Lagi sebulan sebelum mereka diijabkabulkan. Dan selama tempoh sebulan jugalah Qaira tak dapat khabar daripada encik tunang. Sejak kejadian di pantai, mereka tak lagi berjumpa. Apa-apa urusan mengenai majlis, Iman serahkan kepada umminya. Sibuk dengan kerja. Itu jawapan dia. Qaira tak salahkan Iman, tapi apa-apa, Iman patutnya mendengar jawapan dia. Iman lagi rela biarkan Qaira terperuk dengan rasa bersalah daripada bersemuka dengan Qaira sendiri.
“Alahai bakal pengantin baru ni.. termenung pulak dia. Rindukan orang di sana ke?” usikan along langsung tak mampu hilangkan gundah di hati Qaira. Dipandang bintang di langit.
“Kenapa ni dik? Ada masalah ke? Dah gaya orang hilang laki kau ni..”
“Along ni.. cakap elok-elok sikit. Sensitif tau bab-bab laki ni. Dah lah orang tak kahwin lagi..” along gelak sakan. Qaira rasa nak tumbuk saja abang dia ni.
“Rilekslah dik.. lagi sebulan kot..”
“Along, Qaira nak tanya sikit boleh?” melihat anggukan along, Qaira tarik nafas dalam-dalam.
“Kawan Qaira, dia ada masalah dengan boyfriend dia. Boyfriend dia ni nampak dia dengan lelaki lain. Tak buat apa-apa pun. Just keluar. Kawan Qaira ni cubalah nak jelaskan hal sebenar. Tapi, boyfriend dia tak nak dengar penjelasan apa-apa. Apa along rasa boyfriend dia fikir?”
Muka along serius. Dalam hati Qaira tak putus-putus berdoa. Berdoa moga along tak sedar itu kisah adik dia sebenarnya.
“Bagi along, boyfriend kawan Qaira tu tengah pendam perasaan kot. Yalah, nampak girlfriend dengan orang lain, of course lah dia bengang. Cuma tak ditunjukkan,”
“Tapi along, masalah sebenarnya, kawan Qaira sendiri pun tak pasti boyfriend dia tu kisah ke tak pasal dia. Cakap sayang pun tak pernah..”
“Ohh.. complicated juga ni. Tapi lelaki ni, dik… bukan nak tunjuk sangat sayang dia tu. Control macho la kononnya kot.. Hahaha.”
Qaira lepaskan keluhan. Dia cuma mahu tahu, Iman sayangkan dia atau tidak sebenarnya. Qaira bimbang, kalau rasa yang dah mula bertapak dalam hati dia ni cuma bertepuk sebelah tangan macam dulu. Qaira tak mahu, bila mereka sudah berkahwin, Iman masih lagi tak ada rasa untuk dia. Sedih sungguh hati dia masa ini.
“Dahlah dik. Masalah orang apa kau nak fikir. Tu, encik tunang datang dengan family dia. Kau tak nak layan diorang ke?”
Mendengar nama encik tunang disebut, Qaira bangkit dari duduk. Mula tingkahnya jadi tak kena. Nak-nak bila tersedar Iman memandang ke arah mereka.
“Amboi, gabra macam tu sekali dik?” tanpa mempedulikan usikan along, Qaira ambil langkah menuju ke pintu dapur. Menjauhi Iman yang berada dekat dengan pintu keluar ke taman.
“Kak.. tunang akak dengan family dia ada kat luar tu. Kenapa tak layan diorang je? Pinggan mangkuk ni biar adik basuh,” bicara Qaisara, adik bongsunya dijawab dengan elengan.
“Ibu dengan abah kan ada. Biar mereka yang layan. Awak tu, dah berbadan dua. Tak payah nak buat kerja berat,” Qaira sempat tayangkan sifat penyayang dia.
“Akak ni.. ada-ada je jawapan dia..” Qaira buat tak peduli. Diteruskan tugasnya mencuci pinggan mangkuk yang digunakan untuk majlis doa selamat malam itu.
“Eh, abang Iman. Alahai, buat susah je angkat semua ni ke dapur. Abang kan tetamu, tak patut buat kerja ni..”
‘Pang!’ Terlucut pinggan yang dipegang Qaira. Nasib tak pecah. Kalau tak, mahu ibu kejar dia keliling rumah.
“Akak! Kenapa ni?” Qaira eleng kepala. Tak mampu nak pusing belakang pandang wajah yang dia rindu. Rasa serba salah tebal dalam hati dia. Qaira rasa ada mutiara panas mengalir dari mata. ‘Ya Allah.. kenapa dengan aku ni?’
Qaira bawa hujung lengan jubah ke muka. Disapu perlahan air mata yang mengalir di pipi. Qaira sendiri tak tahu kenapa dia lemah benar bab-bab cinta. Selalu nak alirkan air mata.
“Kak, kenapa ni? Luka ke?” Qaisara datang dekat. Qaira eleng lagi.
“Mata akak ni.. terkena sabun. Pedih pulak,” bohong Qaira.
“Akak ni.. hati-hatilah sikit. Tengok abang Iman tu, dah cuak dia,” Qaira senyum nipis. Entah betul ke tidak bicara Qaisara. Mungkin sengaja nak sedapkan hati kakak sendiri yang tengah rawan.
“Dik.. akak nak ke toilet kejap,” ujar dia lantas berlalu. Dalam tandas Qaira gigit bibir. Air mata berjuraian jatuh. Sakit itu dia saja yang rasa. Iman tak peduli itu semua. Iman tak tahu dia susah hati bila Iman ambil langkah berdiam diri. Iman tak tahu! Qaira pandang wajah di cermin. Merah. Itu padahnya bila dia menangis. Sebab tu Qaira jarang menangis.
“Kak.. family abang Iman nak balik dah. Akak okey tak ni?”
“Ke.. kejap. Akak sakit perut tadi..” Qaira basuh muka. Dia perlu keluar tunjukkan muka walau hati separuh rela.
“Ha, ni pun bakal pengantinnya. Malu benar sampai merah muka..” ujar ibu sambil memegang jemari Qaira. Mujurlah lampu agak suram. Kalau tak mesti semua nampak mata merah dia. Qaira senyum semanis mungkin. Depan bakal keluarga mentua, takkan nak tunjuk muka masam dia.
“Ibu, Iman minta izin nak jumpa Qaira sekejap boleh?”
“Jumpalah Iman.. bakal isteri kamu juga. Sibuk benar dengan kerja sampai rindu ya?” galak ibu menyakat. Disambut pula gelak tawa yang lain. Iman pula sudah ukir senyum. Kalau diberi pilihan, Qaira tak nak jumpa pun Iman. Tak nak tambahkan sakit di hati.
Share this novel