Terkebil-kebil matanya menatap skrin laptop. Berfikir mencari
jawapan terhadap pertanyaan yang wujud dalam dirinya. Sebahagian teks
telah dinukilkan. Selebihnya masih lagi diselidiki dengan teliti di
dalam fikiran dan pemerhatiannya sendiri. Berulang-ulang kali dia
membaca ayat yang telah ditulis:
“Hari yang sekali lagi menjadi wakil saksi akan sejarah gemilang
yang telah terbentuk, hasil dari susah payah, keperitan dan jerih
usaha yang tidak kenal putus asa, oleh para pemimpin dalam menuntut
kemerdekaan untuk tanah air sendiri. Bukan kecil langkah yang telah
mereka ambil. Terutamanya oleh tokoh ‘Bapa Kemerdekaan’, Tunku Abdul
Rahman. Untuk mendapatkan kemerdekaan adalah impian dan cita-citanya
yang sangat mendalam. Harapan ini dia semai, dan kerananya dia tidak
akan berputus asa. Lambat laun, pasti akan tercapai juga. Yakinnya
dalam hati. Sangat tinggi. Beliau tidak melakukannya secara
individu. Malah, para pemimpin yang mewakili setiap kaum di tanah
Malaya pada ketika itu bersatu hati berganding bahu untuk
menuntutnya. Pengorbanan rakyat juga sangat luarbiasa. Mereka sangup
bergolok gadai harta benda dan menyerahkan segala emas dan permata
kepada Tunku. Supaya para pemimpin dapat menanggung kos pergi dan
balik ke London. Bagi mengadakan perbincangan damai untuk
memerdekakan tanah air yang sangat beliau cintai. Rakyat pada ketika
itu bagaikan tidak peduli akan keadaan ekonomi yang serba kekurangan
dan kesempitan, sebahagiannya. Tidak mengapa, kerana mereka juga
meyakini. Keadaan akan jadi jauh lebih baik, jika kemerdekaan dapat
dituntut. Demi kebahagiaan anak cucu mereka pada masa depan, mereka
sanggup berkorban! Pada detik itu, mereka sudah jemu dan
meronta-ronta hidup dalam pemerintahan kuasa asing, yang melesukan
kegemilangan hidup mereka sendiri. Kerana itu mereka tidak peduli.
Akhirnya, berkat usaha, laungan kemerdekaan dapat juga dilaungkan
oleh Tunku Abdul Rahman. Cita-citanya telah tercapai. Hanyasanya
‘baton’ itu telah bertukar tangan, untuk generasi akan datang
bersungguh-sungguh dalam ‘lariannya’ pula. Mencorak dengan warna dan
kemahiran tersendiri, melakar kelangsungan sebuah negara. Tujuan dan
harapan untuk terus melihat sebuah negara yang mampu melakar
kejayaan demi kejayaan. Sekalipun sangat sukar untuk membuktikannya.
Cabaran, rintangan dan halangan sentiasa menjadi peneman yang perit
lagi melukakan.
Share this novel