BAB 1

Family Completed 1155

Kalau dulu, aku sering menurut langkah atuk ke kebun yang terletak di kawasan bukit nun jauh di hujung kampung kami. Berbekalkan sebilah parang tajam dan sebotol air masak, aku membonceng atuk dengan Honda 70 miliknya.

Sekali sekala sahaja nenek mengirim siya untuk dibuat alas perut tika perut berdondang sayang. Ada ketikanya, nenek pun akan turut ikut serta ke kawasan yang masih segar dengan enau dan mergastuanya.

Setiap kali telapak kakiku mencecah tanah, atuk akan mengingatkan aku agar jangan terlalu gelojoh untuk berkira bicara.

Kata atuk, kawasan hutan seperti di bukit itu, ada pantang larangnya. Jikalau hendak membuang air kecil, perlu meminta izin daripada datuk-nenek. Takut kalau-kalau tersampuk dek hantu.

Waktu itu aku masih berhingus hijau dan secara automatiknya aku mempercayai cakap atuk bulat-bulat.

Namun, perkara yang paling menyeronokkan ialah ketika aku berkubang dalam air terjun yang penuh dengan batu-batu keras dan licin.

Atuk mencempung aku yang ketika itu hanya berseluar ‘katak’ hingga buku laliku mencecah dingin air. Tidak betah membiar sejuk mencecap tubuh, aku bingkas naik ke watas.

Mengekek-ngekek atuk melihat aku yang tidak cukup lelaki untuk berendam di dalam air separas pinggang atuk.

Pulang sahaja dari bukit, aku terus demam. Risau akan aku yang akan diserang sawan apabila demam panas, pantas kaki nenek diatur ke rumah Mak Long Doyah untuk mengutip daun sireh dan bunga raya untuk dibuat tuaman.

Kata nenek, daun sireh dan lendir bunga raya yang diramas akan dapat mengurangkan panas-panas badan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience