Bab 4 : Superbike

Romance Series 988

Keluar saja dari pejabat itu, masing-masing utarakan pandangan ke arah Damia yang dibelenggu resah.

"Tak perlu difikirkan sangatlah. Lesen je pun." Lembut tepukan Leo dari belakang. Apabila Damia berpaling, lelaki itu hanya senyum manis.

Tahu niat Leo ingin menyedapkan hatinya, tapi bagi Damia tak berjaya. Keluhan berat dia lepaskan. Saat ini, dia cuma rasa ada sesuatu yang sedang bermain di kepala. Yang membuatkan dia rasa seperti...

...teringatkan sesuatu yang menakutkan.

"Are you okay?"

Damia terdongak. Matanya langsung bersabung dengan anak mata hitam Luther. Sementara yang lain sudah beransur pergi, Luther setia terpacak di depannya. Air muka yang kosong tidak berekspresi.

Gadis itu mengulum senyuman. "Kenapa tanya macam tu? Saya... nampak tak okey ke?" Kening turut terangkat.

Luther angguk.

Makin lebar senyuman Damia. "Saya cuma teringat sesuatu yang... mungkin awak pun tak nak tahu." Langkah pun dibuka, turut mahu sertai Juniper di tempat mereka berkumpul.

Melihatkan itu, Luther turut mengejar untuk berjalan di sebelah Damia.

"Mind to share?" Luther seperti bersungguh.

Damia menggeleng. "Tak penting." Kerana insiden yang berulang tayang di fikiran adalah insiden yang mungkin menjadi asbab utama betapa dia mahu elakkan untuk ambil lesen kenderaan.

Kalau teruskan bercerita, lagilah jadi teringat-ingat dalam kepala ni.

Belum sempat ingin Luther perbualan mereka, Damia terlebih dahulu sudah membolos masuk ke dalam bilik berkumpul mereka. Hampa permintaannya ditolak, lambat-lambat saja dia tolak daun pintu. Keluhan kecil dia lepaskan apabila matanya menyaksikan kemesraan Damia dan Daain.

Mereka saling bersandaran dan bergelak ketawa. Sesekali mereka saling bertamparan. Langsung kakinya mengorak langkah menuju ke tandas. Perbualan antara ahli Juniper dibiarkan masuk telinga kanan keluar telinga kiri.

Perasan akan perubahan Luther, Damia sekadar menghantar lelaki itu hanya dengan melihat. Dia tahu Luther sedang berusaha untuk rapat dengannya. Sebab selama ni pun Luther tak pernah cuba ambil berat tentang sesiapa di dalam Juniper.

"Jadi... kau dah ada bayangan ke nak lesen apa?" Rafael menyoal sebelum mulut disumbat dengan kerepek kentang.

Mereka sekadar bermalas-malasan di atas sofa. Masing-masing menunggu jawapan Damia sambil mulut tak berhenti mengunyah. Mana tidaknya, bilik ini sentiasa dipenuhi dengan snek dan minuman tin. Mesin kopi juga tidak ketinggalan memandangkan Leo sentiasa menjadi tukang buat kopi segar.

"Penting sangat ke lesen? Korang kan ada nak ambil aku setiap hari."

"Pentinglah." Rafael dan Leo menjawab serentak. Daain di sebelah hanya mengangguk kecil. Dia sendiri pun sudah ada lesen kereta.

"Kau orang dah tak nak ambil aku dah ke? Aku ni... menyusahkan kau orang?"

Leo menggeleng kepala. Mula dah drama sebabak si Damia ni.

"Bukan macam tu. Radhi buat macam tu sebab kita dah dekat dengan Kijang. Kalau waktu tu masing-masing berjauhan dan kau nak gerak sorang-sorang, takkanlah kau nak naik Grab?" Soal Rafael. Dia bingkas bangun mendapatkan Mountain Dew di dalam peti ais.

Kelu terus Damia. Memang dia ada terfikirkan perihal yang sama. Tetapi untuk dia mengendalikan kenderaan sendiri, tak pernah sekali pun terlintas di kepalanya. Matanya asyik merenung jemarinya yang tersulam dengan jemari Daain. Sesekali jari runcing Damia dipicit-picit si adik.

Lama suasana bilik itu menyepi. Luther yang dah keluar dari tandas pun mereka tak sedar. Sampailah Damia terbitkan keluhan kecil dari bibirnya.

"Aku nak naik... superbike."

Daain dan Leo saling berpandangan. Dari lesen kereta dan motor ke lesen motor berkuasa tinggi, tiba-tiba muncul buih-buih rasa tidak yakin dalam diri mereka.

Melihat reaksi mereka, dahi Damia terus naik kerutan. Tak puas hati. "Apa? Tadi tanya sangat kan?" Orang dah jawab, bagi muka macam tu.

"Kau naik basikal pun tak reti imbang." Rafael buat muka meluat. Kaki dengan selamba diatur keluar dari bilik itu.

Daain dan Leo terbatuk seperti menahan tawa. Mana tidaknya. Kejadian Damia dikejar anjing di belakang kawasan kolej masih segar di ingatan mereka. Leo yang sudah berada di hadapan langsung tak sedar Damia di belakang asyik jatuh dek tak reti mengimbangkan diri. Waktu itu anjing sudah menyalak kuat 10 meter di belakang.

Nasib menyebelahi Damia, Daain dari jauh pecut dengan motosikalnya. Kurang sedetik lagi, bucu kasut Damia hampir disondol si anjing.

Rasa berpasir tekak Damia apabila teringatkan kejadian itu.

"Apa salahnya? Belajarlah naik basikal dulu." Luther tiba-tiba menyampuk. Sedari tadi, rupanya Luther hanya bersandar di dinding bersebelahan Damia. Di tangan ada cawan yang sudah separuh baki air Mirinda Stroberi.

"Hah, kan?"

Janggal.

Picitan kuat Daain pada tangannya menyedarkan Damia dari lamunan. Tahu-tahu bilik itu kosong, tinggal mereka berdua sahaja.

Daain angkat kepalanya sebelum satu kucupan jatuh pada tepi kepala kakaknya. Sepi jawapan Damia, menyesakkan dada Daain.

"Aku tahu kau teringatkan kemalangan ibu." Perlahan suara Daain menyapa gegendang telinga.

Tak semena-mena mata Damia berair. Genggaman tangan mereka semakin erat tautannya. Di mana lagi dia mahu sandarkan kesedihan ini kalau bukan pada satu-satunya adik lelakinya?

"Sebab itu kau tak nak ada lesen. Kan?" Daain senyum di hujung bicara. Meskipun hubungan mereka jarak 5 tahun, Damia sangat manja dan mudah tersentuh.

"Tapi sekarang keadaan dah lain. Ibu pergi bukan sebab kemalangan. Tapi memang ada komplikasi organ penting dia dari dulu lagi." Masih dalam nada memujuk, tangan Daain bergerak menggosok bahu Damia di sebelah sana sekali gus membuatkan Damia berada di dalam pelukannya.

"Jadi... Aku harap semua tu tak jadi halangan untuk kau buat apa yang kau patut buat."

Damia menoleh. "Maksud kau?"

"Aku harap kau ingat, kita dengan Juniper hanya untuk sementara aje."

Dan untuk Damia terus kekal bergantung kepada 3 hero malaya itu, bukanlah satu perkara yang patut dibiarkan. Fikirkan itu, tak semena-mena Damia teringatkan hari pertamanya sebagai ahli Juniper semasa di kolej.

3 bulan lepas.

Turun saja dari bas, Damia santai berjalan menuju ke dalam bangunan fakulti. Sesekali dia panjangkan leher, mencari Azzah. Meskipun kelas seterusnya ada lagi 1 jam nak bermula, Damia sentiasa menjadi orang paling awal di fakulti berbanding rakan kelasnya yang lain.

Baru sekejap Damia labuhkan punggung di bangku, terasa ada seseorang sedang memerhatikannya dari kanan.

Dia toleh kanan.

Ada sekumpulan pelajar lelaki sedang berehat di bangku sambil bergelak ketawa. Anehnya, Damia langsung tak rasa orang yang memerhatinya tadi salah seorang daripada mereka.

Sesaat dia toleh depan, matanya bertembung dengan sepasang mata lelaki yang sangat dia kenali. Turun ke bibir pemuda itu, dia dihadiahkan sekuntum senyuman nakal. Sah, itulah Rafael. Salah seorang daripada Juniper.

Lagi seram sejuk apabila hilang saja Rafael dari pandangannya, kumpulan pelajar lelaki yang tadi asalnya berehat di bangku kanan beransur hilang. Sehinggalah tinggal seorang jejaka sedang duduk sambil menghadapnya.

Leo. Tangannya terlipat sambil menongkat pada pahanya. Puas menakutkan Damia, jejaka itu terus bingkas bangun dan langsung sertai kumpulan pelajar lelaki tadi.

Siapa sangka, setelah bersoal jawab dengan Azzah ternyata Leo dan Rafael sudah lama menuntut ilmu di satu fakulti yang sama dengan Damia. Dan selama ini, mata-mata Uncle Radhi tidak pernah 'lena'.

Balik dari kolej, Daain diterkam dan tangisan dihamburkan. Waktu itu, Tuhan saja tahu betapa Damia langsung tiada kekuatan untuk ke kolej. Sepanjang waktu pembelajarannya hari itu kepalanya tak berhenti fikir cara untuk mengelakkan diri dari mereka.

Mengingatkan kejadian demi kejadian sehinggalah kini mereka boleh jadi serapat ini, terburai tawa Damia. Tak disangka-sangka, Leo dan Rafael yang pernah dia takuti dahulu sudah dia anggap seperti abang-abangnya sekarang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience