“Mengelamun jauh nampak?”
Lamunan Pelangi terlerai. Dipandang wajah Noraidah yang melabuhkan duduk di sebelahnya.
“Macam mana kerja baru?”
“Alhamdulilah. Semuanya berjalan dengan lancar. Terima kasih pada kau Nor, sebab tolong aku carikan kerja baru,” ucap Pelangi ikhlas.
“Dah rezeki kau. Aku hanya perantara,” balas Noraidah. Pelangi senyum. Ya, ini rezeki dari ALAH. Manusia seperti Noraidah hanya perantara.
“Dari tadi aku dapat rasakan yang kau tak tengok TV tu, tapi TV tu yang tengok kau,” ujar Noraidah. Selamba saja dia mengambil keropok yang berada di tangan Pelangi. Pelangi mengerut dahi.
“Apa yang kau cakap ni?”
“Beb, kalau orang lain, boleh la kau tukar topik ke, twist ayat ke, ni aku yang kau nak twist. Memang tak dapat la. Ada sesuatu yang bermain di fikiran kau ke?” tanya Noraidah terus. Ini yang Pelangi suka tentang Noraidah. Suka berterus terang. Tak payah nak mukadimah bagai.
“Pasal kak Masitah. Aku jumpa dia tadi. Baru tadi dia nak bercerita pasal hidupnya,”
“Aku dah agak dah,” kata Noraidah. Dia mencapai alat kawalan jauh. TV di hadapan mereka dipadamkan. Dia membetulkan duduk, berhadapan dengan Pelangi.
“Ada apa pasal Kak Masitah yang perlu aku tahu?” tanya Noraidah. Selain Sofea (sebelum Pelangi berhenti kerja), Pelangi banyak bercerita dengan Noaraidah. Namun, penerimaan Noraidah jauh lebih positif berbanding Sofea. Dan daripada cerita Pelangi, Noraidah tahu Masitah perlukan pertolongan.
“Betul sangkaan aku, Nor. Dia di bawah sindiket. Kalau dia lari, dia mati,”
“Apa maksud kau? Aku tak faham,”
Pelangi mula bercerita. Masitah merupakan seorang ibu tunggal. Suaminya meninggal dunia setahun lalu akibat barah tulang. Sejak suaminya sakit, kehidupan Masitah sekeluarga ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Di saat kesukaran itu, muncul seorang lelaki bernama Izham. Lelaki itu sering membantunya dalam bentuk sumbangan barang-barang dapur, barangan persekolahan dan wang ringgit.
Usai tamat tempoh idah selepas kematian suami tercinta, Izham menawarkan peluang pekerjaan di Kuala Lumpur kepadanya. Namun janji hanya tinggal janji. Sesampainya di Kuala Lumpur, dia dijual Izham kepada Karl, seorang ketua sindiket peminta sedekah yang aktif dan licik. Di situlah kesengsaraan Masitah bermula.
Share this novel