BAB 5

Family Completed 1155

Aku mengetap bibir. Keinginan yang memuncak membuatkan aku terlupa agar berfikir dahulu sebelum berkata-kata. Tapi mujurlah Pak Rani dan Haji Hattan mengerti.

“Itu Kahar. Dia tu gila kuasa. Itu sebab asyik angin satu badan. Orang nak kutip, dia nak kutip. Tapi bila /time/ kerja, dia dulu-dulu membongkang!” ujar Pak Rani.

Dari raut wajah Pak Rani, aku tahu sebetulnya dia sedang menahan amarah. Atuk yang berada di sebelah hanya diam seribu bahasa.

“Darah muda macam kamu Man, biasalah. Semuanya tak kena. Tapi, dia tak patutlah salahkan atuk kamu ni. Memang betul atuk kamu yang kutip duit tiap-tiap bulan tapi bab ada air ke tak ada, tak boleh salahkan dia. Masa mula-mula tubuhkan jawatankuasa dulu, masing-masing dah pegang jawatan masing-masing. Tak ada pula yang merungut. Tapi lepas sebulan, semua naik tocang, dan yang jadi mangsa atuk kamulah.” Ada riak kesal di wajah Haji Hattan. Namun, aku masih belum faham keadaan yang sebenarnya. Segalanya masih samar-samar.

“Saya nak minta maaflah tapi sebetulnya saya masih tak berapa nak faham, Pak Rani, Tuan Haji. Air apa ni?” soalku terus-terang.

“Penduduk-penduduk kampung kita ini ada yang guna air bukit dan ada juga guna air paip biasa tu. Haji Hattan, Pak Rani dan beberapa orang kampunglah yang mencadangkan agar air di bukit sana tu disalurkan ke rumah-rumah. Tiap-tiap bulan, setiap rumah yang guna air bukit dikenakan bayaran tiga ringgit. Tapi masalahnya sekarang, setiap kali hujan, air bukit tu tak keluar. Tersekat dengan pasirlah, kayulah. Biasalah, dah namanya air bukit. Lepas tu, ada masanya paip utama tu pecah, bocor. Kenalah ambil masa nak baikinya. Kadang-kadang separuh hari dan ada masanya sampai sehari. Itu sebablah si Ishak tu marahkan atuk.” Kali ini atuk pula yang memberi penjelasan. Aku mengangguk faham.

“Dia marahkan atuk kamu bukan sebab air tu sahaja tapi sebab lain. Kalau kamu nak tahu Man, waktu bertanding untuk pegang jawatan /collecter/ tu, si Ishak itulah pesaing atuk kamu. Tapi, mana ada orang nak percayakan si Ishak tu. Kaki kebas!”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience