ADAM bersandar di kepala katil sambil tangannya utuh memegang telefon pintar. Sikit-sikit tangannya zoom gambar Farisha. Sesekali dia ketawa kecil. Entah kenapa sejak kejadian siang tadi di hospital, Adam mula merasakan Farisha sudah mula bersikap terbuka apabila dengannya.
Kalau dulu mungkin Farisha teragak-agak dalam setiap tindakannya. Di mana perbuatan itulah yang membuatkan hati Adam cair berkali-kali. Panjang dia menghela nafas sebelum telefonnya ditelangkup di perut.
Namun apabila dia teringatkan jenakanya ingin bertunang dengan Farisha akhir bulan ini, lagilah dia galak ketawa sendiri. Kepala sudah menggeleng. Reaksi Farisha yang sedikit kaku dan terkejut tadi sampai sekarang pun masih dia rasa kelakar dan comel.
"Dari balik tadi lagi aku tunggu kau share story, apalah yang kelakar sangat tu."
Senyuman Adam pun ternoktah.
Matanya mencerlung ke arah sosok tubuh yang berdiri di muka pintu kamarnya, Along.
Along bersandar pada pintu sambil tangan berpeluk tubuh bersama senyuman sinis di bibir. Langsung dengan langkah bersahaja, dia pun masuk tanpa dijemput.
"Hm nak apa?" Adam turut duduk bersila, memberi ruang kepada tetamu tak diundang itu.
Along masih dengan senyuman, terus melabuhkan duduk di depan Adam. Faham benar Adam ni paling tak suka bila waktu dia ketawa sorang-sorang tu, waktu itulah Adam tak mahu diganggu.
Apa lagi kalau bukan kerana buah hati?
"Kau dengan Farisha berapa lama dah?" Along mulakan topik.
"Sebulan kot."
"Kejapnya? Bukan kau orang dah lama kenal?"
Adam mengeluh. "As a couple, precisely." Takkan itu pun dia kena terangkan?
Along sekadar angguk. "Bukan apa. Papa dah mula tanya-tanya bila nak merisik. Sebabnya nak jugaklah berjumpa dengan pihak sebelah sana."
Lipat maut Adam memandang Along. "Bila papa jumpa kau?"
Along sembunyi senyum melihat perubahan drastik Adam. "Pagi tadi."
Tak reti lagi nak berselindung, bibir Adam meleret senyuman. "Tak lama dah. Dah ready nanti, aku bagitahu." Mata sudah terjeling-jeling Along.
Meluat melihat Adam yang mula jadi gedik, Along terus angkat kaki. "Geli-geli je kau ni."
Pun begitu, Adam masih dengan sengih kambingnya. Keluar saja Along dari kamarnya, sengihan bertukar senyuman. Boleh dikatakan, senyuman lega. Menjadi saksi betapa zuhudnya hidup Farisha, semangatnya untuk memiliki gadis itu kian berkobar-kobar. Pedulikan semua latarbelakang Farisha.
Dia cuma mahukan Farisha yang sekarang. Untuk dia lindungi sepenuh hatinya.
SEJAM sudah berlalu tetapi dia hanya mampu merenung siling rumah. Dia buntu. Keberadaannya sudah dikesan oleh 'mereka'. Satu keluhan kecil dia lepaskan.
Getaran dari telefonnya juga tidak reti-reti nak berhenti. Siapa lagi kalau bukan Adam? Dengan penuh rasa malas, telefon dicapai lalu ditenung pula skrin itu.
Adam is calling...
Farisha garu kening. Kalau boleh dia tak nak luangkan masa sepenuhnya dengan lelaki itu. Terlalu banyak perkara yang bermain di mindanya saat ini. Sebahagian besar daripada duitnya baru saja habis dibayar orang upahannya. Mana dapat duitnya kalau bukan dari Adam?
'Ibu' Farisha yang mereka berjumpa tempoh hari, itulah orang upahan Farisha. Memang pada dasarnya lagi Farisha hidup sebatang kara. Tapi disebabkan Adam tak habis-habis mahu berjumpa dengan keluarganya, Farisha bertindak untuk 'mewujudkan' seseorang bergelar ibu.
Kalau tidak, jenuh pula nak mencari kubur ibunya. Dia pun tak kenal siapa ibu kandungnya siapa.
Berderet 3 kali panggilan Adam tidak diangkat, berderet juga mesej masuk.
Adam : I ada berita baik. Tapi you tak angkat, tak apa. I cerita sini jelah.
Adam : Papa I dah tanya bila kita nak tunang. Kalau kita proceed plan kita hari tu boleh je kan?
Adam : I tak sabar nak kahwin dengan you, sayang.
Farisha tersenyum... jelik.
Tak lama selepas itu dia mendengus tawa. Tak percaya dengan apa yang baru saja dikatakan oleh Adam. Dalam tempoh masa sesingkat ini, Adam sudah yakin mahu memperisterikan seseorang sepertinya? Cinta pun tidak, kahwin jauh sekali.
Satu keluhan dia hamburkan. Beratnya keputusan ingin dikatakan. Farisha sendiri belum bersedia untuk hidup di bawah bumbung yang sama dengan mana-mana lelaki. Sakit untuk muntahkan hakikat bahawa dia sendiri seorang 'pelarian'. Asal usulnya hanyalah rekaan semata.
Untuk berkahwin dengan seseorang yang hidup di bawah nama keluarga yang besar, bukankah itu satu prejudis?
Rasanya cukuplah sampai di sini. Dia rasa... dia dah terlalu banyak menyusahkan Adam. Keinginannya sudah mula muncul buih-buih cinta. Tetapi dia yakin lelaki selemah Adam, takkan mampu menggalas tanggungjawabnya untuk melindungi Farisha daripada 'mereka'.
Matanya melirik ke arah 2 bagasi di tepi pintu. Tekadnya, dia dan Adam takkan bersama dan 'mereka' juga sudah mula mencari Farisha. Atau lebih tepat, memburu.
Lantas, satu mesej berbaur menyakitkan hati dihantar kepada Adam.
Farisha : Sorry Adam. I rasa hubungan kita cukup sampai sini je. I tak nak ada apa-apa lagi dengan you. Go get a better life. Selama ni pun, I tak nak hubungan kita pergi sejauh ni. You know what? I saja test market. Tak tahu pula you betul-betul suka perempuan kampung macam I.
Farisha : Goodbye, Adam. Wishing you the best of luck in all your future endeavors.
Dan satu senyuman puas terukir.
ADAM jadi nanar. Mesej yang baru diterima dibaca hanya sekilas sebelum kakinya membuka langkah besar menuju ke kereta. Panggilan Along dan yang lain tidak diendahkan. Dalam kepalanya sekarang ni cuma teringkatkan Farisha.
Seminggu selepas mereka berjumpa dengan ibu Farisha, Farisha langsung tak ke tempat kerjanya. Adam puas tanya sebabnya tetapi Farisha cuma kata dia tidak sihat dan perlukan duit untuk membeli ubat-ubatan.
Kereta belum sempat hilang panas lagi sudah dipecut keluar dari rumah. Rumah Farisha ditujunya. Jantungnya berdegup laju teringatkan mesej Farisha tadi.
Kenapa? Macam tiba-tiba saja keputusan Farisha tadi. Seolah-olah meninggalkan Adam dalam keadaan terpaksa. Ada sesuatu yang telah terjadi ke sepanjang minggu ni tanpa pengetahuannya?
Hampir saja tiba di satu simpang untuk masuk ke dalam kawasan perumahan Farisha, matanya jatuh pada Farisha yang baru saja memasuki perut kereta teksi. Belum sempat Adam membuat pusingan, ada kereta lain dari arah berlawanan mengejutkan Adam dengan satu bunyi hon yang panjang.
Dan sekelip mata, tubuhnya seperti diapit depan dan belakang. Kaki yang utuh di bahagian pedal terasa mencucuk dari arah depan. Semuanya berlaku hanya dalam sesaat. Pandangan yang mulanya berpinar, beransur gelap.
Satu perkara yang bermain di mindanya buat kali terakhir, Farisha. Kereta yang dinaiki Farisha, sudah selamat meninggalkannya.
Share this novel