Gelisah Qaira melihat renungan lelaki di hadapannya. Segan dengan ibu. Segan lagi dengan Mak Lia. Qaira memang tak jangka lelaki itu akan ada sama petang ini.
“Ibu, Mak Lia, Qaira ke dapur dulu ya? Nak sediakan air,” Qaira minta diri. Sebenarnya, lebih kepada nak lepaskan diri dari terus menjadi mangsa renungan si lelaki. Di dapur, Qaira tercegat merenung ke luar jendela. Masih bermain dengan kata hati sendiri. Terus mengharap pada Adham atau menerima sahaja lelaki yang tidak dia kenali itu sebagai teman hidup. Lelaki itu pun boleh tahan kacaknya. Ada gaya.
“Qaira..” bagai nak tercabut jantung Qaira tatkala mendengar suara yang menyebut namanya itu. Pantas dia berpaling. Lelaki itu memandang tanpa sedikit pun tersenyum. Tak beriak langsung!
“A.. ada apa? A.. awak nak air ke? Ke.. kejap..” Qaira kelam kabut. Rasa kekok.
“Tak apa, Qaira.. Tak payah nak kelam kabut. Saya tak perlukan apa-apa. Saya nak tanya awak sesuatu. Boleh?” Qaira angguk. Debar di dada usah ditanya.
“Saya jenis yang berterus terang, makanya, saya harap awak tak ada terasa apa-apa. Okey, saya nak tanya, awak dah ada yang punya ke?” Qaira rasa nak pitam mendengarkan soalan tersebut. Tidak tahu apa yang perlu dijawab. Jelasnya, jawapan untuk soalan itu memang terang-terang ada, tapi Qaira yang buat buta.
“Kalau awak dah ada yang punya, saya boleh batalkan lamaran ini. Saya tak nak sebab kami, awak terpaksa terima saya. Kalau kita nak mulakan sesuatu hubungan, biarlah dengan keikhlasan dan bukannya dengan…”
“Saya belum ada yang punya!” jawapan itu akhirnya keluar dari mulut. Lelaki itu masih beriak biasa.
“Awak pasti?” Qaira anggukkan kepala. Menghantar mesej bahawa dia serius dengan jawapan yang diberikan.
“Kalau macam tu, awak sudi terima saya?” Qaira gigit bibir bawah.
“In.. InsyaAllah, kalau itu jodoh yang Allah tetapkan untuk saya,”
Share this novel