasan perkhemahan yang luas itu merupakan lokasi yang sangat tepat untuk menyembunyikan barang.

Iskandar setia menunggu di checkpoint jagaannya. Kumpulan yang tiba di situ perlu menjawab teka-teki yang akan disoalnya kemudian perlu mencari epal yang disembunyikan di sekitar kawasan tersebut. Setelah hampir satu jam, sudah tiga kumpulan yang menyelesaikan tugasan mereka. Kumpulan yang lain mungkin sedang melaksanakan misi di checkpoint lain.

Setelah kumpulan yang ketiga itu beredar, Iskandar menarik nafas panjang. Penat jadi fasilitator tetapi seronok. Dia berjalan sepanjang sungai sementara menunggu kumpulan yang lain mencarinya. Dari kejauhan di seberang sungai, sepasang matanya menangkap figura seorang wanita. Dia cuba menjelaskan pandangannya. Aisyah Humaira sedang bermain sendiri. Mungkin juga bosan menunggu kumpulan peserta yang tidak muncul-muncul tiba.

Iskandar memerhatikan kawasan sekeliling pula, kalau-kalau muncul kelibat peserta. Namun dalam sekelip mata sahaja dia berpaling, pada saat itu entah bagaimana Aisyah Humaira tergelincir ke dalam sungai. Mungkin kerana terpijak di atas batu-batu licin. Iskandar tergamam seketika melihat kejadian yang sedang terjadi di hadapannya. Air sungai sedang mengalir dengan deras. Aisyah Humaira sempat berpaut pada batu-batu besar dan berusaha menentang arus deras. Dia tidak menjerit meminta pertolongan kerana menyangka dia siapa yang berada di situ. Dan mungkin juga tiada siapa yang akan mengetahui di mana dia berada sekiranya dia ditolak oleh aliran air deras!

“Aisyah, pegang batu tu kuat-kuat!” teriak Iskandar. Paniknya sudah berada di tahap maksima apabila melihat Aisyah hampir-hampir melepaskan pegangannya. Iskandar perlu berfikir dengan pantas sekiranya tidak mahu Aisyah Humaira dihanyutkan oleh sungai. Untuk memanggil bantuan, mungkin memerlukan masa yang lama. Begitu juga jika dia mahu bergerak ke seberang sungai.

Aisyah cuba membantu dirinya sendiri, namun pegangannya sudah beberapa kali terlepas tetapi dia segera mencapai batu yang lain dan cuba bertahan. Kakinya langsung tidak mencecah pasir. Bermakna sungai di kawasan itu sangat dalam. Iskandar cuba merentasi sungai, berpijak di atas batu-batu besar dan perlu sentiasa berhati-hati dalam setiap langkahnya. Jika tersilap tingkah, mungkin dia pula yang akan menjadi mangsa!

“Eh, Abang Is di situlah! Tapi kenapa Kak Aisyah ada dalam sungai?” seorang peserta kumpulan yang sedang mencari Iskandar menepuk bahu rakannya, Ismail. Mereka lima orang memerhatikan kejadian yang sedang berlaku. Adakah semua itu cuma muslihat dalam explorace itu atau Abang Iskandar betul-betul sedang cuba menyelamatkan Kak Aisyah? “Itu betullah! Kak Aisyah betul-betul sedang perlukan bantuan! Kau pergi panggil fasilitator yang lain,” tegas Ismail setelah memastikan kejadian itu. Dua orang ahli pasukannya bergerak mencari pertolongan dalam keadaan cemas.

Sementara itu, Iskandar sudah berada di hadapan Aisyah. Baru sahaja dia hendak membantu, pegangan Aisyah sekali lagi terlepas. “Aisyah!” Aisyah Humaira cuma mampu berdoa dalam keadaannya yang lemah itu. Dia tahu ada seseorang yang sedang cuba menyelamatkannya namun minda sedarnya tidak dapat mentafsirkan kejadian dengan jelas ketika itu. Belakang badannya terlanggar batu besar dan serta merta Aisyah memeluknya. Seluruh tubuhnya sudah basah. Dia tidak tahu sehingga bila dia boleh beradu tenaga.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience