Kehangatan menyambut hari merdeka masih lagi dirasa, setelah dua
hari meraikannya. Sepanjang itu juga, tidak henti-henti Danish berusaha
menyiapkan tugasannya.
Begitu juga keadaan di kaca televisyen. Rancangan-rancangan berkaitan
kemerdekaan dipertontonkan kepada umum. Kehangatan meraikan kemenangan dalam Sukan SEA masih juga terasa. Kejayaan para atlet memenangi ratusan emas adalah luarbiasa gemilangnya. Mungkin inilah antara makna merdeka buat mereka: berusaha sehabis daya, untuk menjadi juara, demi negara.
Tambahan pula, sambutan Hari Raya Haji dapat dijalankan dengan bebas,
tanpa sekatan mahupun syarat-syarat yang ketat. Betapa kebebasan
beragama dapat dilaksanakan dengan harmoni.
Melihat akan kemeriahan ini membuatkan Hakimi tertanya-tanya. Anak
sulong abangnya itu, yang berumur lapan tahun mempersoalkan hari yang
bersejarah saat ini.
“Kenapa meriah sangat hari merdeka ni? Ada apa hari merdeka?” soalnya
sambil tersengih memandang Danish. Raut wajahnya menunjukkan sifat ingin
tahu yang mendalam. Dan, dalam masa yang sama tidak mengerti.
Soalan itu membuatkan Danish terdiam dan berfikir panjang. Dia
tersentak. Kalau boleh panjang lebar nak dijawab. Namun, dia mencari
satu ayat yang lebih ringkas, supaya dapat difahami oleh kanak-kanak
seperti Hakimi.
“Mungkin kau tak akan soal, kalau kau sendiri yang merasai kesusahan
semasa sebelum merdeka dahulu. Mungkin juga kau tak akan bertanya, jika
dapat kau rasa betapa deritanya hati, hidup pada ‘zaman’ itu.” Hati
Danish bersuara sendiri. Menyedari akan sesuatu nilai yang berharga
disebalik persoalan Hakimi yang tak mengerti.
Soalan itu belum lagi Danish jawab. Dalam fikirannya masih lagi
memikirkan tugasannya. Untuk beberapa detik itu, Danish masih lagi
terdiam. Jawapannya telah ada dalam minda, terlebih dahulu disusun
dengan cermat, supaya erti sebenar kemerdekaan itu tidak tersasar.
Pandangan matanya hanya ditumpukan ke arah skrin televisyen. Belum pun
sempat Danish menyuarakan jawapan, Hakimi terus saja meluru ke luar
rumah. Bermain dengan girang. Bebas, sebebas perasaan gembiranya.
Share this novel