BAB 5

Humor Completed 424

Sejak Tuan Albert mendapatkan matatu yang baru, matatunya yang lama
terus disimpan di dalam sebuah bangsal kayu yang dikelilingi dengan
belukar dan semak samun. Asbab utama Tuan Albert membeli matatuyang
baru ialah kerana matatu lamanya sudah tidak memuaskan hatinya lagi.
Bentuk badan dan paras rupa matatu itu sudah ketinggalan zaman. Tempat
duduknya sudah tidak ampuh dan steringnya sudah seperti gelung hula
hoop jika dibandingkan dengan stering matatunya yang baru. Mantap dan
sederhana besar. Sesedap tangan memegang. Seperti orang kaya dan
berpengaruh yang lain di situ, Tuan Albert mahu kelihatan bergaya dan
tidak mahu dikatakan tidak mengikut peredaran zaman. Walaupun dia
mempunyai dua buah kereta Jaguar, matatu kesayangan itulah yang sering
dibawanya ke kawasan desa untuk bertemu dengan penduduk-penduduk
setempat yang bekerja di kilang rotinya. Kerana terlalu suka dengan
matatu, Tuan Albert tidak kisah memandu matatu hatta disangka
sebagai pemandu matatu sekalipun. Pernah sekali Tuan Albert memandu
sejauh lima puluh kilometer menghantar sekumpulan nenek dan beberapa
ekor anak lembu ke kampung halaman mereka kerana disangka dia pemandu
matatu.

“Malam semalam ibu kamu ada datang jumpa aku.. Dia suruh aku nasihatkan
kamu jika kamu datang berjumpa aku di sini.” Sambil menyeka peluh di
dahi, Tuan Albert duduk di bucu pagar yang hampir roboh dan menghela
nafas yang panjang.

“Ibu suruh tuan buat apa?” Watie terpinga-pinga.

“Ibu kamu cakap, kamu tak ada cukup wang tapi kamu nak beli matatu aku
ni. Hidup kamu semua kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Ibu
kamu mahu kamu hidup di dunia yang nyata. Katanya kamu tak mampu,” jawab
Tuan Albert tanpa berselindung.

“Jadi tuan dah tahu saya akan datang jumpa tuan?” Watie mengetip bibir
sambil berfikir apakah tindakan ibunya itu waras.

“Ya… lebih kurang.” Tuan Albert menggaru pipinya yang digigit seekor nyamuk.

"Saya memang minat tuan. Tapi, saya ingat tuan mahu jual matatu kuning
tuan yang berkilat itu." Sambung Watie . Tuan Albert ketawa besar
mendengar niat Watie yang sudah seperti angan-angan Mat Jenin.

"Oh... Matatu tu aku nak bawa pulang ke Amerika. Tapi, yang ini aku
nak tinggalkan di sini. Kalau kamu nak, aku akan jual dengan harga 200
Dollar Amerika." Tuan Albert membuat penawaran.

“200 Dollar Amerika?” soal Watie sambil berkira-kira di dalam hati.

“Ambil atau awak boleh balik.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience