BAB 4

Family Completed 1155

Pada mulanya, nenek melarang aku datang ke sini kerana mahu aku berehat dahulu. Namun, aku mahu mendengar sendiri warna warta yang terjadi di kampungku ini.

“Masalahnya, duit kutip tiap-tiap bulan! Tapi air kadang-kadang ada, kadang-kadang tak ada. Kalau hari hujan lagi teruk! Air kotor macam selut!”

Suara tengkingan seorang lelaki menusuk ke copeng telingaku. Lagaknya seperti seseorang naik minyak.

Matanya mencerlung dengan mulut memaki hamun beberapa orang lelaki yang cuba menghalangnya.

Aku masih tidak pasti gerangan empunya suara itu. Suara itu tenggelam-timbul sebaik sahaja lelaki itu tiba di tempat parkir.

Beberapa minit kemudian, kelihatan kelibat atuk, Pak Rani, Haji Hattan, Bilal Yusop dan beberapa orang lagi keluar dari balai raya.

Masing-masing mahu bercakap tetapi atuk hanya diam mendengar celoteh mereka.

“Assalamualaikum.” Aku berjalan menuju ke arah mereka.

“Eh! Ini Demak kan? Cucu kamu ya Din? Bila balik?” soal Pak Rani sambil menepuk-nepuk bahuku.

“Balik pagi tadi. Man tunggu atuk di rumah tapi nenek kata atuk ada di balai raya. Sebab itulah Man datang. Tadi tu siapa?” beberapa orang kawan atuk meminta diri untuk pulang. Kini, yang tinggal hanyalah atuk, Pak Rani dan Haji Hattan.

“Yang mana satu Man?” soal Haji Hattan pula.

“Masa Man sampai tadi, ada seorang lelaki keluar dari balai raya sambil marah-marah. Siap maki hamun lagi.” Atuk menjeling ke arah aku. Barangkali dia tidak mahu aku ikut menyibuk.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience