Seharian dia memikirkan tentang nombor itu. Ditatap lama gambar profil lelaki itu di Whatsapp. Hanya gambar ayat al-Quran dan statusnya masih atas talian menandakan dia sedang aktif di aplikasi hijau ini. Damia mula berguling di atas katil.
Otaknya ligat memikirkan ayat yang sesuai untuk memulakan bicara. Aduh kepala ni pun. Masa nak kritik orang itu ini boleh pula fikir nak kasi ayat apa. Ni, setakat nak minta maaf takkan la jadi sesusah ni?
Pelipisnya diurut perlahan. Masuk hari ini, sudah seminggu bayangan lelaki itu sering berada di dalam mindanya. Entah kenapa asyik teringat-ingat perbualan mereka di perlawanan bola tampar hari tu.
Akhirnya dia memilih jalan untuk membuka kembali akaun instagram milik lelaki itu.
"Adam Thufail." Damia membaca sebaris nama itu sebelum tangannya mula menekan papan kekunci mencari nama Adam. Semua gambar diperhatikannya satu demi satu sehinggalah satu gambar Adam bersama keluarganya.
"Cantiknya kakak dia. Eh wait—"
"—inilah kakak dia yang aku ingat bini dia tu hahaha!" Berdekah dia ketawa mengenangkan kebodohannya.
Puas berlegar-legar di akaun Instagram, Fac pula dibuka. Akaun di fac Adam nampak macam kurang aktif mungkin kerana dia sudah bergerak ke instagram. Lagipun pengguna Fac kini sudah ramai yang mula berhijrah ke Instagram.
"Gold medal untuk bola baling. Aktifnya dia. Bola baling lagi. Ijazah silat lagi." Damia menggeleng kepala apabila dia mula membandingkan dirinya dengan Adam. Nak dibandingkan dengan Damia, Damia hanya aktif dalam bola tampar aje.
Dia berhenti seketika saat matanya tertancap pada akaun kakak Adam. Aliya Marissa. Terus ditekan pula akaun kakak Adam.
Matanya membulat saat melihat post Aliya yang dimuat turun pada tiga bulan yang lepas. Beberapa gambar yang dimuat naik adalah gambar Adam yang sedang terlantar di hospital. Keadaannya yang sangat menyedihkan, wayar berselerak sana sini. Kakinya berbalut dari hujung kaki sampailah ke peha. Tangan pula patah dan dia dibantu oleh alat bantuan pernafasan.
"Ya Allah kesiannya dia." Habis satu demi satu gambar dia zoom.
3 bulan, bermakna hari di mana Kijang mula berhenti berinteraksi dengan Adam. Boleh jadi kemalangan ini berkaitan dengan kehilangan Kijang. Tarikh gambar dimuat naik turut dicatat di dalam buku nota kecil Damia.
Ah buku nota kecil konon. Setiap hari dia berdoa supaya tiada sesiapa jumpa buku ni. Kerana semua tentang Adam, dia akan catat di dalam buku ini sekali gus melekat dalam ingatan!
Tarikh Adam kemalangan adalah tarikh yang sama mereka hilang jejak Kijang. Lokasi Kijang juga bukan berdekatan dengan tempat tinggal Adam.
"Kau buat apa dengan data Adam?"
Suara garau dari arah pintu buat jantung Damia gugur. Terus buku dan telefon ditelangkup seraya mata bertemu mata Daain. Adiknya sedang bersandar di bingkai pintu sambil berpeluk tubuh.
Tak semena-mena jantung berdebar. Daain ni. Kalau bab data komputer, memang tiada sesiapa boleh tipu. Tak lain tak bukan, pasti Daain dapat kesan perbuatan Damia semalam.
Liur ditelan. "Saja. Dia handsome." Memang betul pun?
Daain katup pintu sebelum labuhkan duduk di atas katil Damia.
"Kau tak lepak dengan dia orang ke hari ni?"
"Jangan tukar topik, kak. Dengan orang lain kau boleh nak mengelat. Dengan aku, tak boleh." Suara Daain berbaur amaran.
Sengih kecil Damia.
"Kenapa kau ambil data Adam?"
Mata Damia menerawang. Gaya dah memang tak mahu jawab soalan dah tu.
Keluhan kecil keluar dari bibir adik lelakinya. "Aku tak kisah kalau kau nak data dia. Tapi kau janganlah main redah aje. Ni aku yang tangkap. Kalau dia orang yang tangkap, kau nak jawab apa?"
Bibir Damia kulum ke dalam. "Tapi kita kan dah rapat dengan dia orang? Takkanlah dia orang nak marah..."
"Marah tak marah tu lain cerita. Kita baru kenal dia orang berapa bulan. Boleh jadi Rafael ke, Leo ke mengadu dekat Uncle Radhi. Benda tu dah dikira langgar peraturan Juniper. Kau pun tahu kan?" Lembut saja teguran Daain. Lagipun dia tahu Damia ni tak boleh dimarahi. Lagi dimarah, karang lagi melarat perangainya.
Bibir Damia naik muncung. "Sorry."
Melihat reaksi Damia, Daain sekadar senyum kecil. Bimbang hati kecilnya apabila melihat data penggunaan komputer semalam.
"Kau ada adik pandai komputer, kenapa tak mintak aje dengan aku?" Daain cuba mengintai wajah Damia yang sudah terteleng membelakanginya.
Damia curi-curi tengok Daain sebelum nafasnya dihela. Bahu turut jatuh.
"Aku tahu benda tu salah, sebab itu aku tak minta tolong sesiapa."
