BAB 1

Humor Completed 424

MATATU yang berwarna kelabu itu sudah bertukar wajah. Daripada kelabu
yang kusam, berkarat dan berdebu, kini matatu kepunyaan Watie kelihatan
sugguh berbeza. Seharian Watie memerah idea apakah warna yang sesuai buat
matatu second hand yang diperolehinya daripada Tuan Albert dua
minggu lepas. Setelah berbincang dengan Nana dan ibunya, Watie
memutuskan untuk mengecat matatu itu dengan warna merah. Namun,
matatu merah itu bukan calang-calang matatu. Ia matatu kesayangan
Tuan Albert yang merupakan salah seorang usahawan terkaya di Nairobi.

Sejak berhenti daripada sekolah tahun lepas, Watie membanting tenaga
membantu ibunya berkebun di satu kawasan kecil berdekatan dengan kolam
yang keruh untuk mencari sesuap nasi. Melihat keadaan ibunya yang
berkerja keras membanting tenaga seharian membuat Watie terfikir bahawa
dia harus mencari peluang yang lebih baik untuk membantu ibunya. Tidak
guna jika mempunyai tulang empat kerat namun tidak digunakan dengan
baik. Maka, suatu petang sambil bersandar di belakang sebatang pokok,
Watie memberitahu ibunya akan niatnya yang sudah lama tersimpan.

"Watie tengok penduduk kampung kita ni susah nak ke bandar. Ramai yang
terpaksa berjalan kaki atau menumpang bas-bas untuk ke pasar atau
pekan." Watie memulakan perbualan sambil duduk mencangkung di sebelah
ibunya yang sedang menyalakan api buat dapur kayu mereka.

“Jadi?” soal ibunya yang masih leka dengan dapur kayunya yang masih
belum berasap.

"Jadi, Watie ingat Watie nak bantu orang-orang kampung. Watie nak beli
sebuahmatatu." Tanpa berselindung Watie berterus-terang dengan ibunya.

"Matatu?" Ibunya mengerutkan dahi yang masih lagi tegang walaupun
umurnya sudah mencecah lebih separuh abad.

"Ya... matatu!" Ada cahaya yang terpancar dari raut wajah Watie
apabilamatatu disebut beberapa kali.

"Mana Watie nak cari wang untuk beli sebuah matatu?" Suara ibunya
meninggi. Niat Watie menggusarkan hati ibunya. Sebagai seorang ibu, sudah
tentu hatinya runsing jika permintaan anak lelakinya itu tidak dapat
dipenuhi. Upahnya berkebun sepanjang hari cuma cukup buat mereka
berempat sahaja. Itupun sekadar cukup-cukup makan dan ada kalanya
langsung tidak berpeluang menjamah apa-apa selain daripada tepung yang
dimasak dengan gula. Apa yang baru sahaja disebut oleh Watie membuat hati
ibunya merintih.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience