BAB 3

Humor Completed 424

Watie hanya tersenyum melihat kelibat Tuan Albert yang bermisai lintang
itu sedang duduk di bangku hadapan sambil mengelap cermin hadapan
matatunya dengan kain berwarna hitam.

"Cantik bukan?" Tuan Albert tersenyum bangga sambil menepuk-nepuk kerusi
di sebelahnya lalu menjemput Watie duduk di situ.

"Ya... Tuan menjagamatatu tuan dengan begitu baik sekali." Watie memuji
Tuan Albert. Mana tahu pujian itu boleh melembutkan hati Tuan Albert
untuk menjual matatunya. Tuan Albert hanya tersengih-sengih sehingga
menampakkan giginya yang agak jongang.

“Mestilah cantik! Matatu ini saya beli dengan harga yang amat tinggi.
Mana taknya, semuanya sudah diubah suai mengikut selera saya,” balas
Tuan Albert sambil membelai-belai stering matatunya.

“Harga yang tinggi?” soal Watie di dalam hati. “Matilah aku! Mana aku ada
banyak duit untuk beli matatu Tuan Albert ni.” Watie terkulat-kulat di
dalam hati. Namun, dek kerana minatnya yang mendalam, Watie memberanikan
diri menyoal Tuan Albert yang sedang mengelap cermin hadapan matatunya
dengan kain.

"Saya ada dengar yang tuan nak jual matatu tuan dengan harga yang
murah?" Watie menyoal sambil mengharap Tuan Albert tidak marah.

"Yang ini?" Tuan Albert menyoal sambil mengangat keningnya yang lebat.

"Ya..." Watie membalas namun disambut dengan ketawa yang kuat daripada
Tuan Albert. Bahunya terhinggut-hinggut menahan ketawa sehingga air
matanya bergenang di dalam kelopak matanya.

"Kamu fikir aku akan jual matatu kesayangan aku ini? Ah, gila!" Tuan
Albert menghembuskan nafasnya kuat-kuat. Geli hatinya masih belum reda.
Sesekali dipintal misainya yang melintang sambil menahan ketawa. Watie
pun turut ketawa. Walaupun hatinya berdesup diketawakan Tuan Albert,
namun dia tidak boleh menunjukkan tindak balas. Pasti Tuan Albert tidak
suka. Maka, Watie pun ketawa terbahak-bahak untuk dirinya sendiri.

“Padan muka aku,” bisik Watie di dalam hati sambil ketawa bersama-sama
dengan Tuan Albert. Selang beberapa saat, Tuan Albert berhenti ketawa.
Watie pun turut berhenti ketawa.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience