Itu kisah semangat dan makna merdeka untuk enam puluh tahun yang
lalu. Oleh para pemimpin dan rakyat pada zaman itu...”
Kedengaran bunyi motorsikal bapanya memasuki halaman rumah yang
sedikit luas. Rumah taman itu sangat tersusun, berbaris-baris. Ruang
halaman luar yang berbumbung hanya mampu memuatkan sebuah kenderaan dan
beberapa motorsikal. Kawasan perumahan yang mempunyai kejiranan yang
sangat rapat antara satu sama lain. Dibina saling bersebelahan.
Sekalipun digelar ‘kampung’, namun kemajuan yang telah diberikan –hasil
inisiatif kerajaan- sangat jelas kelihatan. Terutamanya, dalam bahagian
komunikasi. Sambungan internet juga memuaskan. Tidak putus-putus Danish
menerima mesej dari aplikasi whatsapp, melalui telefon pintarnya.
Masing-masing menceritakan aktiviti mereka sepanjang cuti. Ada yang
berswafoto di puncak bukit, mencabar kemampuan diri. Ada yang berswafoto
di dalam Stadium Bukit Jalil pada malam kelmarin, meraikan kejayaan para
atlet negara menjuarai secara keseluruhan, mengatasi semua negara Asia
Tenggara yang terlibat, sekaligus menyambut ambang merdeka. Kesemua
rakannya sangat gembira. Riak wajah jelas kelihatan.
“Yes, dapat cuti lagi sehari!” Teks salah seorang rakannya di
ulang baca. Mengingatkan Danish pada malam semalam. Malam ambang
merdeka. Di mana, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah bermurah
hati untuk memberikan cuti tambahan. Demi meraikan kejuaraan para atlet
dalam Sukan SEA.
Share this novel