BAB 5

Romance Completed 8583

Zikri dan Rafiuddin mula mengedarkan riben kepada peserta program dan mengingatkan supaya mereka tidak boleh menghilangkannya sehingga ke penghujung program. Para pelajar itu kemudian dibahagikan kepada lapan kumpulan dan setiap kumpulan mendapat seorang fasilitator. Sekiranya ada riben yang hilang, markah kumpulan masing-masing akan ditolak. Setelah mendengar arahan itu, mulalah mereka menulis nama dan mengikat riben di kepala masing-masing supaya riben tidak hilang atau tercicir.

“Baiklah adik-adik. Tugasan pertama anda adalah untuk memasang khemah dan membina tapak mengikut kumpulan masing-masing. Lokasi untuk kumpulan lelaki di sebelah kanan manakala untuk kumpulan perempuan di sebelah kiri. Anda boleh membina pagar dan juga pintu gerbang untuk khemah masing-masing menggunakan semua kemudahan yang ada di sini termasuklah batu dan batang pokok. Kemudian Abang Is dan fasilitator-fasilitator yang lain akan menilai tapak masing-masing dan memberi markah mengikut kekreatifan anda. Tugasan pertama anda bermula sekarang.”

Mendengar sahaja arahan itu, semua peserta mula berbincang, merangka strategi dan membahagikan tugasan masing-masing. Semuanya kelihatan cukup bersemangat dan bersifat daya saing yang positif. Sambil membantu kumpulan bimbingannya, Iskandar turut memerhatikan tapak tujuh kumpulan yang lain. “Buat pintu gerbang cantik-cantik sikit, mesti boleh tewaskan yang lain,” dia memberi semangat. “Baik Abang Is!”

Satu jam telah berlalu dan proses pembinaan tapak masih belum selesai. Iskandar sengaja meninjau-ninjau tapak kumpulan yang lain. “Shauki, pagar kau tak kukuh tu, baik buat lain,” sengaja Iskandar mengusik Shauki. Shauki membuat tangan menghalau sebagai amaran yang berbentuk gurauan agar Iskandar pergi dari situ. Iskandar ketawa melihat tingkah laku rakannya itu. Dia berjalan pula melintasi tapak peserta perempuan.

“Apa tengok-tengok sahaja Iskandar? Sinilah tolong angkat batu besar ni. Budak-budak aku nak buat hiasan depan khemah,” panggil Maisara sejurus melihat Iskandar. Iskandar hampir sahaja bergerak untuk membantu, namun dia teringat salah satu daripada permintaan Balqis.

“Kau tidak boleh membantu mana-mana perempuan yang lain. Itu untuk memastikan bahawa kau seorang yang setia.”

Lelaki itu teragak-agak untuk membantu. “Err... suruhlah budak-budak ni angkat sama-sama. Barulah boleh pupuk semangat berpasukan sikit. Kamu berdua, pergi angkat batu besar tu,” Iskandar sesedap hati menyuruh dua peserta perempuan melakukan tugasan itu. Maisara mengerutkan dahinya. “Minta tolong sikit pun berkira. Huh.”

Iskandar dibelit sedikit rasa serba salah dan secara tidak sengaja memandang Balqis yang memerhatikan mereka. Balqis segera pandang ke arah lain apabila perasan Iskandar melihatnya. Iskandar tersenyum dan berjalan pula ke arah Balqis dan kumpulannya. “Nak aku tolong, Balqis?” Balqis berpura-pura sibuk mengikat tali rapia untuk membina rak kasut. Wanita itu menggeleng segan. Walaupun Iskandar Arif sudah lama berkawan dengannya, Balqis tetap memastikan agar batasan pergaulannya tidak melanggar syarak. Iskandar memerhatikan ikatan longgar ranting kayu Balqis. Dia tertawa kecil.

“Salah ni kau ikat. Tengok ni, longgar,” Iskandar mengambil rak kasut yang separuh siap itu daripada pegangan Balqis dan menunjukkan cara ikatan yang betul. “Kena pusing lebih sikit. Janganlah kedekut tali sangat, panjang lagi tali tu,” Iskandar ketawa.

Balqis kehairanan. “Kenapa kau gelak?”

“Tak adalah. Comel pula aku tengok kau tak reti ikat tali ni,” Iskandar menyerahkan kembali rak kasut kepada Balqis dan pergi untuk mengusik kumpulan Liyana pula. Balqis malu sendiri. Bukannya dia tidak pernah buat rak kasut semasa perkhemahan dulu. “Kak Balqis, minat Abang Is eh?” sapa Aina, salah seorang peserta kumpulan bimbingan Balqis. Dia memerhatikan sahaja Iskandar membantu fasilitator kumpulannya itu. “Ke situ pula kamu. Pergi siapkan pintu gerbang cepat, lepas ni nak makan pula,” Balqis menukar topik. Dia memandang rak kasutnya yang belum siap itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience