BAB 11

Romance Completed 8583

Program motivasi yang dijalankan oleh Iskandar dan rakan-rakannya tiga bulan yang lalu berjalan dengan lancar. Insiden Aisyah Humaira tergelincir ke dalam sungai tidak menjejaskan sebarang aktiviti yang dijalankan. Bahkan, para peserta mendapat semangat yang luar biasa setelah habis program dan mendapat banyak pengalaman yang bermakna. Tugasan mengendalikan program itu juga telah mendapat pujian.

“Saya tak habis fikir lagi tentang kejadian yang menimpa Aisyah masa di kem hari tu. Alhamdulillah Iskandar datang tepat pada masanya, kan?” ujar Liyana sambil membayar makanannya di kafetaria. Balqis tersenyum sambil mencari duit kecil di dalam dompetnya. “Alamak. Ada duit kecil tak Liyana?” Balqis masih terus mencari. Liyana juga begitu. Namun belum sempat kedua-dua sahabat itu menghabiskan pencarian, satu tangan yang memegang wang lima ringgit dihulurkan kepada pekerja kafetaria itu. Balqis dan Liyana sama-sama menoleh ke kanan. Iskandar Arif yang menghulurkan wang tersebut. “Iskandar?” Balqis terkejut. Shauki juga turut muncul di sebelah Iskandar.

“Nanti aku bayar balik,” Balqis bersungguh-sungguh. “Tak apalah Balqis. Aku halalkan. Sebenarnya ada perkara yang aku nak bincangkan dengan kau.” Balqis diam. Liyana sudah dapat mengagak hal apa yang mahu dibincangkan oleh lelaki itu. Balqis dan Liyana membawa makanan masing-masing ke meja makan. Iskandar dan Shauki sengaja mengikut.

“Balqis, dah lama aku fikirkan benda ni. Kau dengar sahaja ya apa yang aku nak cakap? Pasal lima permintaan yang kau minta aku tunaikan tu...” Iskandar teragak-agak.

“Saya dah agak dah,” Liyana menyampuk.

Iskandar meneruskan bicaranya. “Setelah tiga bulan aku berfikir, aku rasa aku dah dapat agak kenapa kau ragu-ragu dengan aku. Sejak sekolah menengah lagi aku tak habis-habis mengusik kau. Dan lima permintaan yang kau bagi pun tak dapat aku tunaikan. Permintaan kau yang pertama...” Iskandar mengeluarkan buku catatannya sebelum menyambung penjelasan. “Aku kena segera balas mesej kau. Itu pun aku tak mampu tunaikan. Aku mesti akan terlambat balas. Permintaan yang kedua juga begitu. Aku dah dua kali balik rumah ibu bapa aku sepanjang tiga bulan ni. Aku tak dapat nak mengelak. Yang ketiga, kau pun tahu kan. Hari tu aku ada tolong Aisyah Humaira, bererti aku tolong perempuan lain. Yang keempat pula baru aku buat tadi.”

“Yang lagi satu apa?” Shauki juga curi-curi lihat catatan Iskandar. “Yang kelima syaratnya aku kena jalan tegak sepanjang masa. Tapi aku dapati ada juga masa-masa yang tidak membolehkan aku untuk jalan tegak. Misalnya ketika berjalan di depan orang tua. Pokok pangkalnya, tak ada satu pun yang berjaya aku tunaikan. Dan.. aku dah fikir masak-masak. Mungkin aku ni memanglah tak boleh jadi suami pilihan kau,” Iskandar berterus-terang. Wajahnya sedikit tertunduk. Bukan mudah untuk seorang lelaki menundukkan ego memberi penjelasan sepertinya itu.

“Satu pun tak dapat kau tunaikan?” soal Liyana tekejut. Iskandar Arif menggeleng. “Aku minta maaf.” Baru sahaja Iskandar mahu bergerak pergi, Balqis menghalangnya.

“Tunggu Iskandar. Sebenarnya ada satu perkara yang kau kena tahu.”

Iskandar, Liyana dan Shauki sama-sama terkejut dan fokus pada bicara Balqis. “Semua permintaan aku itu sebenarnya satu ujian untuk memberikan aku keyakinan pada lamaran kau. Biar aku jelaskan. Yang pertama, aku minta supaya kau segera membalas mesej aku. Kau perasan tak, selalunya aku akan hantar kau mesej bila masuk waktu solat sahaja. Dan kau tak balas sebab kau sedang bersolat. Itu sebenarnya ujian untuk aku lihat sama ada kau seorang muslim yang sejati atau tidak. InsyaAllah, sekarang aku dah tahu.

“Yang kedua adalah untuk menguji sikap kau pada kedua orang tua kau. Kalau kau tak balik rumah, maksudnya mungkin kau tak pedulikan orang tua kau. Oleh itu, aku tahu kau seorang anak yang baik. Permintaan yang ketiga pula adalah untuk menguji ciri kepimpinan yang ada dalam diri kau.

Allah berfirman dalam surah an-Nisa’ ayat 36 yang bermaksud, kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan. Kau dah selamatkan nyawa Aisyah, maknanya kau seorang yang bertanggungjawab. Permintaan yang keempat pula sengaja aku reka untuk melihat kalau kau rasa ada tanggungjawab untuk membantu aku dari segi kewangan.

Dan permintaan aku yang terakhir adalah tidak lain tidak bukan untuk menguji akhlak kau. Nampaknya kau sangat berakhlak dan beradab di hadapan orang tua. Semua yang aku minta itu adalah semata-mata untuk menguji ciri-ciri suami pilihan di dalam diri kau.”

Iskandar terpana. “Wow. Sangat complicated permintaan dan muslihat kau. Tapi... apa maksudnya?”

“Maksudnya...” Balqis pula yang menunduk. “InsyaAllah aku telah yakin dengan jawapanku. Kau dah lulus ujian. InsyaAllah, aku siap untuk terima lamaran kau.” Iskandar sedikit ternganga. Tidak percaya. Tidak mampu berkata-kata.

“Dah, dah. Balqis dah jawab kan? Aku rasa lebih baik kau berdua pergi. Tak elok lama-lama di sini,” Liyana menghalau. Jauh di sudut hatinya, dia tahu Balqis sedang dicengkam perasaan malu yang teramat. Shauki menarik lengan Iskandar yang sedang terpaku. Perlahan-lahan tubuh Iskandar mengikutinya.

“Alhamdulillah, syukur! Yeah! Wohoo....” Iskandar merangkul bahu Shauki keriangan. Walaupun masih tidak percaya, dia tetap diselubungi rasa syukur. Rupa-rupanya itulah muslihat Balqis untuk menguji dirinya. Ternyata, Balqis bukannya wanita biasa tetapi wanita yang berfikiran luar biasa dan misteri. Shauki juga tumpang gembira. Impian rakannya itu dipenuhi juga akhirnya.

Di satu sudut yang lain, Nurul Balqis masih malu-malu. Liyana cuma mampu ketawa memandang Balqis. Jadi itulah muslihat yang dirancang wanita solehah itu untuk mendapatkan lelaki yang soleh. Mungkin dia juga boleh menggunakan taktik yang sama kelak. Balqis juga turut bersyukur, isi hatinya dapat diluah dengan penuh yakin. Jodoh itu mungkin jauh daripada kita, tetapi mungkin juga sangat dekat dengan kita. Allah pasti akan menunjukkan jalan untuk mengejar jodoh masing-masing yang penting usaha, tawakkal dan terus berdoa.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience