BAB 7

Romance Completed 10489

“Hai… kenapa tak balas mesej saya?” – Ridzuan

Aku hanya memandang sepi kepada pesanan ringkas daripada Ridzuan. Seketika aku menoleh ke arah Kak Lily yang masih duduk di atas katil aku.

“Emalin, maafkanlah akak. Akak janji, akak tak akan tipu Emalin lagi. Percayalah…” rayu Kak Lily.

Aku masih buat-buat tidak dengar. Masih marah.

“Balas la mesej Ridzuan tu. Teruk akak kena marah dengan dia. Emalin pun nak marahkan akak juga. Emalin tak kesian kat akak ke?” rayu Kak Lily lagi.

Aku masih mendiamkan diri.

“Emalin tak sukakan Ridzuan ke? Tak apa la…. akak minta maaf banyak-banyak. Akak janji, lepas ni, Ridzuan takkan kacau hidup Emalin lagi. Akak akan suruh dia jauhkan diri daripada Emalin. Tapi please… maafkan akak ya, Emalin,” suara Kak Lily lagi.

Sepantas kilat aku menoleh ke arah Kak Lily. Kali ini ada sesuatu pada kata-kata Kak Lily yang menarik perhatian aku.

“Err… err…” Aku tidak dapat meneruskan kata-kata.

Sebenarnya aku berasa malu untuk menghalang Kak Lily daripada meneruskan niatnya. Bukan itu yang aku mahu. Aku tidak mahu Ridzuan menjauhkan diri daripada aku. Tapi, kenapa aku tidak membalas pesanan ringkas daripada Ridzuan?

Jawapannya…. aku hanya mahu memberi pengajaran kepada Kak Lily yang seperti sudah mempermain-mainkan aku. Kasihan Ridzuan, disebabkan kesalahan Kak Lily, dia yang terkena tempiasnya. Kejamkah aku? Huhu…

Sungguh… kini aku terlalu rindukan celoteh Ridzuan. Rindu dengan loyar buruknya. Rindu dengan gurauannya. Dan… rindu dengan wajahnya. Oh… oh… angaukah aku?

Aku tidak akan biarkan Ridzuan hilang dari dalam hidup aku. Senang-senang dia masuk ke dalam hati aku, mana boleh suka-suka hati aku keluarkan dia. Hati aku ini bukannya hotel yang boleh suka-suka orang keluar masuk. Sedap sahaja Kak Lily hendak menghalau Ridzuan, sedangkan dia yang telah menjemput lelaki itu.

Kini aku pasti. Aku akan mengalah, demi hati aku yang tidaklah sekuat mana untuk melawan perasaan yang semakin kuat.

“Okey, kali ni orang maafkan. Tapi lain kali, kalau akak buat lagi, orang takkan maafkan,” putus aku kemudian.

Kelihatan Kak Lily tersenyum.

“Terima kasih, adik akak yang cantik manis. Lepas ni tak ada sesiapa lagi yang akak nak kenalkan pada Emalin. Ridzuan tu dah cukup baik dah. Emalin jangan lepaskan dia, tau,” kata Kak Lily.

Aku mencebik.

“Siapa yang nakkan Ridzuan tu? Orang tak nak pun,” usik aku.

Berani aku berkata begitu. Parahlah kalau sekali lagi Kak Lily mahu menjauhkan aku daripada Ridzuan. Makan hati berulam jantunglah aku nanti.

“Betul ni tak nak?” duga Kak Lily.

Aku tidak menjawab. Sebaliknya aku hanya menekup mulut untuk menandakan yang aku telah tersilap kata.

Kak Lily tersenyum. Kemudian dia menadah kedua-dua belah tangan seperti orang mahu berdoa. Dahi aku sudah berkerut melihat gelagat Kak Lily.

“Semoga jalinan persahabatan Cempaka Emalin dan Ridzuan Zaharie akan bertukar menjadi jalinan percintaan. Dan seteruskan akan berkekalan selama-lamanya melalui ikatan perkahwinan yang sah. Amin!” doa Kak Lily.

Mulut aku terlopong. Terkedu.

“Apa ni, Kak Lily? Akak kan belum kahwin lagi. Orang tunggu akak kahwin dulu, baru la orang akan fikir tentang kahwin-kahwin ni,” suara aku pantas.

“Akak doakan aje. Tak salah, kan? Ridzuan tu baik sangat orangnya,” balas Kak Lily.

“Dah sepuluh kali Kak Lily cakap dia tu baik. Ya la… ya la.. dia baik,” ujar aku, mengalah.

“Nanti, Emalin sampaikan salam akak pada dia ya,” pinta Kak Lily.

Sekai lagi dahi aku berkerut seribu.

“Akak ni dah kenapa? Akak kan boleh call dia bila-bila masa je. Gatal nak suruh orang sampaikan salam pula,” ucap aku.

“Emalin belum balas mesej dia kan? Ha.. apa salahnya sampaikan salam akak sekali. Banyak soal betullah Emalin ni,” rungut Kak Lily.

Mulutku sudah muncung. Ada-ada sahajalah Kak Lily kesayangan aku ini. Namun Kak Lilylah yang menambah seri dan menceriakan kehidupan di rumah ini. Aku sayang sangat pada dia!

***

“Mama, papa… mana Kak Lily? Dari pagi tadi orang tak nampak dia,” tanya aku kepada mereka yang sedang menikmati minuman petang di meja makan.

“Kak Lily tak bagitahu Emalin ke? Di pergi Cameron dengan kawan-kawan dia,” beritahu mama.

Eh, mana ada Kak Lily bagitahu? Hisy… hendak kena nampaknya Kak Lily ini. Kalau aku tahu Kak Lily mahu ke sana, bolehlah aku ikut sekali. Boleh juga berjalan-jalan sambil cuci mata di sana.

Kring… kring… kring…

Bunyi deringan telefon mengejutkan kami. Pantas aku mendapatkan telefon yang berada tidak jauh daripada meja makan.

“Helo… ya, saya adiknya bercakap. Hah?! Tak mungkin!” Aku terkedu.

Telefon di tangan sudah terlepas. Lemah seluruh badan aku apabila menerima berita yang langsung tidak pernah terlintas di dalam fikiran aku selama ini.

“Emalin, siapa telefon tu?” Mama sudah mendekati aku. Panik.

“Kak Lily, mama… papa… Kak Lily… accident… maut..” suara aku tersekat-sekat. Cuba mengatur nafas setenang yang mungkin.

“Apa?!” Serentak mama dan papa terjerit.

Mama pengsan. Papa jadi bertambah panik. Aku sudah tidak mampu bergerak. Ya Allah, kuatkanlah hati kami untuk menempuh dugaan-Mu yang sangat berat ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience