BAB 3

Romance Completed 8583

“Awak ni biar betul, Balqis? Bukan ke selama ni awak cakap awak tak berkenan dengan Iskandar tu. Macam mana pula awak boleh setuju nak kahwin dengan dia? Awak jangan main-main, ni perkara serius,” Liyana berjalan mundar-mandir di dalam bilik, seolah-olah dia pula yang akan berkahwin. Balqis yang baru keluar dari bilik air setelah berwuduk tertawa melihat gelagat Liyana seperti cacing kepanasan itu.

“Liyana, bertenanglah. Saya tak cakap pun saya tak berkenan dengan Iskandar. Saya cuma cakap yang saya tak nak fikir lagi soal kahwin. Itu sahaja. Kalau saya tak cakap macam tu, sampai bila-bilalah Iskandar akan mendesak saya,” Balqis mencapai telekungnya yang berlipat di hujung katil.

“Balqis, kalau Iskandar dapat tunaikan permintaan awak, maknanya awak mungkin kena kahwin dengan dia, tahu?” Liyana mengingatkan.

“Tengoklah dulu.”

Liyana menggeleng kepala sambil memerhatikan Balqis yang sudah mula bersolat. Dia runsing dengan jawapan yang telah diberikan oleh Balqis. Semua permintaan Balqis memang pelik menurutnya. Mahu tidak mahu, dia terpaksa menyokong keputusan Balqis kerana jauh di sudut hati Liyana, dia mendapat firasat bahawa Balqis mungkin sedang merancang sesuatu.

Setelah kedua-duanya selesai mendirikan solat Zuhur, Liyana mengambil sehelai kertas kerja dari dalam begnya dan menunjukkannya kepada Balqis untuk disemak. Liyana tersenyum. “Iskandar Arif yang ketuai program motivasi kita di sekolah menengah tu. Awak sukalah tu!”

“Tolong sikit. Saya dah baca proposal program ni tadi. Kalau boleh memang saya tak nak satu program dengan Iskandar, seganlah. Tetapi bila difikir kembali, mungkin ini masa yang sesuai untuk saya perhatikan Iskandar sama ada dia boleh atau tidak penuhi lima permintaan saya itu,” Balqis berfikir sejenak.

“Balqis, saya tak fahamlah motif awak bagi syarat semua ni. Kalau awak nak kahwin dengan dia, setuju sajalah. Kalau tak nak, cakap tak nak. Peninglah saya,” Liyana mengambil kertas kerja dari tangan Balqis dan menyimpannya kembali.

“Liyana, awak percaya sajalah pada saya. Permintaan-permintaan saya tu ada sebabnya,” Balqis mendaratkan tubuhnya di atas katil, memikirkan tentang program perkhemahan dan motivasi yang akan dijalankan sepanjang lima hari itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience