BAB 3

Romance Completed 6346

"Macam mana ujian tadi? Positif atau negatif?"

Baru sahaja Intan menjejakkan kakinya ke dalam kereta Perdana hitam milik Hafiz, terus dia diajukan dengan soalan yang dirasakan sangat menyakitkan. Menyakitkan hati, jiwa dan raganya. Abang Hafiz, kenapa tanya Intan soalan macam tu? Intan bersuara namun cuma di dalam hati. Kerongkongnya terasa perit untuk mengeluarkan kata-kata.

Hafiz memerhati gerak-geri Intan yang sedang mengambil tempat di sebelah tempat duduk pemandu di dalam keretanya. Setiap inci wajah gadis itu dipandang galak. Dia tidak kisah jika menghadiahi gadis itu dengan pandangan sebegitu kerana dia yakin Intan sudah tentu tidak perasan akan pandangannya itu kerana dia memakai kaca mata hitam.

Walaupun Intan sudah tidak sesuai dipanggil anak dara, namun Intan masih kelihatan seperti seorang gadis sunti yang masih belum disentuh oleh mana-mana jejaka. Sejarah hitam yang telah berlaku kepada gadis berdahi luas itu telah merubah hampir keseluruhan cara hidupnya. Jika dahulu, dia seorang gadis yang happy-go-lucky dan mulut becok. Tetapi kini, Intan sudah bertukar kepada seorang gadis yang pendiam dan masa lapangnya banyak diisi dengan berendam air mata.

Hafiz yang melihat keadaan Intan turut terkesan dengan perubahan mendadak sepupunya itu. Dahulu mereka sering bergurau senda. Tetapi kini, sepatah yang disoal, sepatah juga yang dijawab. Kadang-kadang sepupunya itu lebih suka berdiam diri dan membiarkan sahaja soalan yang diajukan tanpa jawapan.

"Intan, abang tanya ni. Positif ke negatif?"

Intan memandang Hafiz sekilas. Dia mengeluh perlahan. Patutkah dia jujur menjawab soalan yang diajukan oleh si sepupu. Ataupun perlukah dia berbohong? Tetapi jika dia berbohong, sampai bila pembohongan dia itu akan kekal? Lambat laun, Abang Hafiz akan mengetahui juga tentang hal yang sebenar.

"Positif..."

Perlahan sahaja kedengaran suara Intan menjawab pertanyaan Hafiz. Tanpa sedar, mata yang tadinya kering kontang kini sudah digenangi air mata. Tunggu untuk melimpah ke pipi sahaja.

"Intan... Tahniah."

Hafiz senyum tepi.

Intan memandang Hafiz pelik. Seakan tidak percaya sahaja dengan apa yang baru diungkapkan lelaki itu. Tahniah? Apa yang dimaksudkan dengan tahniah itu? Adakah sepupunya itu menyindir? Ataupun gembira dengan kehadiran satu roh yang bakal menjejak dunia lagi sembilan bulan?

"Tahniah? Apa maksud Abang Hafiz?"

Dengan mata yang bergenang, Intan menyoal Hafiz. Air mata yang mengalir di pipi dia sapu dengan belakang tangan.

"Maksud abang, tahniah lah sebab Intan bakal jadi ibu lagi sembilan bulan," bicara Hafiz sambil menghadiahkan sebuah senyuman kepada gadis yang duduk di sebelahnya.

"So, means abang suka lah Intan pregnant anak luar nikah? Abang, abang sedar tak? Ni anak luar nikah abang. Anak luar nikah! Intan tak nak anak ni abang. Intan tak nak!"

Intan sudah berjuraian air mata. Sedih hatinya, pilu jiwanya mendengar apa yang dituturkan oleh Abang Hafiz. Abang.. Kenapa abang gembira dengan berita ni? Kenapa abang masih boleh tersenyum apabila mengetahui yang Intan sedang mengandung anak luar nikah? Kenapa abang mampu ucapkan tahniah kepada Intan selepas apa yang telah terjadi kepada Intan? Abang, kenapa? Monolgnya tetapi cuma di dalam hati.

"Intan, jangan jadi macam ni. Anak yang Intan kandung tu tak berdosa. Yang berdosa ialah ayah dia, Intan. Tolong jangan hukum anak tu. Kesian dia, Intan. Berilah dia peluang untuk melihat dunia. Berilah dia peluang untuk balas budi Intan yang kandungkan dia. Intan, dengar cakap abang ni. Abang langsung tak bermaksud nak ucapkan tahniah semata-mata untuk sindir Intan. Apatah lagi gembira sebab Intan dah kandungkan anak luar nikah. Tak Intan."

Hafiz menanggalkan cermin mata hitam yang terletak elok di atas hidungnya kemudian diletakkan di atas dashboard. Dia merenung tepat ke arah anak mata hazel milik Intan. Terasa ingin sahaja dia memeluk tubuh genik gadis itu, tetapi dia yakin jika dia melakukan sebegitu pasti dirinya akan tersenarai dalam lelaki yang dibenci Intan.

"Abang senanglah cakap tapi yang menanggungnya Intan, bang. Intan! Mana Intan nak letak muka ni? Dengan saudara-mara sendiri pun Intan rasa dah tak sanggup nak berdepan. Lagilah dengan orang lain. Nanti macam mana kalau jiran-jiran Intan tahu pasal hal ni? Mesti diorang mengata Intan macam-macam bang. Kalau yang kena caci maki tu Intan sorang sahaja tak apa. Ini sekali dengan mak ayah Intan. Intan tak nak semua ni berlaku. Intan tak nak!"

Pipi tembam Intan yang tadinya cuma dicemari beberapa titik air mata kini sudah banjir. Banjir dek manik-manik jernih yang jatuh berjuraian di pipinya. Bersama esakan kecil, Intan menangis. Hati lelaki Hafiz tersentuh melihat keadaan gadis di hadapannya. Tidak sanggup rasanya ingin melihat si gadis menangis lagi. Tidak tahan jiwanya menahan sebak yang mula menyelubungi jiwanya.

Hafiz menarik beberapa helai tisu yang terletak di atap kereta Perdana hitamnya. Kemudian dia menyapu permata-permata yang mengalir di pipi mulus Intan.

"Intan, kita kahwin.."

Hafiz berkata penuh berharap.

Dari sinar mata si arjuna, Intan pasti malah yakin bahawa Hafiz menuturkan setiap patah kata itu dengan ikhlas. Namun, ikhlaskah hatinya untuk menerima diri yang sudah tidak suci lagi untuk dijadikan teman sehidup semati? Sanggupkah dia menjadi suami kepada seorang wanita yang sudah dikotori maruahnya? Dan relakah dia mem-bin dan binti-kan bayi yang bakal melihat dunia nanti dengan namanya? Intan kini diasak dengan pelbagai persoalan yang dia sendiri tidak pasti adakah jawapannya YA ataupun TIDAK.

"A..bang..."

Dengar tidak dengar sahaja suara yang keluar dari celahan bibir munggil gadis itu.

"Intan.. Kalau Intan tanya abang sama ada abang ikhlas atau tak, itu tak menjadi persoalan Intan. Kerana keikhlasan itu ibarat semut hitam yang berada di atas batu yang hitam di malam yang kelam. Tiada siapa pun yang tahu kecuali Allah Yang Maha Mengetahui."

Hafiz berkata tenang. Matanya masih tetap merenung Intan. Langsung tidak dikalihkan ke arah lain.

"Tapi.."

"Intan. Intan cuma jawab setuju ataupun tak sahaja. Kalau Intan setuju, kita boleh terus kahwin. Persiapan perkahwinan tu kita boleh buat ala kadar sahaja. Tapi kalau tak. Abang tak boleh nak kata apa lagi. Itu keputusan Intan."

Baru sahaja sepatah perkataan yang keluar dari mulut Intan, Hafiz terus menyambung ayatnya kembali. Dia langsung tidak memberi peluang kepada si sepupu untuk mengeluarkan kata. Dan seterusnya menyebabkan si sepupu terus kelu. Kelu tanpa sebarang idea untuk berbahas.

"Kahwin bukan perkara yang boleh dibuat main abang. Ia mengenai masa depan. Intan tak nak abang terseksa dengan perkahwinan ni. Rela ke abang terima Intan yang dah tak suci lagi ni sebagai isteri? Lagi pula, Intan sedang mengandung bang. Sanggup ke abang bin dan binti kan anak ni dengan nama abang? Kalau abang rela dan sanggup sekalipun, Intan tak nak bermadu bang. Abang faham kan apa maksud Intan?"

Selepas diam seketika merangka-rangka ayat, Intan kembali berbicara. Dia turut membalas renungan Hafiz. Renungan meminta untuk difahami.

Hafiz senyum mendengar ujaran Intan. Rupa-rupanya perkara itu yang membelengu diri Intan.

"Intan.. Dalam hidup ni, kita sentiasa dididik untuk berfikir dahulu sebelum bertindak. Kerana apa yang kita lakukan sekarang pasti ada akibatnya di masa hadapan. Sama ada baik ataupun buruk. Tapi, kadang kala, kita tidak perlu terlalu banyak berfikir dan berfikir terlalu jauh. Nabi marah, Intan. But, in our case.. Just so you know that I love you. That's enough for you to answer my question. Either yes or no."

Hafiz senyum tepi.

Intan terkedu mendengar apa yang baru sahaja diluahkan Hafiz. 'Just so you know that I love you.' Apa yang Abang Hafiz maksudkan dengan ayat tu? Dia cintakan aku kah? Tetapi...

"Maksud abang?"

Intan kerut dahi menyoal Hafiz.

"Next month kita kahwin, okay? Full stop!"

Hafiz berkata dengan senyuman yang semakin lebar di bibir. Intan kaku sebentar. Seperti tidak percaya dengan apa yang baru sahaja didengarinya. Kahwin? Next month kahwin? Biar betik!?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience