Assalamualaikum…
Nur Adawiyah…
Sahabat adalah dia yang menghampiri saat dunia menjauh. Sahabat bagai bulan purnama yang bersinar saat malam. Biar rembulan tidak muncul malam ini, usah lekas berduka, bintang-bintang kejora masih setia, memancar berkelip di angkasa, petanda persahabatan kita akan terus bercahaya selamanya, walaupun aku menjauh pergi darimu kau tetap sahabat sejati, ku korbankan sebelah buah pinggangku untukmu sehingga aku selelah ini menanggung kesakitan yang amat. Aku mengeluh. Segumpal nafas tampak rumit kuhela, sukmaku bergayut di tangkai kelumpuhan kerana sebuah sampanku ini seperti terlingkup dalam lautan yang tidak bersempadan lagi dan akhirnya aku kelemasan tidak bernafas. Namun begitu aku bahagia dengan menghadiahkan buah pinggangku untukmu kerana aku akan terus hidup di sampingmu.
Nur Adawiyah…
Hargailah apa yang kuberikan dengan sepenuh hati. Ku amanahkan agar kau menjaga kedua-dua ibu bapaku dengan sebaik mungkin, anggaplah mereka sebagai ibu bapamu juga kerana mereka sudah tidak punya sesiapa melainkan aku. Hanya kau yang dapat menggantikan kehadiranku di sisi mereka.
Jangan pernah kau tangisi pemergian sahabat. Sesungguhnya nilai persahabatan kita tidak akan pernah cair pada musim panas, tidak akan pernah beku pada musim sejuk, tidak akan pernah luruh pada musim hujan tapi insya-Allah persahabatan kita akan terus berkekalan mekar seperti musim bunga yang selalu disiram cucuran air. Bukan tangisan darimu yang ku pinta tapi hanyalah askara doa yang lahir dari untaian bibirmu. Percayalah setiap pengorbanan, setiap pemberian ku lakukan untukmu penuh ketulusan.
Sekian, Terima Kasih.
Wassalam….
Yang ikhlas,
Nur Quraisyah
Share this novel