BAB 6

Romance Completed 10489

“Assalamualaikum,” perlahan aku mengucap salam.

“Waalaikumussalam,” balas Ridzuan sambil berpaling ke arah aku.

Zupp! Hati aku seperti terkena renjatan elektrik. Jelas aku rasakan ada suatu perasaan yang sedang mengalir di dalam setiap pembuluh darah. Ada sesuatu juga yang sedang berdetik di dalam hati aku. Tetapi aku masih samar dengan butir bicara hati sendiri. Mata aku terus terpaku di wajah Ridzuan. Mungkin pada waktu ini mulut aku sudah terlopong.

Kenapa macam itu sekali reaksi aku? Tentu ada yang mengandaikan bahawa aku mengenali Ridzuan sebelum ini, kan? Haha… tidak… tidak… andaian itu salah seratus peratus.

“Kenapa terkejut? Muka saya nampak macam hantu ke?” tegur Ridzuan. Kemudian dia membelek wajah pada cermin tingkap keretanya.

Aku mula sedar. Cepat-cepat aku menggeleng. Aku tidak dapat menjawab soalan Ridzuan kerana aku sendiri tidak tahu apa yang aku rasakan. Mungkin ke ini yang dinamakan cinta pandang pertama? Oh, tidak! Ini kali pertama dan terakhir aku berjumpa dengannya. Dan aku tidak boleh… langsung tidak boleh ada apa-apa pertalian hati dengan dia. Jangan biarkan hati aku jatuh di sini, kerana aku belum mahu menjatuhkannya kepada sesiapa lagi.

“Hehe… sudah-sudah la belek muka tu. Tak nampak macam hantu pun,” tegur aku kemudian sambil ketawa.

“Habis tu, kenapa awak nampak terkejut tadi?” tanya Ridzuan, masih mahu tahu.

“Tak ada apa-apa. Hobi saya memang terkejut dan blur,” jawab aku.

Macam tak logik sahaja jawapan aku itu, kan? Haha… biarlah.

“Ini ole-ole dari saya… untuk awak,” ucap Ridzuan sambil menghulurkan satu bungkusan.

Aku menyambut huluran Ridzuan.

“Apa ni?” suara aku sambil membelek isi bungkusan tersebut.

“Buah jambu batu je,” balas Ridzuan.

Aku tersenyum. Hah? Jambu batu? Haha…. sweetnya la Ridzuan ini. Kalau pergi ke mana-mana pun, aku tidak pernah terfikir hendak bagi jambu batu sebagai ole-ole. Sebab di kampung aku sendiri pun ada banyak pokok jambu batu. Berderet di tepi jalan. Petik sahaja buahnya, mana-mana suka.

“Itu jambu batu special. Made in kampung saya. Tak sama macam yang ada kat sini,” Ridzuan bersuara lagi.

Aku memandang Ridzuan. Dia ini macam tahu-tahu sahaja apa yang ada dalam fikiran aku. Bahaya ini, tidak boleh fikir yang bukan-bukan lagi. Nanti kalau kantoi, aku juga yang malu sekampung.

“Terima kasih. Saya balik dulu,” ucap aku, tak mahu berlama-lama lagi di situ.

“Eh, cepatnya,” halang Ridzuan.

“Saya ada hal lain. Sorry ya,” balas aku, sengaja memberi alasan.

Sebenarnya aku semakin tidak selesa berada di situ. Ada beberapa pasang mata yang sudah mula mencuri pandang ke arah kami. Orang lain semua buat janji temu di tempat yang best-best. Aku sahaja yang memilih perhentian bas. Jangan tanya kenapa aku pilih perhentian bas. Sebabnya, aku akan jawab, aku punya sukalah hendak jumpa di mana. Haha…

“Okey. Tak apa la kalau awak ada hal. Nanti bila makan jambu batu tu, ingat-ingat la muka saya. Mesti akan rasa lagi sedap,” usik Ridzuan.

Aku tergelak. Kelakarlah Ridzuan. Huhu…. sayangnya aku tidak akan menghubungi Ridzuan lagi selepas ini. Lagipun sudah terlanjur aku berkata begitu kepada Kak Lily. Mana boleh cakap tidak serupa bikin. Bukan janji sahaja yang harus ditepati, tetapi kata juga harus dikota. Itu prinsip aku.

“Saya balik dulu. Terima kasih sekali lagi. Assalamualaikum,” ucap aku tanpa memberi ulasan terhadap usikan Ridzuan.

“Waalaikumussalam. Drive kereta elok-elok,” sempat Ridzuan meninggalkan pesanan. Aku hanya tersenyum.

Baiknya Ridzuan, hati aku berdetik. Dah macam mama, papa dan Kak Lily sahaja yang selalu memberi pesanan serupa itu kepada aku. Berat kaki melangkah, namun tetap juga aku gagahkan diri meninggalkan Ridzuan. Selamat tinggal, Ridzuan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience