3 bulan kemudian.
Gadis itu menggosok-gosok kepalanya yang berbalut tudung. Assignment yang baru siap separuh jalan ditatap dengan rasa serabut. Dalam kepalanya kini sibuk memikirkan dua perkara penting. Assignment dan tournament volleyball. Assignment perlu dihantar seminggu sebelum tournament volleyball. Dan dia sangat perlukan latihan yang secukupnya untuk itu. Memandangkan pemain tahun ini terlalu ramai dan sangat susah untuk dipilih, akhirnya dia terpaksa menjadi jurulatih tak berbayar. Ramai juga yang masih tak dapat menguasai asas bola tampar. Menyangga bola adalah salah satu asas yang paling utama dalam bola tampar. Kalau menyangga bola pun sudah out, memang susah untuk meraih pingat tahun ini.
Damia mengurut pelipisnya perlahan. Mata sudah terpejam rapat. Letihnya rasa selepas berjam-jam tengok skrin komputer riba.
Baru saja tangan ingin mencapai bacaannya di rak, telefonnya mengeluarkan notifikasi dari sahabat baiknya.
Azzah : Cuba tengok video ni.
Pesanan mesej dihantar bersama satu pautan yang membawa Damia ke satu video yang dimuat naik di dalam YouTube. Azzah ni bukan boleh kira. Bilik meja belajar pun masih mahu bermesej.
Butang main ditekan lalu terpapar video berdurasi 1 minit. Seorang pemuda merakam dirinya bersama sebuah gitar. Namun kamera hanya menampakkan dari leher sehingga ke pinggang. Sesaat, tangan berurat itu memetik gitar lalu menghasilkan satu alunan muzik yang cukup popular tatkala ini.
Alunan muziknya sangat menenangkan. Akan tetapi, masuk saja si empunya suara laju tangan Damia bertindak menghentikan video tersebut. Satu renungan tajam diberikan kepada Azzah.
"Kenapa pause?!"
"Kau tanya aku kenapa? Kau tak dengar ke dia nyanyi macam mana? Dahlah, baik aku tutup."
Azzah terlebih dahulu tekan butang main lalu suara si adonis itu kembali menerjah telinga Damia.
Dan tak seharusnya aku
bertemu dirimu di dunia ini
Dan kau membuang diriku sesuka hatimu
Dan memilih dia
Damia ketap rahangnya kuat. Sakit hati mendengar suara sengau si penyanyi itu laju tangannya merampas telefon dari tangan Azzah. YouTube ditutup lalu telefon dilempar ke katil. Terus Azzah ketawa besar sambil berjalan ke katil Damia. Telefon Damia dicapai semula sebelum ikon YouTube tadi ditekan.
"Tengoklah siapa penyanyi dia."
Malas nak bertekak, dia mula meneliti informasi yang terdapat di bawah video tadi. Viewers pun tak cecah 10 orang. Dislike 1, like pula ada 2. Damia senyum penuh makna. Bagi mendapatkan keputusan yang seri, pantas jarinya menekan dislike lalu dislike dan like mendapat bilangan yang sama.
Tangannya menyeret skrin lagi ke bahagian komen. Kosong. Otaknya mula berfungsi menyusun ayat, sengaja ingin memberi komen negatif. Tangannya mula menaip bersama senyuman jahat di bibir.
SEBAIK sahaja mendapat panggilan dari Daain, Damia bergegas menuju ke belakang bangunan kolej. Sempat dia berpesan kepada Azzah bahawa dia ada hal di perpustakaan. Senang cerita, memang itulah alasan yang sentiasa dia gunakan setiap kali dia mendapat panggilan dari Daain.
Tak sampai berapa minit, sebuah McLaren berhenti betul-betul di depannya. Turun saja cermin di bahagian penumpang, mata Damia disajikan dengan wajah tampan seorang lelaki berkulit sawo matang sedang memandangnya dengan renungan santai. Kaca mata hitamnya sedikit melorot di batang hidung, menampakkan sepasang mata separa sepet itu.
Damia menyapa dengan senyuman sebelum dia membolos masuk ke dalam perut kereta.
"Mesti kau ingat Luther tadi, kan?" Kereta belum gerak lagi Damia sudah diajukan soalan.
Jelingan Damia membuahkan tawa nakal Rafael. Masak betul dengan perangai Damia yang tak suka dengan usikan-usikannya.
"Radhi nak apa pula kali ni?" Sambil kereta mula bergerak meninggalkan kawasan kolej, tertunduk-tunduk dia membuka kasut. Kasut sarung digantikan dengan boot paras buku lali.
"Leo terlepas pandang." Keluh Rafael seraya sebelah tangannya menggagau mencapai sesuatu dari belakang lalu diletakkan di ribaan Damia.
Gadis itu menoleh dengan kerutan. "Apa ni?" Beg kertas itu dibuka sedikit.
Rafael angkat dagu sekilas. "Luther." Sempat dia mengerling dengan senyuman penuh makna.
Teragak-agak Damia membawa keluar objek di dalam beg kertas itu. Sebuah kotak berwarna hitam dari dalam beg itu diletakkan di atas riba. Lama dia tilik luar kotak itu sebelum isinya dimuntahkan.
Selendang hitam kosong?
"Macam tiba-tiba je?" Damia macam nak tergelak.
Luther ni, memang perangainya penuh dengan tiba-tiba. 3 bulan cukup untuk Damia mengenali Luther. Meskipun wajahnya sangat kedekut untuk pamerkan ekspresi, tindakannya lebih menonjol. Kalau nak kata dari sudut love language, Luther lebih kepada act of service.
"Luther kata orang tengah berebut tudung tu sekarang dekat TikTok. Budak tu sanggup tunggu live pukul 2 pagi sebab nak belikan kau satu." Terang Rafael sebelum dia menggeleng di hujung bicara.
Kelakar. Tetapi dalam masa yang sama, kesungguhan Luther berjaya menyentuh hati Damia yang sensitif.
"Kau jangan cakap dekat dia pula yang aku cakap tentang dia." Dijeling Damia di sebelahnya.
Damia hanya ketawa. "Dia tu, nak bercakap dengan aku pun seminggu sekali."
20 minit perjalanan, akhirnya mereka tiba di sebuah bangunan Red Security & Cleaning Services. Kereta diparkir di depan bangunan sebelum kereta itu diambil alih oleh pekerja lain untuk dibawa ke tempat parkir.
Setiap pekerja yang mereka lewati, ada saja yang Rafael tegur. Sekejap sengih, sekejap kenyit mata, sekejap flying kiss. Itulah Rafael si buaya, satu-satunya ahli Juniper yang sebaya dengan Damia.
Juniper ialah satu kumpulan khas yang ditubuhkan khas oleh Uncle Radhi setahun yang lalu. Mereka terdiri daripada Leo, sebagai mata utama dalam Juniper. Rafael sebagai penggerak utama yakni dialah yang akan perjudikan nyawa untuk menitiskan darahnya sebelum ahli Juniper yang lain. Luther pula sebagai penjejak jarak dekat. Jika ingin membezakan Luther dengan bayang-bayang, mereka lebih kurang sama. Pergerakannya sangat halus dan hampir tidak disedari oleh sesiapa.
Kemudian Daain, adik lelaki Damia sendiri sebagai penjejak jarak jauh. Dari hujung jari, Daain sangat mudah mengesan sesiapa saja yang Uncle Radhi mahu. Dan akhir sekali ialah Damia. Disebabkan Damia saja satu-satunya gadis di dalam Juniper, telinganya sudah sebati dengan bualan hangat pekerja mereka dengan menggelarkan Damia sebagai Juniper's Princess.
Dan dalam banyak-banyak tugas mereka semua, tugas Damia adalah yang paling sukar. Juniper pada dasarnya ditubuhkan hanyalah kerana seorang mangsa yakni insan yang paling Uncle Radhi bencikan.
Tujuan utama Damia ditarik secara paksa ke dalam Juniper, adalah mangsa mereka sendiri seorang perempuan yang juga pemegang tali pinggang hitam dan sangat handal dalam seni mempertahankan diri. Tambahan pula Uncle Radhi sendiri sudah lama perhatikan kebolehan Damia sepanjang arwah ibu Damia masih ada.
Bahkan, syarikat perniagaan milik Uncle Radhi ini juga sebenarnya menyediakan khidmat pengawal keselamatan, pengawal peribadi dan pembantu rumah. Demi menjaga nama baik syarikatnya, Uncle Radhi berkeputusan untuk menubuhkan satu kumpulan khas demi memburu mangsanya.
Jadi dalam erti kata lain, tenaga Damia akan dikerah apabila tiba saatnya untuk dia berhadapan dengan mangsa mereka.
"Mana Leo?" Uncle Radhi labuhkan punggung di birai mejanya. Kedua-dua tangan diseluk masuk ke dalam kocek seluar.
Tak sampai seminit, pintu pejabat dibuka oleh Leo dari luar. Pemuda itu mengah dan matanya melihat seorang demi seorang ahli Juniper yang membelakanginya. Liur diteguk payah sebelum kakinya mengorak langkah ke sebelah Daain.
"Rafael, update." Uncle Radhi toleh ke arah Rafael.
Daain sudah bersedia dengan iPad di tangan, mencatat segala yang bakal mereka bincangkan.
"2 bulan pertama masih dapat dijejaki. Tapi sejak dia kenal Dato' Habsyar, dia berjaya hilangkan diri sampai sekarang." Ulas Rafael.
"Apa jadi sebelum 2 bulan tu?"
"Dia baru putuskan hubungan dia dengan Adam Thufail. Bukti boleh ambil dari Daain melalui mesej mereka. Lepas pada tu, dia berpindah ke Johor untuk lari. Saya percaya dia larikan diri dari Adam lepas dia perasan ada antara kita ekori dia selama ni."
Uncle Radhi angguk mengerti.
"Daain, update 3 bulan lepas."
"Mesej dia cuma cakap dia nak hentikan hubungan macam tu saja. Kijang langsung tak berhubung dengan sesiapa selain Adam. Tiket bas Kijang ke Johorvjuga dibuat sendiri tanpa orang tengah."
Kijang, si dia yang menjadi mangsa buruan mereka semua. Nama Kijang dipilih atas dasar kelincahan mangsa mereka. Memikirkan itu, buatkan Damia rasa meremang. Hebat tara mana agaknya Kijang mereka sampai begitu sekali gelarannya?
"Maksudnya sebelum dia berjumpa dengan Dato Habsyar lagi dia memang bergerak seorang. Hmm, Luther? Lokasi terakhir Kijang?"
Luther yang sedari tadi menyepi terus berdeham kecil. "JPO, with Dato Habsyar."
Ringkas dan padat.
Jeda seketika sebelum mata Uncle Radhi jatuh pada Damia yang berdiri di tengah.
"So Damia..." Leretan suara Uncle Radhi berjaya mengepam jantung Damia lebih laju. Tak semena-mena peluh dingin mula berkampung di pelipis dan dahi.
"Lesen kereta atau motor?"
"Hah?" Semerta dahinya berkerut. Apa ni? Penyakit tiba-tiba Luther dah berjangkit dengan Uncle Radhi ke?
"Choose."
"Why would I? Dia orang masih boleh ambil Mia..."
"Choose, Damia Hatasya. Mereka takkan selalu ada dengan kamu." Tegas.
Damia teguk liur. Perkara yang paling dia takuti. Ambil lesen kenderaan.
"Ba-Bagi saya fikirkan dulu." Tak mahu membuat keputusan terburu-buru. Dada rasa sendat memikirkan apa yang bakal menimpanya jika dia tidak berjaya mendapatkan salah satu lesen kenderaan.
"Dismiss."
Share this novel