BAB 5

Romance Completed 10489

PERASAAN aku semakin tidak keruan. Aku juga tidak dapat memastikan apa yang sedang aku rasakan pada ketika ini. Rasa teruja ingin berjumpa, tapi dalam masa yang sama ada rasa takut. Manalah tahu Ridzuan itu cuma watak lakonan dalam fac sahaja. Zaman sekarang ini bukannya boleh percaya sangat. Lagi-lagi dunia maya. Huh… seram pula.

Aku memberhentikan kereta di tepi jalan. Dari jauh, aku sudah dapat melihat sebuah kereta berwarna merah di hadapan bus stop. Itu ke dia? Tiba-tiba aku teringat sesuatu. Pantas sahaja aku mencapai telefon bimbit. Aku harus menelefon seseorang dan harus membuang rasa was-was aku dengan segera.

“Helo, Kak Lily. Cakap la betul-betul, Kak Lily kenal ke tidak dengan lelaki nama Ridzuan tu?” desak aku.

Kalau benarlah Kak Lily memang tak kenal lelaki itu, sumpah aku tidak akan berjumpa dengan dia. Ini bukan perkara main-main. Aku akan paksa Kak Lily bercakap benar.

“Kan Kak Lily dah cakap hari tu. Kak Lily tak kenal dia la,” tegas Kak Lily. Masih lagi menafikan.

“Betul Kak Lily tak tipu?” soal aku lagi.

“Betul, wahai adikku Cempaka Emalin,” jawab Kak Lily bersungguh-sungguh.

“Okey. Kalau macam tu, orang tak jadi jumpa dia la. Orang nak patah balik dah ni. Mana la tau kut Ridzuan tu orang jahat. Penjenayah pemerdagangan orang ke. Nanti tak pasal-pasal aje orang kena bawa lari ke luar negara. Huh, menyeramkan. Lepas tu, heboh satu Malaysia dengan berita kehilangan seorang perempuan bernama Cempaka Emalin. Bahaya kan, kak?” luah aku panjang lebar.

Sengaja sebenarnya aku berkata macam itu. Nak tengok macam mana reaksi Kak Lily. Entah kenapa perasaan aku kuat mengatakan yang Kak Lily dan Ridzuan memang saling mengenali. Kalau tidak, macam mana Ridzuan boleh kenal benar dengan Kak Lily? Siap sudah faham dengan perangai Kak Lily lagi. Musykil!

“Eh… eh… eh… nanti dulu! Okey… okey… akak minta maaf. Kenapa tak cakap awal-awal yang dia nak jumpa Emalin? Si Ridzuan tu pun satu. Suka buat keputusan sendiri la… hisy!” bebel Kak Lily.

Haaa…. cuba dengar apa yang Kak Lily cakap itu? Maksudnya, memang benarlah Kak Lily kenal Ridzuan. Ohh… kau orang hendak main-mainkan aku ya! Jaga!

“Kak Lily cakap apa tadi? Telinga orang tak berapa dengar la. Orang dah lama tak korek telinga,” ujar aku, ingin Kak Lily mengulangi apa yang baru diucapkannya.

“Ya la… ya la… Kak Lily minta maaf sebab sembunyikan perkara ni. Memang Kak Lily kenal Ridzuan,” bongkar Kak Lily…. akhirnya.

“Kak Lily rekomen orang kat dia ke? Sampai hati akak. Orang belum gatal nak kahwin lagi la. Orang masih nak enjoy-enjoy lagi,” luah aku.

Sebenarnya aku rasa kecil hati dengan Kak Lily. Sampai hati dia mengenakan aku. Dahulu, waktu Kak Lily nampak aku tersenyum seorang-seorang di hadapan skrin, pasti Kak Lily sudah tahu sebabnya. Patutlah dia pun ikut sama senyum-senyum. Lepas itu Kak Lily pergi ke dapur dan entah-entah bercerita dengan mama.

Jadi, mama pun tahulah yang Ridzuan berkenalan dengan aku? Ah, malunya aku dengan Kak Lily dan mama! Otak aku mula berfikir semakin jauh.

“Disebabkan Kak Lily tak jujur dengan orang, orang nak balik sekarang. Orang tak nak jumpa kawan baik Kak Lily a.k.a Ridzuan tu. Biar dia tunggu orang sampai malam,” putus aku.

Kenapa aku hendak menghukum Ridzuan? Sedangkan dia langsung tidak bersalah. Memang dari awal lagi dia sudah berterus terang. Cuma Kak Lily sahaja yang tidak mahu mengaku awal-awal. Ah! Peduli apa aku?

Kenapa Ridzuan tidak paksa Kak Lily mengaku? Bukan dia tidak tahu yang Kak Lily tidak mahu mengaku. Aku sudah bercakap dengan dia pun pasal itu. Tapi kenapa Ridzuan tidak mengambil sesuatu tindakan? Sengaja hendak siksa hati aku. Ridzuan pun sama juga macam Kak Lily. Suka permainkan aku.

“Alah… jangan la macam tu, Emalin. Akak janji, lepas ni akak takkan sembunyikan apa-apa lagi. Pergilah jumpa dia. Kesian dia tunggu tu,” pujuk Kak Lily.

Aku mencebik. Bukannya Kak Lily tidak tahu yang aku ini tidak makan pujuk. Tiba-tiba muncul satu idea dalam otak aku.

“Okey… orang akan jumpa dengan dia. Tapi ini kali pertama dan terakhir orang jumpa dengan dia. Lepas ni, orang tak nak contact langsung dengan mamat tu. Noktah. Bye,” putus aku lalu terus mematikan talian.

Aku tersenyum puas sambil merenung skrin telefon bimbit. Kemudian aku menghala pandangan ke hadapan. Melihat seorang lelaki berbaju merah sedang bersandar pada badan kereta vios.

“Mesti dia suka warna merah. Baju dengan kereta pun sama warna. Kalau aku rabun, tentu aku tak dapat pastikan yang mana satu kereta dan mana satu orang. Haha..” Sempat aku membebel sendirian.

Aku mula memandu kereta menghampiri kereta Ridzuan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience