BAB 3

Family Completed 8885

“Tolong encik, tolong saya encik…,” suara wanita itu merintih sekali lagi kedengaran di pintu masuk stesen LRT itu. Tidak mengenal erti penat lelah, dia terus merintih dan merayu tanpa segan silu.

“Kak….,” terasa bahunya disentuh dari belakang, wanita itu menoleh. Dia tersenyum saat melihat wajah Pelangi tersenyum memandangnya.

“Akak sihat? Dah makan?” tanya Pelangi. Namun wanita itu Hanya diam membisu sambil memandang wajah Pelangi.

“Saya ada belikan nasi campur untuk akak. Lauk sayur kangkung dan ayam goreng. Mesti akak suka,” Pelangi terus duduk bersimpuh di sebelah wanita itu sambil meletakkan bungkusan berisi nasi campur itu di hadapan wanita itu. Wajah wanita itu berubah riak.

“Suka tak? Akak nak saya suapkan?”

“Tepi!!” wanita itu menepis bungkusan makanan yang diberikan kepadanya. Wajah Pelangi berubah. Dia memandang sekeliling, ramai yang melihat ke arah mereka berdua. Dia tunduk sebentar. Mengusir godaan syaitan yang menghembus api kemarahan dengan lafaz zikrullah yang tidak berhenti. Sebentar kemudian dia tersenyum manis.

“Aku tak perlukan belas ihsan kau! Pergi! Jangan ganggu aku buat kerja kat sini! Pergi!” bentak wanita itu lagi. Pelangi terkejut. Namun bukan kerana herdikan itu dia terkejut.

“Akak,”

“Apa?”

“Penguatkuasa,”

“Hah?”

“Kak, buat macam biasa je. Buat macam kita ni adik-beradik ye kak. Nama saya Pelangi. Nama akak?”

“Er… Masitah,”

“Ok kak, akak ikut je apa yang saya buat ni ok? Jangan takut,” Pelangi berulang kali cuba meyakinkan. Masitah tiada pilihan lain, dia terpaksa mengikut rancangan Pelangi demi untuk menyelamatkan dirinya.

“Helo cik adik, buat apa kat sini? Nak mintak sedekah ke?” tanya salah seorang dari penguatkuasa itu. Dengan kasarnya. Rakannya di sebelah hanya mendiamkan diri namun dia memandang Masitah dengan wajah bengis bak singa. Masitah sudah menggigil ketakutan.

“Eh, taklah! Yang ini kakak saya. Dia baru je sampai dari kampung. Sampai je kat sini dia jatuh. Kakinya terseliuh. Saya pun baru sampai je ni bila ada orang tolong dia telefon saya,” lancar sahaja kata-kata yang keluar dari bibir Pelangi. Masitah hanya diam. Dipicit kakinya perlahan, sekadar lakonan bagi mengaburi mata anggota-anggota penguatkuasa itu.

“Ye ke ini kakak awak?” awak tahu tak, kitorang dah cam perempuan ni dah berapa minggu dah. Dok mintak sedekah kat sini. Tup-tup, awak kata dia kakak awak pulak?” herdik rakannya yang berdiam diri dari tadi. Jantung Masitah sudah bergetar hebat.

“Eh, encik salah orang ni. Yang mintak sedekah tu bukan yang ini. Yang ini kakak saya. Tengok, muka kami ada iras-iras, kan? Kan?” bela Pelangi lagi.

Masitah mengangkat muka. Baru dia perasan yang gadis di hadapannya ini mempunyai mata yang kuyu sepertinya. Anggota penguatkuasa yang pertama mengangguk perlahan, namun tidak rakannya. Berkerut dahi lelaki itu.

“Akak, betul ke ini adik akak?” tanyanya kepada Masitah. Masitah hanya mengangguk perlahan. Lidahnya sudah kelu untuk berkata-kata sejak kedua-dua anggota penguatkuasa itu datang kepadanya tadi. Agak berpuas hati dengan respon yang diberikan, akhirnya mereka meminta diri. Masitah mengeluh lega.

“Jom kak, kita pergi dari sini. Nanti diorang datang balik, susah akak,” ajak Pelangi. Masitah menggeleng perlahan.

“Tak apa la dik. Terima kasih sajalah. Akak nak balik,” kata Masitah sambil mengemas barangnya.

“Rumah akak kat mana? Biar saya hantarkan,” pelawa Pelangi lagi. Tangan Masitah yang sibuk mengemas barang-barangnya, terhenti apabila mendengar kata-kata Pelangi. Dia memandang gadis itu dan tersenyum hambar.

“Tak payah la adik nak tahu kat mana rumah akak,”

“Tapi kak….,”

“Tak apa la dik. Banyak mata-mata kat sini. Nanti adik juga yang susah!”

Pelangi terkejut. Tidak menyangka yang kegiatan Masitah sebenarnya didalangi. Oleh orang lain yang lebih berkuasa. Ah, tiada yang lebih berkuasa daripada ALLAH! Bentak hatinya. Aku mesti buat sesuatu!

“Kak,”

Masitah yang baru selesai mengemas barangnya, menoleh ke arahnya. Pelangi tersenyum. Dia menghulurkan sekeping kad kepada Masitah.

“Ini nombor telefon saya. Kalau akak perlukan pertolongan, akak telefon saya ye,”

Lambat-lambat Masitah menyambut kad yang dihulurkan oleh Pelangi itu. Kemudian dia terus melangkah tanpa menoleh ke belakang lagi. Pelangi tersenyum hambar.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience