8 April 2001.
Aku membuka mata perlahan-lahan. Sinaran cahaya yang menjengah membuatkan mata aku terasa pinar. Aku mengerdipkan mata aku beberapa kali cuba mendapatkan fokus pandangan di sekitar bilik sederhana besar itu. Aku memandang sekeliling bilik yang aku rasakan cukup asing. Kemudian, aku menangkap sekujur tubuh yang kelihatan sugul di sisi aku.
“Atie dekat mana ini abang?” soal aku lemah, masih lagi dalam keadaan terpinga-pinga.
“Atie dekat hospital. Syukurlah Atie dah sedar” jawab Zhafran sambil mengukirkan senyuman lembut. Namun, riak kerisauan jelas terpancar di wajahnya.
“Apa yang dah berlaku?” tanya aku lagi cuba mengingati namun semuanya masih kabur. Seluruh tubuh aku terasa sengal.
“Vincent cederakan Atie” beritahu Zhafran sambil mengetap bibir. Aku perasan ada takungan mutiara jernih di kelopak matanya. Apabila nama Vincent disebut, barulah aku dapat mengingati dengan jelas kejadian pada malam itu. Bayangan wajah Vincent yang bengis membuatkan aku menjadi gerun. Pantas aku memejamkan mata aku rapat cuba menghalau bayangan itu.
“Atie takut, abang” rintih aku lirih. Mata aku sudah digenangi air mata ketakutan. Kenangan malam itu yang menerjah ingatan membuatkan jantung aku berdegup kencang.
“Shhh.. abang kan ada. Atie dah selamat. Vincent pun sudah ditangkap” tutur Zhafran melegakan gelora ketakutan di hati aku.
“Abang janji jangan tinggalkan Atie. Jangan ke mana-mana. Atie takut” pinta aku masih diselubungi dengan trauma. Zhafran menghampiri aku sambil menganggukkan kepalanya. Pandangan matanya memandang aku dengan simpati. Aku tidak tahu bagaimana keadaan aku waktu ini. Namun, seluruh urat sendi di tubuh aku bagaikan menegang sekali gus membuatkan aku merasa cukup lemah.
“Atie jangan bimbang. Abang sentiasa ada di sisi, Atie. Atie jangan fikir yang bukan-bukan ya. Rehat dulu” pujukan Zhafran menenangkan aku. Sedikit demi sedikit kehadiran dan pujukan Zhafran membuatkan aku merasa selamat. Bayangan Vincent juga semakin menghilang.
“Terima kasih, abang. Terima kasih kerana selamatkan Atie” ucap aku dengan linangan air mata. Aku masih ingat kehadiran Zhafran telah berjaya menyelamatkan aku daripada menjadi mangsa Vincent.
“It’s okay, sayang. Atie kan bawah tanggungjawab abang. Dah, tak nak nangis. Kesat air mata tu” ucap Zhafran membuatkan aku terharu. Cukup terlalu banyak budi lelaki ini kepada aku. Terpancar jelas kasih sayangnya sebagai seorang abang kepada aku. Aku memang cukup bertuah kerana memiliki seorang sahabat, seorang abang yang sangat melindungi dan menyokong aku walau dalam keadaan apa sekali pun.
Zhafran mendapatkan tuala kecil lalu dia menyeka air mata aku dengan perlahan. Aku hanya membiarkan perlakuannya, mungkin kerana sentuhan jari jemarinya di wajah aku berlapikkan tuala. Lagipun tubuh aku yang masih lemah membataskan pergerakan dan daya fikiran aku.
“Atie tak kesian ke tengok bibir abang ni? Gara-gara nak tunjuk hero, sempat juga si Vincent tu debik abang. Dah hilang macho abang ni tau” usik Zhafran cuba mengembalikan keceriaan di wajah aku. Aku hanya melemparkan senyuman nipis mendengar gurauannya.
“Tak fasal-fasal kurang dah peminat perempuan abang kan. Yang paling kasihan Kak Aisyah lah. Boyfriend dia dah tak handsome” aku membalas usikan Zhafran yang berjaya mengundang lirikan manja Zhafran. Aku hanya memerhatikan kesan bengkak di bibir Zhafran. Seandainya jika aku dapat menyentuh luka itu, namun itu semua tidak mungkin berlaku kerana antara aku dan Zhafran, hubungan kami tidak boleh melampau batas sempadan yang ditetapkan dalam agama.
“Pandai-pandai saja Atie ni. Kalau macam tu, Atie kena bayar ganti rugi lah sebab dah buat rupa abang yang handsome ni cedera” gurauan balas dari Zhafran membuatkan aku tergelak kecil. Aku tahu sangat apa yang dimaksudkan oleh Zhafran.
“Atie tahu, nanti balik Malaysia Atie belanja abang aiskrim poli okay?” balas aku. Setiap kali berlaku perselisihan di antara aku dan Zhafran, setiap kali kesalahan sama ada dari pihak aku atau Zhafran, kami menggunakan aiskrim polipop sebagai tanda damai atau permaafan. Aiskrim yang menjadi kegemaran aku dan Zhafran sejak kecil sampai kini. Cuma, bila dah berada di negara empat musim ini, mana nak dapatkan aiskrim polipop lagi.
“Kalau abang nak request yang lain boleh?” soal Zhafran dengan nada yang berubah lembut. Matanya tunak memandang mata aku dengan satu pandangan yang sukar untuk aku tafsir. Entah kenapa aku rasakan matanya merenung aku dengan sinar yang cukup berbeza. Renungannya yang berjaya membuatkan hati aku bergetar hebat. Perasaan ini adakah hanya aku yang perasan sendiri? Oh, hati. Hentikan lah rasa bahagia ini. Aku tidak mahu jatuh cinta pada seorang lelaki yang telah berpunya. Aku mengalihkan pandangan mata aku ke lain. Aku bimbang jika semakin lama mata kami bertentangan, hati aku akan kalah. Kalah dengan rasa rindu dan cinta yang semakin berbunga di dalam hati aku ini.
Tiba-tiba, pintu bilik diketuk dari luar. Muncul seorang jururawat berbangsa negro. Di sampingnya dua orang lelaki kulit putih yang lengkap berjaket hitam. Mereka memperkenalkan diri sebagai detektif yang sedang menjalankan soal siasat terhadap kes aku. Rupa-rupanya, tragedi ngeri yang menimpa aku ini sudah sampai ke pengetahuan kedutaan Malaysia di London dan MARA selaku penaja biasiswa aku ke sini. Zhafran turut mengkhabarkan berita ini kepada ibu dan abah di Malaysia.
Menurut Zhafran, dalam masa dua atau tiga hari lagi abah akan datang melawat aku. Abah berkeras untuk datang ke Coventry biarpun Zhafran menghalang. Yalah, bukan murah tambang yang perlu dikeluarkan untuk sampai ke sini. Dengan gaji abah sebagai kakitangan bawahan kerajaan, pasti berhabis duit simpanan yang perlu dikeluarkan bagi membolehkan abah sampai di sini. Jika diikutkan, ibu juga ingin turut datang ke sini. namun keadaan kewangan tidak mengizinkan. Nampaknya, tragedi yang menimpa aku telah meletakkan ibu dan abah dalam kerisauan. Hati aku dipagut bimbang, tidak pasti bagaimana penerimaan abah jika melihat keadaan aku ini.
Share this novel