BAB 4

Romance Completed 8583

Seperti yang dirancang, lapan orang wakil daripada universiti telah terpilih untuk menjadi fasilitator program yang melibatkan pelajar tingkatan empat sebuah sekolah menengah harian. Program motivasi berbentuk kerohanian itu diketuai oleh Iskandar Arif. Sifat kepimpinannya yang cukup dikagumi membuatkan dia terpilih menjadi ketua program. Iskandar sedang tekun mengisi beberapa borang ketika Shauki datang menghampirinya.

“Alhamdulillah, akhirnya berjaya juga kita buat program begini, Shauki. Harapnya kita dapat memberikan impak yang positif kepada budak-budak sekolah ni,” Iskandar memandang ke arah seorang fasilitator yang sedang memberikan penerangan di atas pentas dewan.

“Biidznillah, Iskandar. Tapi kan, kebetulan pula kan ‘bakal zaujah’ kau terlibat sekali dalam program ni. Atau ini semua memang idea kau?” Shauki mengangkat dua keningnya sengaja mengusik.

“Mana ada! Si Maisarah yang pilih, aku pun baru tahu masa kita musyawwarah hari tu. Walaupun aku suka Balqis, tak adalah sampai sengaja masukkan dia dalam program ni. Kita kenalah bersikap adil, bukan?” Iskandar buat gaya tidak bersalah. Memang dia tidak bersalah pun. Semuanya bukan dirancang oleh dirinya. Shauki tertawa kecil. Tidak tahu mahu percaya mahupun tidak kata-kata sahabat baiknya itu.

Zikri mendapatkan Iskandar dan Shauki yang sedang berbual untuk memberitahu pergerakan pelajar. Iskandar bangkit dan bergerak ke arah bas sekolah untuk memantau seramai 40 pelajar yang terpilih ke tapak perkhemahan serta lokasi kem motivasi mereka. Sebagai ketua program, keselamatan dan kebajikan para pelajar itu kini terletak dalam tangannya. Iskandar dan Shauki mengikuti para pelajar di dalam bas manakala fasilitator yang lain menaiki kereta untuk ke lokasi. Mereka mengambil masa hampir dua jam sebelum tiba di tapak perkhemahan.

“Subhanallah! Cantik sungguh lokasi program kita. Siap ada sungai lagi hujung sana,” ujar Liyana sejurus sahaja kakinya melangkah keluar dari kereta yang dipandu oleh Aisyah Humaira.

“Tengoklah siapa yang pilih lokasinya,” Maisara menepuk bahu Liyana. Maisara juga merupakan orang kuat yang mengusahakan supaya program ini dapat dijalankan dengan lancar. Dia juga yang memilih Aisyah Humaira, Nurul Balqis dan Liyana sebagai fasilitator wanita untuk mengendalikan para pelajar yang terlibat. “Entahlah. Takut juga saya perhatikan lokasi ni. Takut ada apa-apa yang terjadi semasa budak-budak tu pergi ke sungai nanti,” Aisyah Humaira mengunci kereta setelah Balqis keluar.

“Aisyah, janganlah cakap begitu. Kita kena sentiasa husnuzon dan mendoakan agar program kita ini berjalan dengan lancar. Setiap kata-kata itu doa, tahu?” Balqis cuba menyedapkan hati Aisyah Humaira. Balqis kerap mengikuti program-program motivasi dan perkhemahan seperti ini ketika di sekolah menengah dulu. Sekiranya semua peserta mematuhi arahan, pasti kejadian yang tidak diingini dapat dielakkan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience