BAB 7

Family Completed 1155

Aku pulang dari masjid yang baru sebulan siap dibina. Dari segi struktur binaannya, aku dapati ia cukup kukuh dan ruang solatnya pun besar.

Mampu memuatkan 50 orang untuk satu-satu masa. Syukurlah. Sekurang-kurangnya, masjid ini mampu mendekatkan umat-Nya kepada Sang Pencipta, insyaALLAH.

Setibanya aku di simpang jalan, aku meminta izin daripada atuk untuk ke kedai sebentar. Melihat atuk yang keletihan, aku meminta Adan, cucu Pak Rani yang melalui jalan yang sama memboncengkan atuk ke rumah. Aku pula berjalan kaki menuju ke kedai.

“Orang bandar masuk kampung kena bawa balik sekali pepatah Melayunya. Kalau masuk kandang kambing, kenalah jadi kambing. Jangan nak berlagak jadi harimau. Silap hari bulan, belang ke mana, taring ke mana.” Mataku melilau mencari gerangan suara yang seakan-akan memerli aku. Namun, aku tidak terus melatah kerana belum pasti lagi suara itu mengutuk akan aku.

Aku mencapai sekotak ubat nyamuk, dua kilo tepung gandum, dua bungkus kopi dan beberapa barang keperluan lain memandangkan barang-barang di rumah atuk sudah kehabisan.

“Orang kata, bukan aku kata tau...” tiba-tiba satu suara yang lain pula kedengaran pada halwa telingaku. “... orang kata, tak guna ada telinga kalau letak di lutut.

Tak guna juga ada mulut kalau letak di tumit. Baik, ambil telinga dengan mulut buang dalam parit longkang. Tak adalah nak sibuk-sibuk jadi Hero Malaya.” Berderai ketawa sekumpulan anak muda yang sedang asyik melungguh di kedai kopi sambil memetik gitar cabuk.

“Saya rasa, abang-abang semua dah silap orang ni. Saya tak kenal abang-abang semua.” Jawabku berani walakin dadaku berkocak hebat.

Seorang lelaki berseluar pendek bangun lalu meluru ke arah aku. Kahar! Patutlah suara sebelumnya seperti pernah aku dengar.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience