BAB 4

Romance Completed 6346

"Umi, mana Intan? Dari tadi lagi Hafiz cari dia tak jumpa-jumpa."

Hafiz menyoal Puan Rasidah iaitu uminya akan keberadaan isterinya. Dia mengambil tempat di meja makan. Sebiji gelas yang tersusun elok di atas meja diambil kemudian dituangkan sejag air sirap ke dalam gelas. Gelas yang penuh dengan air sirap diteguknya rakus untuk menghilangkan dahaga.

Kini, sudah hampir enam bulan Hafiz dan Intan disatukan sebagai suami isteri. Dan ini bermakna kandungan Intan sudah mencecah tujuh bulan jika dikira dari tempoh dia mula positif mengandung.

Kehidupan mereka begitu bahagia. Apatah lagi tidak lama lagi akan lahir seorang insan yang akan membahagiakan kehidupan mereka berdua. Sudah tentu hubungan di antara mereka akan bertambah rapat dan mesra.

"Intan dekat belakang dengan Amira. Tengah kait buah pauh. Katanya mengidam. Biasalah tu perempuan mengandung. Suka sangat makan masam-masam."

Di akhir kata, Puan Rasidah tersenyum. Walaupun perkahwinan di antara anak terunanya dan Intan bukanlah atas dasar cinta dari kedua-dua belah pihak, tetapi mereka hidup bahagia sahaja.

Tindakan Hafiz yang mahu mengahwini Intan apabila mengetahui gadis itu mengandung pada mulanya agak mengejutkan Puan Rasidah sekeluarga. Apatah lagi saudara-mara mereka yang lain. Semuanya seperti tidak yakin dengan kemahuan Hafiz. Bukannya mereka tidak tahu Intan itu adalah perempuan yang sudah ditebuk tupai. Kewanitaannya sudah dirampas oleh insan yang tidak bertanggungjawab. Insan yang cuma bertuhankan nafsu semata-mata.

Tetapi kini apabila melihat kehidupan mereka berdua yang sentiasa ketawa gembira, bergurau senda dan saling menyakat antara satu sama lain amat melegakan hati semua saudara mara. Keraguan yang menguasai diri sanak saudara juga sudah hilang dibawa bayu.

Hafiz dan Intan juga sudah serupa belangkas semenjak mereka disatukan. Sentiasa bersama tidak kira masa mahupun tempat. Jika salah seorang tiada, pasti insan yang satu lagi akan mencari akan keberadaan insan yang 'hilang' itu. Seperti sekarang, Hafiz sedang mencari akan 'tempat persembunyian' isterinya. Walhal isterinya itu cuma berada di belakang rumah.

Senyum di bibir Puan Rasidah semakin lebar apabila mengingati akan anak dan menantunya itu. Gembiranya hati tak terkata apabila melihat Intan yang dahulunya asyik senyap dan sentiasa berendam air mata kini sudah pandai bergelak tawa. Anak jantannya yang seorang itu juga turut berubah. Jika dahulu jarang sekali dapat melihat dia tersenyum. Tetapi kini tidak kira masa dan ketika, kerjanya cuma tersenyum dan sesekali terdengarlah tawanya. Apatah lagi jika bersama dengan si isteri.

"Oh.. Patutlah Hafiz cari tak jumpa. Belakang rumah rupanya. Tapi kenapa Intan ajak Amira? Kenapa tak ajak Hafiz aje? Bukannya Hafiz tak pandai nak kait buah pauh tu."

Soal Hafiz lagi. Baki sirap di dalam gelasnya diteguk sehingga habis.

"Nak ajak kamu macam mana kalau kamu tak ada depan mata dia? Intan tu dah lama cari kamu tapi tak jumpa. Alih-alih dia ajak Amira. Kamu faham-faham ajelah adik dengan isteri kamu tu. Memang sekepala! Hahaha."

Puan Rasidah ketawa halus. Dia menggeleng perlahan. Ini satu lagi. Intan menantunya dan Amira anak daranya itu memang sekepala. Dari A sampai Z kalau boleh semuanya mereka nak sama dan serupa. Tetapi tidak hairanlah kerana mereka sama umur. Kedua-dua mereka berumur 21 tahun. Oleh sebab itulah mereka boleh rapat sejak kecil lagi.

Kalau dahulu semasa Intan dan Amira masih lagi digelar kanak-kanak ribena, mereka selalu juga membuli Hafiz yang cuma tua lima tahun daripada mereka. Ada sekali tu, mereka mengajak Hafiz bermain masak-masak. Hafiz yang memang ketika itu kebosanan ikutkan aje lah. Ketika Hafiz sedang asyik menggaul pasir di dalam periuk, Intan dan Amira mencampakkan cacing ke dalam periuk berisi pasir itu. Hafiz apa lagi, terus menjerit dan bertempiaran lari. Mereka berdua pula ketawa terkekek-kekek.

"Ye lah.. Mereka berdua lah yang campak cacing kat dalam periuk Hafiz. Eii!"

Hafiz menggeliang-liutkan badannya tanda geli. Puan Rasidah pula yang mendengar ujaran anaknya itu tambah kuat ketawa. Lucu pula mengingatkan kisah itu.

"Umi ni.. Janganlah ketawa!"

Hafiz tayang muka masam. Geram juga dia apabila ditertawakan dek ibu sendiri.

"Macam mana umi tak ketawa kalau peristiwa tu memang kelakar. Lawak gila kalau tengok muka kamu masa tu. Hahaha!"

Puan Rasidah makin galak ketawa. Memang dia tidak nafikan kisah itu lucu. Apatah lagi dengan riak wajah Hafiz yang memang ketakutan plus kegelian masa tu.

"Ish umi ni.. Baik pergi dekat belakang tengok Intan daripada dengar umi ketawa. Panas hati ni."

Hafiz bangun dari tempat duduknya. Dia menyorong kerusi yang dia duduki tadi ke bawah meja. Gelas yang digunakan tadi dibawa ke singki dan dibasuh. Kemudian dia membawa diri keluar dari ruang dapur. Sekarang misi dia ialah menjejaki isteri tercintanya!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience