“Apa yang Quraisyah cakapkan ni? Quraisyah tak perlu berkorban dengan memberikan sebelah buah pinggang tu, lagi pula Quraisyah sudah mengidapi penyakit buah pinggang,” ujar Fadilah ibu kepada Adawiyah. Dia juga turut terkejut mendengar lontaran kata Quraisyah sebentar tadi.
“Doktor, saya tetap mahu mendermakan buah pinggang saya kepada Adawiyah. Saya tak kisah apa pun yang berlaku. Saya sanggup berkorban. Tolonglah doktor!” Rayu Quraisyah. Mutiara jernih yang baru sebentar tadi hilang dipuput angin, kembali luruh ke bumi.
“Saya bimbang sekiranya cik memberikan sebelah buah pinggang kepada Adawiyah, keadaan cik akan semakin teruk. Lagi pula cik ada mengidapi penyakit buah pinggang sebelum ini. Kemungkinan hanya ada 50 peratus untuk hidup,” ujar Doktor Aisya.
“Tak mengapa doktor, saya sanggup hadapi risikonya tapi tolonglah benarkan saya mendermakan buah pinggang untuk sahabat saya,” rintih Quraisyah. Setiap mata yang memandang dan mendengar rintihan itu semakin lumpuh hatinya.
“Saya sebagai doktor tak boleh berbuat demikian, ia salah dari segi undang-undang. Cik perlu berbincang dengan keluarga terlebih dahulu mendapatkan persetujuan,” tegas Doktor Aisya mengatakan hakikat yang perlu dipatuhi.
“Mama… papa… tolonglah izinkan Quraisyah dermakan buah pinggang kepada Adawiyah. Dia sahabat yang baik. Quraisyah tak mahu kehilangan dia,” ujar Quraisyah lembut bersama deraian air mata. Direnungnya mata kedua ibu bapanya dalam-dalam untuk menggambarkan harapannya yang menggunung. Puan Mardhiah mengangguk tanda setuju. Terbit rasa gembira dalam hati Quraisyah, manakala wajah papanya pula dilihat, papanya juga mengangguk. Akur akhirnya pada kehendak anaknya.
Share this novel