Renungannya masih tidak beralih dari timbunan polaroid di dalam kotak kayu itu. Tangan tak berhenti dari menyelak sekeping demi sekeping polaroid. Dari depan dibawa ke belakang. Diulangi perbuatan itu tanpa seinci pun beralih dari situ.
Kekal dan untuh melihat dua senyuman bahagia yang terlakar di setiap polaroid. Sesekali gambar yang dirasakan terlalu sarat dengan kenangan manis dibawa ke bibir lalu dikucupnya.
Mukus dia sedut.
"Kau menangis ke, Dam?" Along di belakang bertanya.
"Mana ada." Bunyi sedut hingus menoktah kata.
Along senyum nipis. Masuk hari ini, sudah 2 bulan lebih Adam membuang masanya di sudut biliknya itu. Di mana semua kenangan manisnya bersama Farisha terletak. Polaroid, pemberian Farisha, wangian yang Farisha pernah gunakan. Semuanya terletak cantik di satu kabinet sederhana besar itu.
Selepas Adam kemalangan 3 bulan lepas, Adam tidak sedarkan diri hampir 1 minggu lamanya. Dek kaki yang terhimpit teruk sehingga habis tulang kakinya retak dan patah. Tisu otot juga ada yang terganggu dan akhirnya menyebabkan Adam tidak mampu untuk berjalan seperti biasa dalam satu tempoh masa yang agak lama.
Pun begitu, Adam tetap tak mahu berusaha untuk berjalan seperti biasa. Semangatnya luntur terus. Kehilangan Farisha secara tiba-tiba membuatkan Adam jatuh sejatuh-jatuhnya. Makan tidak lalu. Mandi pun jarang sekali.
Masanya terlalu banyak dihabiskan berada di sudut itu. Menatap kenangan lama seakan-akan sedang berharap mereka yang dulu akan kembali.
"Along."
Along terkejut tiba-tiba dipanggil. "Ap-Apa dia?"
"Suara aku... teruk sangat ke?"
"Maksud? Tak faham."
"Suara aku menyanyi... tak sedap ke?"
Terus terkeluar double chin Along. Selain daripada Farisha, isu suara pun jadi punca Adam murung ke?
"Su-Suara kau sedap aje." Demi menyedapkan hati Adam, Along tapiskan jawapannya.
Adam tunduk. Polaroid di tangan sudah disimpan semula kemudian telefon menjadi tatapan mata. Murung-murung pun, telefon dia tak pernah tertinggal untuk dicas.
Lama Adam mencari sesuatu di dalam telefonnya. Along jadi tak senang duduk, terus bangun dari katil lalu Adam dirapatinya. "Kau cari apa ni?"
"Ada orang kata suara aku tak sedap nyanyi lagu ni." Telefon disua, skrin terpampang bahagian komen videonya bernyanyi di YouTube. Wajah Adam tadinya murung, sekelip mata berubah teruja menunggu reaksi Along yang mungkin akan menggembirakannya.
Sekali lalu saja baca, dekahan tawa Along terus bergema satu rumah. Adam daripada nak tersenyum mendengar pujian Along, jadi bertambah murung.
Dah agak. Dia tak patut bagi Along tengok komen yang berbaur hasutan dan dengki itu!
SEPI. Terbaring di katil tanpa pengetahuan sesiapa kecuali keluarganya. Seharian berlegar-legar di ruang nyaman di sudut bilik itu, langsung tak mampu membuka minda Adam. Pejabat pula sudah lama dia tidak menjejakkan kaki ke sana. Dalam tempoh ini juga, dia langsung tidak menerima apa-apa pesanan mahupun panggilan daripada Farisha, bekas buah hatinya.
Adam memandang sepi akan kakinya yang berbalut. Sudah 3 pembedahan dijalankan ke atas kakinya. Hendak berjalan ke sana ke mari bukan lagi sesuatu yang mudah malah agak mustahil. Kepalanya rasa bengang. Nikmat berjalan sudah ditarik buat sementara waktu. Kedua-dua belah kakinya tidak mampu digerakkan. Ada lagi 2 pembedahan harus dilakukan untuk kakinya pulih seperti sedia kala. Tangan kanannya juga patah dan masih dalam pantauan doktor.
Betullah orang kata. Kasih seorang ibu lebih berharga berbanding kasih seorang kekasih yang belum halal. Ketika dia sedar dari koma, bondanyalah yang sentiasa ada di sisi. Farisha sudah mula tinggalkan Adam. Sudah mula membawa haluan sendiri. Papa juga telah pun mengkhabarkan bahawa Farisha meletakkan jawatan pada minggu lepas.
Baguslah. Tak perlu dia berhadapan dengan muka itu lagi.
Muka yang tidak langsung memandang kesungguhannya dalam percintaan mereka. Hanya kerana satu isu yang Adam sendiri tidak tahu apa konfliknya, hubungan mereka terputus begitu saja. Hingga gadis itu terlupa bahawa Adamlah yang selama ini berada di sisinya di saat sulit dan gembira.
Lihat saja kakinya yang berbalut itu, sudah cukup memberi rasa berat lagi di dada. Along, mama, papa dan Aliya sudah terlalu banyak berkorban sepanjang dia tidak berkudrat. Nama saja lelaki tetapi Aliyalah yang paling banyak menghabiskan masanya bersama Adam.
Tak semena-mena matanya berair lagi. Sekarang jam sudah menginjak tengah hari, bermaksud tak lama lagi Aliya akan balik dari pejabat untuk menguruskan makan tengah harinya. Papa pasti sibuk di pejabat menguruskan kerja Adam yang sudah banyak ditinggalkan dan mama juga pasti sedang sibuk di butiknya.
Terangkat bahu Adam apabila dia sedut hingus.
Rasa tak boleh diharap.
Rasa macam... nak mati pun ada.
Selama dia punya hubungan dengan Farisha, dia selalu banggakan Farisha dekat semua orang di dalam rumah ni. Selalu ada rasa yakin bahawa dia dan Farisha akan menjadi keluarga yang paling bahagia.
Jauh di sudut hatinya, Farisha mempunyai tempat yang paling istimewa dalam hidupnya. Mama dan papa pun sudah Adam bawakan untuk bertemu dengan Farisha. Entah berapa kali, Adam pun sudah hilang pengiraannya.
Tanpa pengetahuan Farisha pun, mama dan papa sudah merestui hubungan mereka untuk pergi ke peringkat lebih jauh. Bertunang. Bernikah. Bersanding...
Adam ketap rahang. Seumur hidupnya, tak pernah sekali dia menitiskan air mata untuk mana-mana perempuan. Egonya terlalu tinggi untuk memandang mana-mana perempuan sepanjang dia hidup. Sehinggalah Farisha...
"Adam?"
Suara Aliya dari pintu menyedarkan Adam daripada terus hanyut dengan fikiran yang membunuh. Suara hati yang menikam rasa nyaman. Kenangan lama yang menenggelamkan dunia Adam.
Belum sempat Adam didakap si kakak lagi tangisannya terhambur. Nasib anak bongsu lelaki, pasti ada ruang istimewa si kakak sulung untuk dia mengadu domba. Untuk dia bersandar dan berpegang pada kekuatan yang masih berbaki.
Aliya senyum kecil sambil tangannya sesekali menggosok lembut belakang Adam. Dah agak. Susah hatinya sepanjang berada di tempat kerja mengenangkan Adam yang langsung tidak menjawab mesejnya.
Setiap kali Adam tidak menjawab mesej atau panggilannya, beginilah keadaan Adam sebaik sahaja dia sampai di rumah.
Adam manja. Semua sisi manjanya akan tumpah jika hati dan perasaan si adonis ini dipermainkan dan dilayan buruk. Meskipun tembok egonya paling tinggi antara adik-beradik mereka, Adam tak pernah menang dengan penangan pelukan Aliya.
"Adam jangan macam ni... Adam kena bersyukur Farisha tinggalkan Adam. Kita mungkin tak tahu apa lagi yang dia dah buat dekat belakang kita, kan? Masa nilah Adam kena kuatkan diri, bina semula semangat yang selama ni pudar sebab Farisha. Okey? Adik jangan sedih. Kesian kat mama. Setiap hari tengok Adam menangis." Dipujuk Adam seperti anak kecil.
Tapi Aliya sentiasa cakna. Adam adalah adik yang sangat menyenangi keluarga mereka. Jatuhnya jarang sekali menonjol tetapi kali ini mungkin penangan Farisha terlalu kuat sampaikan mama dan papa pun naik risau.
Hailah adik manja seorang ni.
Share this novel