“Biar betul!!! Apa?” kencang suara Sofea sejurus Pelangi menceritakan apa yang berlaku kelmarin. Pelangi sendiri terkejut dengan reaksi yang diberikan oleh Sofea.
“Wendy, dia dah kata yang dia tak nak dibantu. Yang kau sibuk-sibuk nak tolong dia tu jugak kenapa?”
“Yang kau ni kenapa pulak, Fea? Kenapa kau macam tak suka bila aku cakap yang aku tolong dia?”
“Sebab kau tu baik tak bertempat! Dah dimalukan di khlalayak ramai pun, masih nak tolong dia. Apa yang kau dapat dari tolong orang macam dia tu?”
Pelangi terkedu sebentar. Tidak disangka Sofea sebenarnya tidak pernah bersetuju dengan apa juga tindakannya selama ini.
“Kau mungkin tak tau, Fea. Tapi bila aku buat semua ni, aku dapat kebahagiaan,”
“Kebahagiaan? Dimalukan di khalayak ramai, itu kau katakan kebahagiaan? Berlapar sebab kau bagi sedekah RM10 kat peminta sedekah, itu kau namakan kebahagiaan? Sudahlah Wendy, tak payah kau nak pengaruhi orang lain dengan pendapat lapuk kau tu! Ingat sikit kita di zaman mana! Zaman teknologi bukan zaman makan ubi!” Sofea puas menyatakan pendiriannya. Pelangi menarik nafas, dia bergegas ke mejanya. Sofea pelik.
“Kau buat apa ni, Wendy?”
“Aku tak tega berada bersama orang yang terlalu materialistik. Terlalu mengejar dunia. Hingga lupa menjaga hubungan baik sesama manusia, yang sangat-sangat digalakkan dalam Islam. Hinggakan kasta dan pangkat, tangga gaji dan kedudukan, menjadi kayu pengukur dalam sesuatu hubungan. Aku tak sanggup,”
“Pergi jalanlah dengan falsampah kau tu! Aku nak tengok sejauh mana kau dapat bertahan! Nanti bila saat kau terpaksa merayu, merempat macam kakak tu jangan pulak kau menyesal ye,” sempat lagi Sofea memerli. Pelangi hanya memandang sekilas pada gadis itu. Gadis yang sudah jauh berubah sejak menjalinkan hubungan dengan seorang lelaki. Dia tidak pernah mengenali siapa lelaki itu.
“Aku doakan kau sedar dengan apa yang kau cakapkan ni,” kata Pelangi sebelum dia melangkah pergi. Mujur segala tugasannya telah disiapkan. Selepas ini, dia perlu memikirkan bagaimana untuk mencari kerja baru di luar sana.
Share this novel