Bermula bulan sukan-sukan sekolah kami. Aku berada dalam rumah sukan Begonia yang mewakili warna hijau. Bukan warna bertuah aku. Aku memang bukan budak sukan. Jadi aku tidak mengambil apa-apa bahagian dalam sukan. Kecuali kawad kaki. Ya memang itu kepakaran aku. Tahun ini sudah masuk tahun ke tiga aku dalam rumah sukan ini jadi sepatutnya aku yang ditugaskan untuk mengurus pasukan kawad kaki.
Aku memilih budak tingkatan satu dan dua untuk menyertai pasukan kawad. Hari pertama Aku bersemangat untuk membuat latihan kawad kaki. Tiba-tiba cikgu perkenalkan Syafiq sebagai pembantu aku. Aku terima sahaja arahan cikgu. Tetapi kami banyak bertelagah dalam menyusun atur pergerakan kawad. Sebab aku daripada kedet PKBM manakala Syafiq pula dari Kedet Polis. Memang sah lah pergerakan kawad kami berbeza. Memandangkan dia senior dua tahun dari aku, aku mengalah. Hari kedua latihan kawad aku tidak muncul. Malas aku mahu bertekak dengan dia. Naik benci tengok muka dia. Sampai kawan-kawan aku kata "jangan benci nanti lama-lama suka". Tidak mungkin lah! Aku memang menyampah tengok dia. Nasib baik pasukan kawad kaki kami menang. Kalau tidak bertambah benci lah jawabnya.
Setelah habis bulan sukan sekolah, kami mula belajar berkumpulan selepas selesai sekolah. Aku dan kawan-kawan selalu belajar di pondok yang di kelilingi bunga dan rumput hijau. Sekurang-kurangnya tidak lah stress sangat. Kawan aku Ali selalu sampaikan salam Syafiq kepada aku. Buang tebiat agaknya. Ketika kami sedang sibuk belajar di pondok, tiba-tiba Syafiq datang duduk sebelah Ali. Mahu ikut belajar sekali katanya. Sedangkan dia SPM tingkatan lima. Kami PMR tingkatan tiga. Aku tidak memperdulikannya. Buat-buat seolah dia tidak wujud di situ.
Mulai dari hari itu, setiap hari syafiq datang ikut belajar bersama kami. Sampai lah satu hari dia ambil satu langkah ke depan. Syafiq panggil namaku. "Mustiqa, aku nak jumpa kau sekejap?!"
Tiba-tiba suasana yang bising dengan suara kawan-kawan aku tadi jadi sunyi. Semua mata tertumpu pada aku seolah-olah menunggu jawapan aku. Aku pula bila keadaan sudah jadi begini, aku pantang dicabar. Sudah memang betul aku benci dia apa kata selesaikan sekarang!
Aku bingkas berdiri tanda aku mahu bercakap dengan dia. Tanpa menoleh ke arahnya aku terus menuju ke lorong tidak jauh dari pondok. Syafiq mengikut langkah ku dari belakang.
Jantung aku berdebar, aku cuba kelihatan gagah dengan menggenggam tangan aku. Kemudian Syafiq memulakan bicara. "aku minta maaf, aku tak tahu apa salah aku sampai kau benci sangat dengan aku". Suaranya terketar-ketar macam tidak yakin. Aku tersentak! Bukan ini yang aku harapkan! Aku tidak boleh dengar perkataan maaf. Hatiku jadi luluh mendengar kata maafnya. Tapi aku berusaha nampak kental. Aku mengangguk dan mahu pergi dari situ. Tiba-tiba Syafiq sentap tangan aku. Membuatkan kaki aku terpaku. Aku toleh melihat dia, mukanya kemerahan dan dahinya di basahi peluh. Dia lepaskan tangan aku. Aku menunggu apa yang dia mahu katakan lagi. "aku suka kau!" dia bersuara. Selangkah aku berundur. Terkebil-kebil mata aku mendongak melihat dia. Banyak persoalan bermain di kepala ku. Aku terdiam hanya sepasang mata berbicara penuh berharap menatap aku.
Semenjak dari kejadian itu, kawan-kawan aku mula mengusik mengkenen-kenenkan aku dan Syafiq. Mereka kata "terima saja lah Syafiq jadi boyfriend kau, aku nampak dia baik lah". Sebenarnya ada dua atau tiga kali cubaan Syafiq mahu ajak aku couple tapi aku tidak layan. Akhirnya aku cuba bagi peluang dekat Syafiq. Aku setuju jadi girlfriendnya. Jadi bermula lah episod drama dalam hidup aku.
Mulanya aku dapat drama yang sangat indah dari Syafiq. Setiap hari aku akan terima sticky note yang penuh dengan kata-kata manis dan kadangkala kata-kata semangat. Setiap pagi dia akan lekat sticky note atas meja aku. Pernah sekali dia minta junior yang hantarkan sticky note itu. Setakat itu aku gembira, terasa diri ini di hargai. Setiap kali waktu rehat, waktu pulang sekolah Syafiq akan terpacak depan kelas menunggu aku. Sampaikan dia pernah di halau oleh guru kelas ku kerana menunggu di depan kelas yang mengganggu pelajaran kami.
Syafiq selalu kelihatan kemas dengan kemeja lengan panjang berwarna biru. Dia seorang pengawas sekolah. Jika dalam perhimpunan pagi aku senang saja mahu mencarinya. Kerana kulitnya yang putih melepak berbanding pelajar lelaki lain. Rambutnya pula terpacak tegak dengan minyak yang banyak di atas kepala. Matanya sepet namun renungannya tajam. Semuanya nampak okey bagi aku. Cuma ada beberapa perangai dia yang membuat aku tidak selesa. Kuat cemburu dan selalu merajuk. Sudah lah aku memang bukan jenis yang pandai memujuk. Sepatutnya aku perempuan lah yang lebih banyak merajuk, bukan lelaki.
Syafiq selalu cemburu dengan kawan lelaki kelas aku si Zaidi. Kami memang rapat tapi dia membuta saja cemburu. aku memang sudah lama tahan dengan perangai dia. Asal aku ajak break ada saja hal dia buat yang menyakitkan dirinya sendiri. Pernah terjadi suatu malam kami bergaduh, paginya dia datang ke sekolah dengan muka lesu macam tak mandi dan pergelangan tangannya berbalut. Aku cemas juga lah tengok keadaan dia. Dia cuba kelar tangannya sendiri! Aku pun tidak tahu mahu percaya atau tidak. Ataupun sebenarnya dia sengaja mahu gertak aku. Bukan itu sahaja, pernah lagi sekali dia tidak datang sekolah dua hari. Dia juga tiada hubungi aku. Tiba-tiba dia muncul muncul depan muka aku merayu-merayu dekat aku tidak mahu break. Dia tunjukkan luka di perutnya. Dia cuba cederakan dirinya lagi. Aku sebenarnya tidak percaya. Sekadar bandage boleh saja lekat di badan. Tapi dia siap yakinkan aku minta mak dia bercakap dengan aku di telefon. Bila sudah campur urusan orang tua, aku terpaksa hormat mak dia.
Aku nekad! Kali ini aku betul-betul akan tamatkan hubungan yang makin merapu ini. Aku tidak akan peduli lagi apa akan jadi pada dirinya selepas ini. Aku ajak Syafiq berbincang cara elok. Aku cuba bagi sebab-sebab yang munasabah untuk aku break dengan dia. Salah satu sebabnya aku perlu fokus untuk PMR manakala dia juga perlu fokus untuk SPM. Aku juga bagi alasan yang telefon aku akan dirampas oleh ayahku jadi kami tidak boleh berhubung lagi. Selain dari itu, aku bagitahu sejujurnya yang aku memang sudah muak dengan perangai pelik dia. Akhir sekali aku mengaku sudah tiada apa-ap perasaan terhadap dia. Aku tahu perit bagi Syafiq tapi dia kena terima juga. Aku lihat air mukanya berubah. Mukanya kemerahan seolah-olah menahan kemarahan. Aku luahkan perkataan terakhirku. "Aku minta maaf Syafiq.. Terima kasih". Dan aku tinggalkan dia. Syafiq hanya berdiri kaku dan sambil menunduk.
Setelah dari hari itu, Syafiq tiada menghubungiku. Dia tidak hadir sekolah seminggu. Aku tidak tahu apa kabarnya. Ada pelajar mengatakan dia berada di hospital. Aku tidak menyesal kerana aku sudah berbicara secara elok dengan dia. Apa yang aku boleh katakan, ini adalah sebahagian pengajaran yang boleh aku ambil dalam hidup aku. Jangan terlalu berharap kepada seseorang (bagi dia). Jangan cuba-cuba memberi peluang kepada orang lain untuk menyukainya kerana akhirnya akan menyakiti orang itu. Macam aku menyakiti Syafiq.
Share this novel