Sudah menjadi kebiasaan orang melayu mengadakan majlis kenduri kahwin di hujung tahun. Tidak terkecuali keluarga ku memilih bulan 12 untuk mengadakan majlis kahwin sepupuku Hana. Majlis sebelah perempuan memang meriah untuk menyambut pengantin lelaki. Keluarga rombongan lelaki datang daripada tanah seberang. Majlis diadakan tiga hari dua malam dengan meriahnya. Dua hari selepas majlis selesai aku dapat satu text mesej dari adik lelaki suami sepupuku. Senang cakap adik ipar sepupu aku Hana. Tujuan dia mahu berkenalan dengan aku. Ya memang aku ada perasan lelaki itu Sebab dia jadi pengapit pengantin lelaki tempoh hari.
Sudah ada orang mahu berkenalan. Aku layan saja lah. Namanya Nazrin tua setahun saja dari aku. Kami tidak pernah berjumpa sebab dia berada di tanah seberang. Tapi kami berbalas mesej sangat kerap. Kami bertukar-tukar gambar, dia juga selalu hantar suara nyanyiannya yang merdu. Nazrin memang ada band bersama adik beradiknya. Suara mereka semua sedap-sedap.
Sampai satu tahap hubungan kami menjadi lebih dari kawan. Walaupun hubungan kami hanya di alam maya tapi aku rasa seronok dan di sayangi. Nazrin selalu mengabil berat tentang aku. Dan akhirnya hubungan kami di ketahui oleh ahli keluarga yang lain. Mereka juga tidak menghalang selagi tidak mengganggu pelajaranku.
Apabila sudah masuk hari persekolahan. Aku dapat rasakan hubungan kami semakin longgar. Nazrin jarang text aku. Dari sehari sekali jadi seminggu sekali hingga sebulan sekali. Nazrin banyak beri alasan sibuk dengan hal-hal sekolah. Ya aku tahu hubungan sekadar atas talian ini memang banyak risikonya. Aku juga memang tidak menaruh sepenuh kepercayaan dan harapan kepada Nazrin. Kami masing-masing sibuk dengan kerja sendiri. Tambah-tambah lagi tahun ini aku ada peperiksaan besar PMR. Jadi aku harus lebih fokus dengan pelajaran. Tanpa sedar Nazrin hilang begitu saja. Aku juga tidak berusaha benar-benar mahu menghubunginya. Akhirnya hubungan kami terputus begitu saja.
Share this novel