BAB 6

Romance Completed 8583

Hari kedua program. Shauki berdiri tegak di hadapan semua peserta. Dia sudah tidak sabar lagi mahu mengumumkan tugasan mereka yang seterusnya.

“Baiklah. Semalam banyak yang sudah kita pelajari tentang kepimpinan dan semangat berpasukan. Ketahuilah, sesungguhnya semangat begitulah yang digunakan tentera perang dan para sahabat nabi dalam setiap peperangan sehingga berjaya menewaskan pihak musuh. Kalau tidak ada semangat nak patuhi arahan, semangat kerjasama, susahlah kamu semua nak siapkan tapak untuk khemah masing-masing. Hari ini, kita ada tugasan istimewa untuk anda semua.”

“Tugasan apa, Abang Shauki?” seorang peserta lelaki yang mempunyai tahi lalat di dagunya menyoal. “Hari ini kita semua akan menangkap ikan keli!” Mendengar sahaja ayat itu, ada peserta yang kelihatan geli dan ada pula yang sudah tidak sabar lagi.

Shauki meneruskan penerangannya. “Ikan keli yang anda tangkap itu semua akan dimasak oleh anda sendiri. Jadi kepada yang tidak tahu menyiang ikan, bolehlah bertanya kepada kakak-kakak fasilitator. Abang Shauki pun tidak tahu nak siang ikan sebenarnya. Nasi pula perlu dimasak di dalam buluh yang disediakan. Kita akan bergilir sesi. Sesi pertama peserta perempuan dulu masuk ke dalam kolam ikan keli dan tangkap ikan sebanyak mungkin. Peserta lelaki kena sediakan api dan potong buluh. Kemudian kumpulan lelaki pula tangkap ikan keli dan peserta perempuan tolong masak.”

Maka aktiviti mereka pun bermula. Peserta perempuan menuju ke kolam ikan keli yang telah dibuang sengatnya manakala peserta lelaki menyiapkan peralatan dan bahan untuk memasak. Setelah dua jam yang agak mencabar diselangi perasaan geli menangkap ikan keli, akhirnya hidangan tengah hari mereka berjaya disiapkan. Kesemua fasilitator dan peserta berkumpul di bawah khemah utama untuk makan bersama.

“Kak Balqis, siapa lagi yang kita tunggu? Kenapa belum boleh makan lagi?” soal Aina tatkala melihat semua orang tidak dibenarkan menyentuh lagi makanan masing-masing. Balqis menggeleng kepala, tidak pasti. “Mungkin itu orang yang kita tunggu,” Balqis menunjuk ke arah seseorang. Aina menoleh ke sebelah kanan, memerhatikan kemunculan figura seorang nenek yang mungkin berusia dalam lingkungan 80 tahun. Wajahnya dipenuhi dengan garisan penuaan dan badannya bongkok. Tangan kanannya menggenggam sebatang tongkat kayu. Mata tuanya hampir sahaja terpejam. Aina sendiri tidak dapat memastikan sama ada nenek itu boleh melihat atau tidak.

Iskandar Arif menghampiri wanita tua itu dan memperkenalkan dirinya sebagai Nek Ida. “Nek Ida tinggal dekat dengan kawasan kita ni, jadi Abang Is menjemput Nek Ida untuk menjadi juri hidangan ikan keli kita hari ini. Nek Ida yang akan menentukan markah untuk kumpulan masing-masing,” bicaranya penuh semangat. Itulah kejutan yang dibawa oleh Iskandar hari itu. Nek Ida menyertai para peserta program makan tengah hari bersama dan membuat penilaian berdasarkan lidahnya yang sudah sebati dengan masakan ikan keli.

Ketika itu, hujan mulai turun perlahan-lahan, semakin-lama pula semakin rancak. Semua peserta tidak dibenarkan untuk meninggalkan khemah utama. Khemah itu cukup untuk melindungi semua orang daripada terkena hujan. “Nampaknya Nek Ida terpaksalah tunggu dengan kami semua sehingga hujan reda,” ujar Rafiuddin yang masih menikmati ikan keli masakan peserta kumpulannya. Nek Ida tersenyum manis. Senyuman orang tua yang tidak pernah tua. Nek Ida mengambil kesempatan itu untuk berkongsi pelbagai kisah dan nasihat kepada beberapa peserta yang duduk berhampiran dengannya termasuklah Rafiuddin dan Zikri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience