Sebulan telah berlalu dan tangan Adam kini sudah pulih sepenuhnya kecuali kaki. Kedua-dua kaki masih tidak kuat untuk melekap sepenuhnya ke tanah. Setelah berulang kali merengek tidak mahu ikut Aliya, akhirnya Adam akur dan hanya diam di kerusi rodanya.
Matanya melilau sana sini melihat suasana tempat yang dibawa oleh Aliya. Ramai pemain bola tampar yang berlegar sana sini dan bingit dengan suara-suara bersorak. Adam sudah menayang wajah bosan. Aliya pula hanya menyepi dan menolak saja kerusi roda.
Akhirnya kerusi roda Adam berhenti di tepi teres tempat duduk orang ramai di situ. Aliya menurunkan penahan agar kerusi roda Adam tidak bergerak.
"Akak belikan air dengan makanan kejap. Adam tunggu sini tau." Adam hanya mengangguk akur. Penahan yang dipasang oleh Aliya tadi pantas dibuka semula. Matanya mula melilau memerhatikan persekitarannya. Semua pasukan bola tampar gigih berlawan demi mendapat hadiah lumayan.
Dia ke sini pun kerana syarikatnya telah menaja hadiah lumayan itu. Kata papa ini adalah salah satu cara untuk mereka ada hubungan baik dengan beberapa universiti swasta dan tempatan. Tambahan pula Adam sendiri meminati sukan bola tampar.
Memikirkan dia sudah lama tidak pijak rumput setelah berbulan lamanya berkurung dalam bilik, ada baiknya juga dia ikut Aliya. Hari ini pemain perempuan saja yang beraksi di gelanggang manakala pemain lelaki pula akan beraksi pada minggu hadapan.
Adam hanya melalukan matanya sehinggalah dia ternampak seorang pemain cina terjatuh saat menyangga bola. Terus dia menutup mata rasa tak sanggup tengok. Disebabkan dia sudah bosan menunggu Aliya membeli makanan, Adam mendongak melihat ke dada langit.
Sekali sekala telinganya diterjah dengan sorakan demi sorakan kepada pemain-pemain bola tampar. Tangan dibawa ke dagu lalu menopang dagunya lama. Lama dia membawa diri setelah ditinggalkan oleh Farisha.
Dia tersenyum sumbing. Kini sudah masuk tiga bulan dia pergi membuat haluan sendiri, meninggalkan Farisha yang entah apa khabarnya.
"Eh awak ni budak broken tu kan? Yang nyanyi lagu Di Matamu yang tak cukup nafas tu."
Adam berkerut memandang gadis di hadapannya kini. Tekaknya rasa berpasir.
Rasa... dejavu.
NAFAS Damia termengah-mengah. Masuk kali ini sudah dua kali perlawanan mereka dengan kumpulan TheGold dilakukan. Semuanya kerana mereka asyik seri. Kini mata terbanyak memihak kepada mereka, Alhamdulillah. Nasib baik Damia digantikan dengan orang lain. Tak ada lah dia seorang saja yang berusaha bagai nak rak.
PRITT
"Yeay!!" Kumpulan Damia akhirnya bersorak kuat sebaik sahaja bola yang diservis Azzah tidak dapat disambut oleh perempuan cina berambut pendek yang akhirnya jatuh tersungkur.
Namun sorakan Damia beransur perlahan sebaik sahaja dia perasan akan sesuatu. Matanya terlihat seorang lelaki berbeanie di kepala dan duduk berehat di atas kerusi roda. Damia memincilkan matanya. Tak cukup dengan itu, dia menenyeh-nenyeh mata memastikan apa yang dia lihat saat ini.
Seketika, Damia ternganga sedikit. Takkanlah dia salah orang? Panggilan Azzah dan teman seperjuangannya yang lain sudah tenggelam. Tumpuannya kini jatuh pada si dia yang nun jauh di sana.
Wajahnya masam. Tangan setia menopang dagu. Dan mata... setia termenung jauh bagaikan tenggelam dengan dunia sendiri.
Betul lah tu dia! Damia sudah mula menyusun strategi jahat di dalam kepala.
Hehehe. Siap kau.
Damia mula melangkah merapati lelaki itu.
NYANYI tak cukup nafas? Macam kenal je ayat ni. Ke kebetulan aje?
"Ye. Awak yang broken tu. Strumming gitar kat YouTube tu." Nada suara pada hujung kata berbaur sinis.
Terus Adam mendongak memandang wajah polos gadis tadi. Tak salah lagi. Dia lah perempuan yang berani memberi komen yang tidak memberi kemaslahatan emosi Adam tentang suaranya di YouTube. Nak dibalas komen itu memang dia tidak mahu. Lagipun dia betul-betul tak ada mood nak layan komen begitu.
Komen yang sangat membina kemarahan dalam dirinya.
Akhirnya sapaan gadis tadi berlalu begitu saja. Langsung tidak dibalasnya. Malah dia mula menggerakkan kerusi rodanya jauh dari gadis itu. Muka toya ditayang.
"Kenapa awak pakai beanie eh? Naik kerusi roda lagi. Awak ada kanser ke?"
Random betullah perempuan ni. Dalam hati Adam sudah meratapi nasibnya yang ditakdirkan bertemu dengan perempuan banyak mulut ini.
Gadis tadi semakin teruja mengekorinya. Apa masalah dia ni? Dah tak ada kawan ke? Entah-entah semua orang dah putus asa nak melayan perempuan ni. Suka hati aje kata aku ada kanser.
"Awak pakai beanie sebab takut rambut gugur ke? Hm. Buka lah. Tak handsome tau pakai beanie. Pikir hipster ke? Acah Kpop eh?" Damia cebik bibir melihat belakang tubuh lelaki itu. Nampak rupa macam dah berusia tapi masih ada keinginan nak jadi ala ala artis Korea ke?
Damia rasa nak tergelak dengan buih-buih monolognya.
Makin dia biarkan perempuan itu mengekorinya, makin panas telinga. Tak padan dengan status pelajar universiti, ada hati nak tuduh anak penaja program universiti dia? Berbakul-bakul sumpah seranah Adam muntahkan di fikirannya.
Tanpa melengahkan masa, terus Adam menolak kerusi rodanya ke tempat asalnya tadi. Kenapa perempuan macam ni mesti wujud? Tahu tak sikapnya yang banyak cakap itu bikin orang sakit otak?
"Awak lari dari saya ni kenapa? Betul ke saya cakap tu?" Pertanyaan gadis itu membuatkan dia mendongak memandang lama ke arahnya. Ditikam pandangannya ke arah sepasang anak mata hitam milik gadis itu.
Bundar dan penuh dengan tanda tanya. Hilang terus rasa nak marah tadi.
"Kau ni..."
"Jom balik?" Belum sempat Adam membalas si Damia itu, Aliya sudah kembali bersama sebotol air mineral di tangannya. Aliya senyum nipis ke arah gadis tadi sebelum menolak kerusi roda milik Adam pergi dari situ.
Gadis tadi hanya memerhati dari jauh sehinggalah pasangan itu hilang di sebalik sebuah kereta mewah. Termuncung bibirnya melihat pasangan itu. Kerutan di dahi jangan cakaplah. Tak boleh diburu dengan teka-teki, cepat saja andaian dibuat.
"Itu bini dia ke?"
PULANG dari perlawanan bola tampar, Damia mengambil keputusan untuk singgah di bangunan Red SCS. Entah mengapa sebaik sahaja tamat program di sana, melihatkan wajah lelaki tadi mengingatkan Damia akan sesuatu.
Lawatannya ke sini langsung tidak diberitahu kepada sesiapa. Bahkan Daain sendiri tidak tahu kerana Damia cuma beritahu Daain bahawa dia akan keluar makan bersama pasukannya.
Masuk saja bilik Juniper, dia mengusung langkah menuju ke komputer. Dokumen yang disimpan rapi di bahagian File Explorer dibuka. Kata laluan diletakkan sebelum matanya menjamu satu fail yang bernama 'Kijang'.
Fail dibuka lalu butiran penuh seseorang terpampang.
Saat matanya membaca sebaris nama di bahagian perincian, matanya terpincing.
"Adam Thufail."
Kepalanya mengangguk kecil sebelum profil itu pula dibuka.
Tak sampai sesaat matanya beradu pada gambar Adam Thufail, mulutnya ternganga kecil.
"Dia..." Bibir terkulum ke dalam menahan senyum dan ketawa dalam satu masa.
Dialah yang Damia terjumpa di perlawanan bola tampar tadi! Dan lelaki ini jugalah yang menyanyi dengan sumbang di dalam YouTube!
Tersandar Damia seketika mengenangkan betapa kecilnya dunia. Sangkanya dia takkan sesekali berjumpa dengan Adam memandangkan dia terlibat dalam pencarian Kijang. Luar sedarnya, bibir turut mengoyak satu senyuman.
Apabila mata kembali menatap si adonis itu, senyuman kian lebar. Laju bibir bawah digigitnya. Terkenangkan apa yang dah jadi tadi, wajahnya merona merah. Malu tetapi dalam masa yang sama, dia rasa...
Macam dah jatuh cinta aje.
Damia mengekek kecil. Bibir asyik terkulum dalam. Ah peduli apa tentang semua yang terjadi tadi? Mesti Adam akan lupa punya. Yang pasti sekarang ni, dia akan pastikan selepas ini akan ada lagi pertemuan antara mereka berdua.
"Adam dan Damia." Dua jari telunjuk diletakkan bersebelahan. "Adamia."
Termuncung Damia sambil terangguk-angguk. Padan dah ni.
"Adamia." Ya. Sepadan dah tu.
Dan tangan mula bergerak mencetak butiran peribadi si jejaka idaman. Sambil mulut bernyanyi kecil, matanya tidak beralih dari menilik satu demi satu gambar si dia di media sosial.
Instagram. Twitter. Blog.
Semuanya dia dah dapat.
Bersedialah kamu, wahai jodoh dari langit.
ADAM meneliti seraut wajah yang terpampang di depannya. Rambutnya yang sudah dipotong pendek dikuak kebelakang. Bibirnya mula mencebik ke bawah.
"Not bad." Adam memujinya sendiri. Lingkaran di bawah matanya yang hitam diperhati lama sebelum dia mencapai sesuatu dari dalam plastik Guardian. Satu paket masker dikeluarkan sambil senyuman terlakar di bibirnya.
Sakit hati dikatakan dirinya seperti pesakit kanser, terus dia minta Aliya bawa dia ke mana-mana drugstore. Nak glow up! Mungkin muka dia sudah persis mayat hidup sebab itu dia ditakdirkan untuk bertemu dengan perempuan tu.
Supaya sedarkan diri dia bahawa dia dah tak kacak macam dulu.
"Farisha akan rugi sebab tinggalkan lelaki sekacak aku." Plastik masker dibuka lalu ditempek ke wajahnya.
Sesaat kemudian ada manusia menjerit.
"Wargh!" Terhinjut bahu Adam sehinggakan masker yang baru saja dipakai kini terjatuh ke ribanya. Diperhatikan Liyana, anak tunggal Along yang berada di muka pintu biliknya menggigil sambil menutup matanya.
"Eh budak ni. Aku sepak kang." Gumam Adam sendiri. Masker yang jatuh kembali dicapai lalu dipakai semula.
Dia tersenyum sendiri di sebalik masker. Tak sabar nak kacak macam dulu.
Share this novel