"Adik kau ni tak adalah kejam mana."
"Tapi kau rapat dengan Leo."
"Siapa ketua Juniper sekarang ni, hm? Kau kan?"
Damia menjeling. "Kalau aku ketua, kasi lepas ajelah kalau aku ambil data Adam."
Tawa Daain menarik perhatian Damia. Dia ni, orang serius!
"Ketua pun, anak buah boleh khianat tau. Tapi adik kau yang seorang ni, takkan kau tak boleh percaya?" Nakal Daain merenung wajah masam cemberut kakaknya.
Akhirnya Damia berpusing menghadap Daain. Buku dan telefon diterbalikkan semula lalu akaun Fac Adam terpampang.
"Tolong aku. Aku suka Adam Thufail ni." Terus. Tak ada belok kiri kanan!
"Sungguh?" Daain tak percaya.
Angguk. "Sungguh."
"Sungguh yang betul-betul sungguh?"
Damia angguk laju. Dia yakin. Dia mahu Adam Thufail sedar akan kewujudannya!
JAM sudah menunjukkan pukul 5 petang. Latihan bola tampar baru saja habis dan Damia sudah tertunggu-tunggu notifikasi dari seseorang di telefonnya. Sementara pemain lain sudah beransur pulang, Azzah terus mengusung langkah ke arah Damia.
"Kau tak nak balik lagi ke?" Soalan Azzah buat Damia terdongak.
"Kejap lagi."
Skrin telefon Damia cuba diintainya. "Kau tunggu siapa-siapa ke?"
Damia sengih. "Daain datang ambil kejap lagi."
Azzah sekadar mengangguk. Jarang sekali nak tengok Daain datang jemput Damia. Selalunya lepas habis latihan, Damia akan mengajaknya untuk makan cendol di taman perumahan Azzah.
"Kau dah tak nak kawan dengan aku ke?"
Terus sengihan Damia hilang. "Kau kenapa?"
"Yelah. Kebelakangan ni, kita dah jarang makan cendul tau. Mak aku pun tanya, mana Damia? Mana Damia? Bukan kau selalu balik dengan Damia ke? Mak rindu nak tengok muka dia." Dah serupa pisah setahun ceritanya.
"Ala sorry lah. Aku... Aku ada hal nak kena settle dengan Daain. Itu yang asyik tak dapat balik sama-sama." Damia cuba berdalih.
Takkanlah dia nak jujur yang selama ini dia sentiasa berada di bawah jagaan Juniper? Aduh gatalnya kepala nak fikir bagi alasan apa dekat Azzah.
Azzah mencebik. "Hm tu, adik kau dah sampai." Matanya terarah pada sebuah motosikal berkuasa tinggi. Lihat pada nombor plat saja sudah tahu itu Daain.
Azzah dan Damia berbalas pandangan. Tiba-tiba Damia memeluk Azzah.
"Eh apa kau ni? Aku berpeluhlah!"
"Aku minta maaf. Aku bukannya sengaja tak nak makan cendul dengan kau." Damia leraikan pelukan mereka. Dia tahu, Azzah bukan main-main bilamana dia mula menyuarakan kata-kata emaknya.
"Lepas ibu aku dah tak ada, banyak benda yang aku kena selesaikan. Banyak benda... yang aku kena start from scratch." Berat untuk dia katakan tetapi setakat itu sajalah yang Damia boleh kongsikan dengan Azzah.
Bibir Azzah melekuk membentuk senyuman. "Aku tahu. Kau janganlah ambil serius dengan apa yang aku cakap tadi."
Mendengarkan itu, Damia turut tersenyum. Lega. Dia dan Azzah sudah lama berkawan. Untuk dia kehilangan Azzah hanya kerana tak makan cendul, macam tak logik juga. Tapi jika penjelasan saja yang Azzah perlukan, Damia juga tiada masalah untuk berkongsi.
Tapi bukan tentang Juniper. Semua tentang mereka terlalu gelap untuk Azzah tahu.
"Bye Azzah."
PANJAT aje tempat duduk di belakang Daain, tak mampu lagi untuk dia sembunyikan senyuman teruja. Tersarung saja helmet muka penuh di kepala, terus deruman enjin motosikal itu bergema.
Tangan yang memegang jaket kulit Daain pada bahagian belakang sudah meramas-ramas di situ. Teruja dengan rancangan mereka, Damia langsung tak dapat kawal diri.
Sampai saja di kawasan taman permainan yang dikelilingi rumah-rumah besar, Damia turun dari motosikal itu. Daain turut menanggalkan helmet Damia sebelum visor miliknya diangkat. Matanya beradu penuh pada si kakak.
"Sini." Lengan Damia ditarik sebelum tangannya naik membetulkan tudung kakaknya.
Damia pula menjengket-jengket kaki bersama senyuman di bibir. Suka apabila dilayan begitu.
"Nanti dah habis berlakon, call aku guna telefon lagi satu." Pesan Daain.
"Baik."
"Jangan balik lambat sangat. Kau tu perempuan."
"Baik."
Daain senyum kecil di balik helmet. Dah lama rasanya tak nampak Damia berasa teruja begitu. Lagi-lagi apabila berkenaan dengan lelaki.
"Jaga diri. Aku gerak dulu."
Sebaik sahaja Damia berpaling menghadap taman permainan itu, senyumannya hilang. Perlahan suaranya berdeham sebelum mood berlakonnya dihidupkan.
Dan bibir kembali menarik senyuman nakal.
Tunggu kau, Adam.
Share this novel