BAB 2

Romance Completed 8583

Iskandar menarik senyum sehingga menampakkan lesung pipitnya. Dia menulis sesuatu di atas buku notanya dan mengoyak halaman tersebut lalu diserahkan kepada Balqis. “Ini nombor telefon saya. Hubungilah saya bila perlu. Tiga bulan bermula dari sekarang,” ujarnya semangat lalu terus bangkit dan bergerak meninggalkan kedua-dua sahabat itu di kafetaria. Balqis dan Liyana menghantar Iskandar Arif dengan pandangan.

Sambil berjalan, otak lelaki itu ligat memikirkan kembali permintaan-permintaan yang telah dikemukakan oleh Nurul Balqis sebentar tadi. Jika dia dapat memenuhi permintaan tersebut, impiannya akan tercapai dalam masa tiga bulan ini. Sudah lima tahun lebih dia mengenali Balqis dan akhlaknya yang menepati ciri-ciri wanita solehah. Meskipun permintaan Balqis agak aneh, Iskandar yakin mampu melunaskannya. Tiga bulan, bukannya masa yang panjang.

“Iskandar!” Namanya dipanggil dari kejauhan. Iskandar menoleh dan menangkap figura Shauki, sahabatnya. “Kau menghilang ke mana? Kita kan ada musyawwarah petang ni, nak bincang tentang program motivasi tu. Kau dah lupa ya?” Iskandar menepuk dahinya sendiri. “Maafkan aku. Aku terlupalah. Sebenarnya tadi aku baru lepas berjumpa dengan Balqis dan Liyana.”

Shauki memeluk bahu Iskandar sambil ketawa kecil. “Kau ni tak habis-habis lagi ke nak melamar Nurul Balqis tu jadi zaujah kau? Dari sekolah menengah sampai masuk universiti, dia langsung tak pandang kau. Anggap kau macam kawan saja. Mungkin kau patut mengalah kali ni, Iskandar.”

Iskandar mengangkat jari telunjuk dan menggoyang-goyangkannya di hadapan Shauki tanda tidak bersetuju dengan pendapatnya. Lelaki itu kemudiannya mengukir senyuman puas hati. “Tidak, Shauki. Kali ini kau salah. Setelah berkali-kali aku cuba tanya Balqis, akhirnya Allah telah membuka pintu hatinya untuk menerima aku sebagai calon zauj dalam hidupnya.” Shauki terkejut campur tidak percaya. “Maksud kau, Balqis nak kahwin dengan kau?” Tahniah, bro!”

“Belum lagi sebenarnya, tetapi Balqis minta aku tunaikan lima perkara dalam masa tiga bulan ni, barulah dia akan mempertimbangkan nak kahwin dengan aku atau tidak,” Iskandar tersenyum gaya kemenangan.

“Lima? Kau ni dah kenapa? Cari sajalah orang lain. Ramai lagi muslimah macam Balqis di universiti kita ni.”

“Tidak, tidak, tidak. Aku tetap yakin ada sesuatu dalam diri Balqis yang membuatkan dia lain daripada yang lain. Dah lama aku menunggu, Shauki. Sudahlah, jom kita gerak ke musolla dulu, solat Zuhur. Lepas tu boleh terus pergi musyawwarah,” Iskandar menukar topik. Dia memang pakar dalam menukar topik perbualan. “Terpulanglah, Iskandar. Janji kau bahagia,” Shauki tersengih. Kedua-dua sahabat itu bergerak beriringan menuju ke musolla untuk menunaikan ibadah kepada Allah SWT.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience