Bab 1 : She Is The One

Romance Series 988

Sepasang kaki itu melangkah perlahan melewati satu demi satu rak kasut. Sesekali matanya merenung wajah sendiri dari pantulan cermin di celahan rak kasut. Melihatkan itu, dia sedar dia sudah banyak berubah.

Cukup sebulan dia dan Adam menjalinkan hubungan sebagai pasangan kekasih. Sejak pertama kali Adam mengajaknya untuk keluar berdua, sedikit demi sedikit ketelusan Adam semakin menonjol di matanya. Apa saja tentang dia, Adam tak pernah terlepas untuk ambil tahu.

Kalau dah namanya pun perempuan, mana dia tak cair? Memang selalu melekatlah jadinya mereka berdua. Hampir setiap hari pasti Adam kosongkan jadualnya demi bertemu dengan cinta hatinya yang seorang itu.

Bermula dari pertemuan mereka di Pasha Bistro, kelibat dirinya yang menjadi tumpuan orang ramai akibat dipecat di khalayak ramai telah menarik perhatian Adam. Bermula dari situlah detik perkenalan mereka bermula. Lama-kelamaan dia semakin jatuh hati pada kebaikan Adam, akhirnya masing-masing berkeputusan untuk meluahkan rasa suka yang semakin sendat di dada.

Dan kini, rasa bahagia tak pernah lekang menyempit dalam dada mereka. Adam juga tak pernah berkira dalam memberikan apa saja yang dia mahu. Syukur sepanjang hidupnya selama ini, hati yang tak pernah-pernah jatuh cinta pada mana-mana wanita akhirnya bernoktahkan dengan sebuah hubungan dengan seseorang yang sangat baik.

Mengenangkan betapa banyaknya yang sudah mereka tempuhi selama ini, Farisha tersenyum sendiri. Sambil tangannya main angkat letak satu demi satu kasut bertumit tinggi di rak kedai kasut, bibirnya masih melebar dengan senyuman.

Adam betul-betul dah selamatkan dia. Daripada awal mereka berkawan, tak pernah sekali pun terlintas di kepalanya hubungan mereka akan sampai ke sini. Akan tetapi, bagi Farisha hubungan ini masih belum cukup serius. Selagi Adam tidak bawa dia berjumpa dengan keluarga Adam, Farisha takkan berdiam diri. Dia tak mahu bazirkan waktunya ke hulu ke hilir macam tak ada kesudahan.

"You dah habis tengok kasut ke? Ada yang you berkenan?" Adam tiba-tiba mampir bersama beberapa beg kertas milik Farisha.

Farisha menggeleng. Dia tak nak pun beli kasut. Cukuplah selama ni Adam manjakan dia dengan duit. Dia sendiri pun bukannya kaki kikis tapi bila Adam dah desak suruh beli itu ini untuk gantikan semua pakaian lusuhnya, Farisha pun dah tak terdaya ingin menolak. Diri sendiri pun kerja sebagai pelayan restoran biasa. Duit pun cukup-cukup makan je. Ada hati nak tolak pelawaan Adam?

"Mak I ada call tadi suruh belikan barang dapur sikit. You tunggu sini kejap boleh? I pergi dekat kereta kejap nak letak barang-barang ni." Adam angkat kesemua beg kertas sambil tersengih kecil.

Farisha angguk. "Boleh. I tunggu dekat depan tandas tau."

Adam mengangguk faham sebelum berlalu meninggalkan Farisha. Sesekali dia toleh sambil menayang barisan gigi putihnya. Farisha sekadar membalas sebelum kakinya menapak ke arah tandas berdekatan.

Sebaik sahaja Adam jejakkan kakinya ke dalam Econsave, laju troli dicapai lalu ditolak masuk ke dalam lorong bahan basah. Dua ekor ayam dipilih lalu dihulurkan kepada pekerja untuk dipotong 12. Selesai di bahagian bahan basah, dia menolak troli menuju ke lorong botol-botol sos. Semua dia ambil cepat-cepat. Tak mahu buah hatinya tertunggu-tunggu.

Namun apabila matanya ternampak seorang gadis sedang menjengket tinggi, cuba mencapai paket mi segera, trolinya perlahan-lahan berhenti. Atas bawah dilihat gadis itu hanya berselipar jepun dan berpakaian santai seperti seorang pelajar yang mahu menambah barang dapur rumah sewa aje.

Tanpa banyak bunyi, Adam menggunakan ketinggiannya untuk membawa turun mi segera itu. Gadis yang tampak terkejut itu terus terdiam apabila dihulur mi segera. Bundar matanya langsung tak dipandang oleh Adam.

"Student tak baik makan benda ni banyak-banyak. Nanti botak."

Berkerut terus muka gadis itu. Lelaki ini sangat random.

Pedulikan kata-kata Adam, terus mi segera itu diambil dan kaki langsung dibawa meninggalkan Adam tanpa sebarang kata.

Meluat pula Adam yang melihat. Kita dah tolong, dah nasihat pun tak reti lagi nak berterima kasih. Kepalanya menggeleng sambil menuju ke trolinya semula. Sebaiknya dia pecut ke kaunter. Farisha pasti sedang lama menantinya di sana.

LAMA mereka berada di dalam pacuan empat roda itu, Adam perasan mata Farisha langsung tak lepas mengintainya. Bukannya dia tak biasa dengan kelakuan aneh Farisha itu. Dia pun sedar sejak dia berjanji ingin membawa Farisha bertemu dengan orang tuanya, Farisha jadi seorang yang tak tahan sabar.

