BAB 6

Romantic Comedy Completed 432

HARGA yang ditawarkan agak besar buat Watie . Dia pulang penuh
kehampaan. Tuan Albert pula tidak mahu bertolak ansur sehinggalah
seminggu sebelum berlepas ke Amerika, Tuan Albert menjemput Watie ke
rumahnya.

"Watie , aku sudah buat keputusan. Minggu depan aku dah nak balik ke
Amerika. Belum ada sesiapa yang mahu beli matatu buruk itu... Seharian
aku duduk berfikir apakah yang harus aku lakukan. Kalau aku tak jual,
matatu itu akan terus jadi besi berkarat. Memandangkan kamu
menunjukkan minat, aku mahu memberinya kepada kamu. Daripada tunggu ia
tinggal rangka, lebih baik aku sedekah saja pada kamu. Lagipun, aku dah
nak pulang. Aku dah malas nak fikir-fikir lagi." Panjang lebar Tuan
Albert memberikan penjelasan.

"Tapi tuan, saya tak mampu nak beli matatu tuan itu. Harga yang tuan
tawarkan dulu tinggi buat saya. Saya rasa tuan juallah kepada orang
lain." Watie menolak dengan hormat.

"Kamu pekak ya? Aku kata aku mahu memberikannya kepada kamu. Kamu tak
nak?" Soal Tuan Albert.

"Percuma?" soal Watie tidak percaya.

"Ya... aku mahu menghadiahkannya kepada kamu. Kamu boleh membawanya
pulang dan gunakan wang yang kamu simpan itu untuk membaiki matatu ini
dan mengecatnya semula." Sambil tersenyum, Tuan Albert mengenyit mata.
Cerut Havana yang berada di jarinya disedut dalam-dalam sehingga Watie
terbatuk-batuk kecil ketika Tuan Albert menghembuskan asap yang
berkepul-kepul itu daripada mulutnya.

“Tuan serius ke ni?” Watie terbatuk kecil. Asap cerut Tuan Albert
menyesakkan paru-parunya sehingga Watie terbatuk lagi beberapa kali.

"Ya… Kamu boleh memulakan bisnes kamu dan mengangkut penumpang dari
kampung ini ke pekan. Saya percaya yang kamu boleh menjaga matatu ini
dengan baik." Tuan Albert menepuk bahu Watie lembut. Tanpa perasaan malu,
Watie melompat dan memeluk Tuan Albert dan menjerit kesukaan.

"Terima kasih tuan!" Watie tersenyum lebar sambil menjabat tangan Tuan
Albert kemas dan menggoncangnya kuat-kuat. Gigi hadapannya yang rompong
jelas kelihatan. Garisan kecil di bahagian dalam pipinya terbentuk
kerana senyuman Watie begitu lebar sekali.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience