DUA BELAS BULAN KEMUDIAN
“Nor, aku lapar…,” rengek Pelangi. Noraidah hanya buat tidak tahu.
“Kau tak kesiankan aku ke Nor?” rengek Pelangi lagi.
“Maggi ada je kat dapur tu. Kau pergi la masak sendiri,” ujar Noraidah selamba. Hatinya geram tidak terkata. Ada ke patut Pelangi membelikannya coklat kacang hazel untuknya ketika pulang dari kampung. Aku nak coklat susu la!
“Ala Nor, takan sebab coklat pun kau nak merajuk,” Pelangi mula buat suara putus asa. Cuba menarik perhatian Noraidah sebenarnya dengan nada suara sebegitu.
“Aku bukan sengaja tak nak beli, tapi…,” Pelangi tersenyum sambil mengeluarkan tiga bungkus coklat susu dari beg tangannya. “Kalau Kak Masitah dah belikan tiga papan, tak payahlah aku beli, kan?”
Bulat mata Noraidah mendengar kata-kata Pelangi. Dirampas bungkusan coklat yang masih berada di tangan Pelangi. Pelangi sudah terkekeh ketawa.
“Ni yang aku sayang kau dengan Kak Masitah lebih ni! Aku ada masak spageti kat dapur tu. Kau nak makan?”
“Tadi kau suruh aku makan maggi je…,”
“Eh, taklah! Aku masak spageti tu khas untuk kau! Kau nak tak? Aku ambilkan!” pantas sahaja Noraidah bangun menuju ke dapur. Pelangi tersenyum sendiri. Apa-apa ajalah kawan aku ni…
Sebut pasal kawan….
“Hai Wendy!” Pelangi menoleh. Dilihat Sofea sudah berada di belakangnya. Dia tersenyum.
“Assalamualaikum, ” Pelangi membetulkan ucapan Sofea itu. Sofea menutup mulutnya, pipinya merah menahan malu.
“Kau buat apa di sini?” tanya Pelangi. Setahunya, Sofea adalah anak jati Kuala Lumpur. Kenapa dia boleh berada di Hentian Puduraya ini? Nak kata dia nak keluar KL, tiada beg besar pun di sisinya. Hanya beg tangannya yang disandang ke bahu.
“Aku tunggu teman lelaki aku ni. Dia kata nak jumpa kat sini. Dia baru sampai dari Ipoh,” ujar Sofea ceria. Pelangi mengerutkan dahi. Mana ada bas yang sampai dari Ipoh?
“Aku tahu apa kau fikirkan. Dia tumpang kawan dia la. Nanti kawan dia tu turunkan dia kat sini,” ujar Sofea lagi. Mulut Pelangi memuncung membentuk huruf O.
“Ha, tu dia dah sampai! Kacak kan dia?” kata Sofea ceria apabila melihat susuk tubuh lelaki yang dikenalinya datang menghampiri mereka. Wajahnya bersinar bahagia namun tidak bagi Pelangi. Dia nampak sesuatu dalam mata lelaki itu. Macam pernah nampak…
“Sayang, kenalkan, ni kawan Manja, Pelangi. Wendy, ni teman lelaki aku, Faizal,”
“Hai,” Faizal menghulurkan tangannya untuk bersalaman. Pelangi tidak menyambutnya.
“Maaf, bukan muhrim. Tak boleh salam,” ujar Pelangi. Terdengar tawa sinis dari bibir Sofea.
“Ah, sorry sayang. I lupa nak bagitau, kawan i ni alim sikit,” kata Sofea. Selamba saja dia merangkul lengan Faizal di hadapan Pelangi. Pelangi pula yang naik segan.
“Hei, dah melayang ke mana? Takkan ke kampung balik kot? Tak lepas lagi ke rindu kau?” usik Noraidah sambil terkekeh-kekeh ketawa. Pelangi terkejut. Namun sebentar kemudian dia tersenyum lebar. Dia melihat mangkuk besar berisi spageti yang disediakan Noraidah untuk dirinya.
“Nasib baik kau masak spageti, bukan pucuk geti,” gurau Pelangi pula. Noraidah sudah ketawa besar sambil menikmati coklat susu yang dihadiahkan oleh Masitah.
“Apa khabar kak Masitah sekarang?” tanya Noraidah.
“Alhamdulilah, dia sihat. Makin berisi badannya sejak tinggal dengan ibu aku tu. Tak macam masa mula-mula aku jumpa dia dulu,” jawab Pelangi ceria. Wajahnya dimaniskan.
Teringat pada peristiwa setahun lalu. Selepas melaporkan mengenai kegiatan Karl, Pelangi mengambil keputusan menghantar Masitah ke kampungnya di Tanjung Malim, Perak. Mujur ibunya menerima Masitah dengan tangan terbuka. Ibu mengambilnya sebagai pekerja di kedai jahitnya. Masitah juga tinggal bersama ibu Pelangi bagi mengubat kesunyian wanita itu.
“Kalau dah dia sihat walafiat, kenapa muka kau macam baru lepas kena simbah dengan cuka ni?” tanya Noraidah lagi. Pelangi terkejut. Peribahasa mana dia pakai ni?
“Apa kau cakap ni? Aku tak faham la,”
Pekk!
Share this novel