"Kalau kita dah kahwin nanti... you nak anak berapa?"

Alis Adam terangkat mendengar soalan dari Farisha. Hujung bibir kanannya naik ke pipi seraya matanya melirik ke arah Farisha. "I tak kisah. Depends on you, larat atau tidak."

Jeda. Farisha juga dah tak banyak bunyi, Adam pun malas ingin buka mulut. Lagi satu, apa yang pelik tentang Farisha sejak dua menjak ni, setiap kali mereka keluar berdua pasti matanya acap kali menerawang melihat sekelilingnya. Sikit-sikit toleh belakang. Sikit-sikit hilang fokus. Bila ditanya kenapa, Farisha sekadar menggeleng.

"I tak kisah tentang apa nak jadi lepas kita nikah. Apa yang penting sekarang, I nak jumpa parents you dulu. Then baru I bawa you jumpa parents I pula." Tiba-tiba Adam bersuara. Dia sudah tekad ingin percepatkan tarikh perkahwinan mereka. Meskipun hubungan mereka masih baru, dia betul-betul yakin dengan Farisha.

She is the one.

Kepala Adam tertoleh apabila dia menangkap bunyi Farisha mengeluh. "Syarat I senang je, Farisha. Bawa I jumpa dengan parents you dulu."

"I bukannya tak nak bawa you jumpa parents I..." Farisha sandarkan tubuhnya sambil mata menghadap ke luar jendela.

"Dah tu?"

Untuk sesaat, mata mereka saling bertatapan antara satu sama lain.

ADAM teguk liur melihat sekujur tubuh yang terbaring di atas katil. Dengan wayar bersambung sana sini. Mata terkatup rapat, bagai ditidurkan untuk satu jangka masa yang panjang. Perlahan-lahan, matanya mencari wajah Farisha.

"You..." Dia ketandusan kata.

"Ibu I dah lama kena tahan di hospital sebab masalah buah pinggang dia. Nak tunggu transplant, tak dapat-dapat sampai ke sudah." Gadis itu hanya mampu pamerkan senyuman kecil. Dengan kerjanya yang sekarang hanyalah sebagai coffeelady di tempat kerja Adam. "Biasalah. Hospital kerajaan kan."

"Jadi selama kita kenal... ibu you memang dekat sini sepanjang masa?"

Farisha lambat-lambat mengangguk. Terus riak kecewa terpampang di wajah Adam.

"Kenapa you tak pernah bagitahu I pun selama ni? Selama kita keluar berdua ni, tak peliklah muka you asyik nampak gelisah je. Rupanya..." Adam meraup wajah, kesal. Salah dia ke tak ambil berat tentang keadaan keluarga Farisha? Tapi Farisha sendiri tak bersikap terbuka dengannya.

"I tak nak susahkan you, Adam. You dah banyak tolong I sejak kita kenal lagi. I ingat bila dah kerja dengan you, bolehlah I nak kumpul duit untuk bayar bil ibu..." Lemah Farisha menjawab. Tangan mula memicit-micit jari sendiri.

Lambat-lambat Adam mengukirkan senyuman. Manis. Kepalanya menggeleng. "Sekali pun I tak pernah rasa you susahkan I." Matanya jatuh pula pada sekujur tubuh itu. Entah apa lagi yang Farisha lalui di belakangnya.

"Nak tak kalau..." Adam berjeda. Lama dia merenung ibu Farisha. Masih belum pasti dengan apa yang berada di dalam kepalanya sekarang. Takut jika dia kedengaran terlalu terburu-buru. Tetapi itu juga demi kebaikan Farisha dan ibunya.

"Kalau kita tunang akhir bulan ni?"

SENJA sudah melabuhkan tirai tetapi Farisha masih tak mampu mengangkat wajah sepanjang dia berlegar di pusat beli belah itu. Kakinya tak berhenti membuka langkah yang tidak bertuju.

Pun begitu, Farisha sentiasa dapat merasakan dirinya sedang diperhatikan.

Sejak Adam menghantarnya di sebuah perhentian bas berdekatan pusat membeli-belah, buih-buih persoalannya berjaya dipecahkan sebaik sahaja terdapat sebuah motorbike turut berhenti tidak jauh dari tempatnya turun dari kereta Adam. Telahannya tepat.

Ada orang sedang memerhatikannya sejak mereka berada di kedai kasut pagi tadi lagi.

Langkah dipercepatkan. Jantung semakin berdegup laju seiring dengan peluh yang berkampung di dahi. Sampai satu selekoh, dia cepat-cepat masuk ke dalam butik baju mewah terdekat. Berdesup masuk mencari kawasan baju yang digantung tinggi.

Tak lama selepas itu, dengan yakinnya Farisha keluar dengan langkah yang tergesa-gesa. Sambil mata melilau mencari si dia, kaki sudah berjaya melangkah hingga ke luar bangunan itu.

Satu senyuman terbit di bibirnya. Dirinya masih 'berbisa' seperti dulu ternyata.

Dan dengan senang hatinya, dia melangkah pulang. Namun di sebalik rasa senang itu, rasa resah dan gelisah sudah mula menampakkan bayang dalam diri Farisha. Perlahan, senyuman tadi pun pudar.

Jika dulu dia merasakan Adam itu adalah seseorang untuknya, tetapi selepas apa yang baru saja berlaku di pusat membeli-belah tadi...

Dia sangsi. Boleh ke dia teruskan hubungan mereka tanpa rasa resah begini?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience