BAB 4

Romance Completed 10489

TELEFON bimbit aku berbunyi. Aku lihat nama si pemanggil. Ridzuan Misteri. Haha… memang sengaja aku tambah nama Misteri di hujung namanya. Memang betul pun dia itu misteri. Sudahlah aku tidak kenal dia. Suka-suka hati pula dia kata kenal Kak Lily. Tapi Kak Lily kata, tidak kenal dia pun. Entah siapa yang menipu pun aku tidak tahu.

Selalu Ridzuan cuma hantar SMS sahaja. Kenapa tiba-tiba hari ini dia hendak telefon pula. Ini pertama kali Ridzuan telefon. Huhu…. berdebar pula rasanya hendak jawab telefon.

“Helo, assalamualaikum,” terdengar suara seorang lelaki di hujung talian.

Debaran di dada semakin pantas. Terasa sukar untuk aku bernafas apabila mendengar suara yang menggetarkan jiwa. Suara itu sangat sedap pada pendengaran aku. Dan memang suara itu sesuai sungguh apabila aku padankan dengan wajah pemiliknya yang aku lihat di laman fac.

“Helo….”

Aku tersentak. Haha… sempat rupanya aku berkhayal. Mesti Ridzuan berasa pelik kerana tiada respon dari aku.

“Helo… err… wa.. waalaikumussalam,” jawab aku tergagap-gagap.

Ternyata aku masih belum mampu menenangkan diri. Wahai Cempaka Emalin, kenapa dengan kau? Tegur hati aku.

“Ingatkan tak ada orang tadi. Awak sihat?”

“Sihat.”

“Dah makan?”

“Dah.”

“Tengah ingat kat saya ke?”

“Ha’a.”

“Awak sihat tak?”

“Tak”

“Kak Lily ada tak?”

“Tak ada.”

“Awak ada tak?”

“Tak ada.”

“Memang sah awak tak sihat walaupun mula-mula tadi awak kata awak sihat. Kalau awak tak ada, sekarang ni saya bercakap dengan siapa la agaknya ya?”

“Hah?!”

“Hahaha….” Kedengaran ketawa Ridzuan yang sangat panjang.

Aku masih terpinga-pinga. Apa yang berlaku? Kenapa aku tak ingat apa yang aku cakap dengan Ridzuan tadi? Punya sakan Ridzuan ketawakan aku. Tentu ada yang dia kenakan aku. Tak boleh jadi. Aku kena fokus.

Fokus Cempaka Emalin… jangan biarkan Ridzuan kenakan kau lagi. Sekali lagi hati aku bersuara.

“Petang ni awak free tak?” soal Ridzuan setelah ketawanya reda.

“Erm… free. Kenapa?” aku bertanya kembali.

Kali ini aku memberi sepenuh perhatian terhadap perbualan aku bersama Ridzuan. Tidak mahu pisang berbuah dua kali.

“Kalau awak sudi, kita jumpa petang ni boleh?” usul Ridzuan.

Biji mata aku sudah terbeliak. Mimpi ke si Ridzuan ini? Tak pernah-pernah ajak jumpa.

“Nak jumpa buat apa?” Sengaja aku bermain tarik tali.

Mana boleh terus setuju. Kenalah jual mahal sebab aku ini memang tidak murah. Dan semua manusia pun punya nilai yang sangat tinggi hingga tidak ternilai harganya walau ditukar dengan segunung emas sekalipun. Jadi… sayangilah diri sendiri dan orang lain.

“Saya baru balik dari kampung. Ada beli ole-ole sikit untuk awak,” kata Ridzuan.

“Aik, awak bukan memang duduk kampung ke?” soal aku hairan.

“Oh, saya bukan asal kampung ni. Saya cuma duduk sini untuk bekerja aje.” Jawab Ridzuan.

“Dah berapa lama awak duduk kat sebelah kampung saya?”

“Dalam 3 tahun lebih macam tu.”

“Ooo…. so, kat mana awak nak jumpa saya?” Aku mengubah tajuk perbualan.

“Kat rumah awak boleh tak?”

“Hah?!”

“Haha…. gurau saja la. Comel la perangai awak ni.” usik Ridzuan.

Sudah merah-merah muka aku mendengar kata-kata Ridzuan. Nasib baiklah kami cuma bercakap melalui telefon. Kalau berhadapan, tak tahulah di mana aku hendak letak muka yang dia kata comel ini. Dia kata, bukan aku kata. Hehe…

“Apa kata awak cadangkan tempat,” usul Ridzuan kemudian.

“Erm… kita jumpa kat bus stop depan kampung ni aje la. Sekejap aje, kan.” cadang aku.

“Hah? Bus stop?” Kedengaran suara Ridzuan yang terkejut.

Kenapa? Pelik sangat ke cadangan aku itu?

“Kenapa bus stop?” tanya Ridzuan kemudian.

“Habis tu… awak ada cadangan lain ke?” aku bertanya kembali.

Haha… memang sikap aku agaknya. Suka menjawab soalan dengan soalan juga. Entah-entah dia mahu jumpa aku di kedai makan. Boleh berbual-bual sambil makan-makan plus luangkan masa berdua. Ah, tak mungkin aku akan mencadangkan tempat itu. Lainlah kalau ada Kak Lily.

“Okey… okey… kita jumpa kat bus stop. Sekejap aje, cuma nak bagi ole-ole ni,” ujar Ridzuan kemudian. Menerima cadangan aku.

Aku tersenyum sendiri.

“Okey. Kita jumpa pukul 5.30 petang nanti. Bye… assalamualaikum,” putus aku.

“Eh.. nanti dulu. Cepat aje awak nak letak telefon. Petang ni, awak tak payahlah nak keluar cepat-cepat sangat,” kata Ridzuan.

Dahi aku berkerut. Siapa yang hendak keluar cepat-cepat? Apa dia ingat aku sudah tidak sabar sangat hendak jumpa dengan dia ke? Yakk! Hendak muntah aku. Haha… perasannya dia, kalau benar dia ada fikiran macam itu.

“Tak faham,” balas aku. Sengaja berkata begitu.

“Ya la… saya tak nak awak keluar cepat-cepat sebab saya tak nak awak sampai dulu daripada saya. Saya kan lelaki, mestilah saya kena sampai dulu. Kalau awak yang sampai dulu, macam tak best pulak kan. Nanti awak cari kereta warna merah,” terang Ridzuan.

Ooo…. begitu al-kisahnya? Ini kali pertama aku jumpa orang yang ada fikiran macam Ridzuan. Berterus-terang pula itu. Tak ada selindung-selindung. Bagus! Aku suka!

“Okey. Kalau macam tu, kita jumpa petang nanti. Bye… assalamualaikum.” Sekali lagi aku ingin memutuskan talian.

“Okey. Bye… waalaikumussalam,” balas Ridzuan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience