BAB 6

Romance Completed 16659

Amny cuba berdiri setegaknya. Direnungnya lautan luas. Pandangan melebar ke seluruh ruang yang terbentang di depannya. Perlahan-lahan ditariknya nafas, dalam-dalam agar semua masalah keluar bersama udara yang akan dihembusnya. Alunan al-Fatihah datang lagi. Bermain-main di gegendang telinganya. Terus bersatu dengan kalimah tauhid ‘La ilaaha illallah’.

Tenangnya fikiran tika ini. Senja mula berlabuh. Rewang petang beransur pergi apabila malam rancak meniti waktu. Amny melangkah pulang. Ditinggalkan pantai Teluk Ketapang, lokasi memorinya terbina bersama arwah ayahnya awal tahun ini. Amny singgah di masjid At Taqwa, menanti azan maghrib berkumandang.

Masjid ini juga sama keadaannya seperti masjid dia bersolat Asar tadi, mungkin bezanya jemaah besar sedikit. Malangnya, itupun hanya kelibat warga emas yang memenuhi saf tunggal. Sedih dia melihat keadaan itu. Di manakah lenyapnya gemilang Islam zaman nubuwwah dan sahabat dulu? Silap siapa masjid hilang imarahnya?

Seusai solat fardhu, diiringi pula solat rawatib ba’diah. Lantas disambung solat hajat sebelum memandu pulang. Iyyaka na budu wa iyyaka nastaeen. Berpadu kalimah itu lagi di dalam hatinya, disemat kemas di ingatannya.

Setibanya di rumah, ummi menanti di ruang tamu. Salam bersambut.
“Ummi dah makan? Jom makan sekali.”

Ujarnya tenang, agar ibunya tidak menghidu masalahnya.

“Boleh juga… Amny dari mana? Malam baru balik. Anak dara tak baik balik malam. Keluar pula sorang-sorang. Amny tahu kan, tak baik perempuan keluar berseorangan tanpa ada muhrim menemani?”

Umminya menegur, mengiaskan kerisauan yang melanda nurani. Selepas zohor tadi Amny keluar, katanya mahu melihat keputusan memalui emel di cybercafe. Entah apalah dunia sekarang, banyak sangat benda baru. Dia sendiri tak faham. Kalau dulu, surat kertas terus sampai ke tangan. Kini, dah lain.

Itu satu hal, yang penting sekarang, Amny menghilang berjam-jam lamanya, hingga maghrib. Bimbang benar dia. Apa lagi sekarang jenayah makin menjadi-jadi. Nyawa macam mainan, situ bunuh, sini bunuh. Yalah, hidup pun hanya sekali. Lepas tu, terus dihisab amalan untuk ke destinasi seterusnya yang abadi. Kalau nyawa terbang sia-sia tanpa sempat beramal bertaubat, apa gunanya hidup berpuluh tahun di dunia? Hish..manusia sekarang suka merugikan diri sendiri. Entah apa nak jadi.

“Amny ke pantai petang tadi, ummi. Lepas tu terus solat maghrib kat masjid. Ada ceramah, ingatkan nak tunggu juga. Tapi bila nak call ummi, baru sedar handphone tertinggal. Tu baru balik. Maaf ye, ummi buat ummi risau.”

Amny memujuk. Dia semakin bersedia menyampaikan beritanya kepada ummi.

“Lain kali jangan buat lagi. Nak keluar, berteman. Macam mana keputusan? Dah tengok?”

Soalan cepu emas yang dinantikan terlontar jua dari mulut ibunya.

“Dah…Tapi, bukan rezeki Amny lagi, ummi. Ini ujian Allah agaknya, mi…Amny yakin pasti ada hikmahnya nanti.”

Balas Amny tenang. Cuba memberi pengertian terbaik kepada umminya. Dia tahu, ummi pasti kecewa kerana harapan melihat anaknya belajar ke luar negara dalam bidang perubatan tak menjadi.

Ibunya memandang dalam ke dalam matanya. Mencari kepastian di sebalik ketenangan kata-kata Amny. Dia tak percaya. Amny main-mainkah? Tenang Amny tidak menggambarkan sikapnya dulu yang tergopoh-gapah, kelam-kabut, pemarah.

Amny hanya mengangguk, tersenyum hambar, terselit kekecewaan dalam cara anggukannya tapi matanya penuh pengharapan. Pengharapan baru yang lebih baik.

“Hrmm…kalau macam tu…tak mengapalah, Amny. Walaupun ummi masih ada rasa terkilan, tapi ummi tak mahu Amny mengalah dalam ujian-Nya yang baru secubit ini. Allah Maha Berkuasa atas sesuatu, apabila Dia berkehendak, maka itulah yang terjadi. Ummi tahu, Amny dah mencuba yang terbaik untuk exam itu, kan. Dia pastinya lebih mengetahui apa yang terbaik bagi hamba-Nya. Yang penting, Amny bermuhasabah, jangan ulangi kesilapan dulu, walau apapun ia. Perbaikilah sebaiknya ya…”

Ujar ibunya menasihati. Ibunya membelai ubun-ubun Amny. Membuang resah, memberi sokongan dan semangat untuk anak yang sedang belajar memahami masalah dunia.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience