BAB 10

Romance Completed 6489

25 Disember 2002.

Aku berjalan menyusuri jalan menuju ke taman kecil berhampiran kawasan penginapan kami di Residential Street Coventry. Suhu yang benar-benar berada di bawah takat beku tidak aku hiraukan. Peliknya, tubuh aku seakan-akan imun dengan cuaca sejuk. Langsung tiada rasa. Sebaliknya, hati dan perasaan aku yang lebih dingin dan beku. Aku melabuhkan duduk di atas bangku yang mengadap tasik yang sudah beku airnya. Keindahan taman yang memutih langsung tidak berjaya mendamaikan gelodak perasaan yang sedang bermain di jiwa aku.

Fikiran aku masih lagi berpusat pada kejadian yang baru ku saksikan sebentar tadi. Kelibat wanita cantik bertudung yang sedang berdamping mesra dengan Zhafran kembali terbayang di ruang mata aku. Tidak aku sangka kepulangan aku ke rumah disambut dengan ilai tawa Zhafran yang sedang rancak berbual dengan seseorang di ruang tamu. Keadaan itu menggamit rasa ingin tahu aku. Mata aku menangkap figura seorang perempuan. Siti Aisyah! Aku cukup kenal dengan susuk tubuh tinggi lampai itu.

Ya, kegembiraan Zhafran telah kembali. Masakan tidak, senyuman Zhafran cukup lebar saat bersama Siti Aisyah tadi. Sebuah senyuman yang sudah lama hilang dari wajahnya sejak kami bergelar suami isteri. Gembiranya lelaki itu apabila bersama dengan orang yang disayangi. Mungkin inilah saatnya aku perlu mengembalikan kebahagiaan Zhafran. Walaupun hati aku pedih terluka. Tetapi aku perlu tabah dan melawan setiap keperitan yang aku rasa. Hati aku perlu kuat kerana tidak lama lagi Zhafran pasti menuntut aku melakukan pengorbanan demi kebahagiaannya pula. Saat itu, walaupun aku terpaksa tetapi aku harus rela kerana aku benar-benar mencintainya. Biarpun cinta aku ini tiada harga di matanya. Salah aku sendiri kerana menyerahkan cinta dan rindu aku pada lelaki yang bukan milik ku. Lelaki yang aku miliki hanya kerana ikatan yang tertulis di atas kertas.

Mata ku pejamkan rapat. Aku menarik dan menghembuskan nafas berat. Suasana taman yang agak sunyi benar-benar menambahkan rasa sepi di jiwa aku. Kesepian inilah yang bakal menemani hidup aku yang mendatang apabila Zhafran tidak lagi menginginkan aku hadir dalam hidupnya.

“Assalamualaikum” aku membuka mata saat mendengar salam yang diucapkan oleh satu suara garau. “Waalaikumsalam” salam lelaki itu ku sambut. Susuk tubuh yang dibaluti dengan jaket tebal dan mafela di leher ku pandang. Aryan Daniel! Aku benar-benar terkejut dengan kemunculan lelaki ini. Lelaki yang pernah menjadi rakan sekelas aku di sekolah rendah dan sekolah menengah. Lelaki ini juga menjadi teman kuliah ketika kami sama-sama belahar di peringkat A-Level. Ya, memang kebetulan yang tidak disengajakan apabila aku dan Aryan Daniel mendapat peluang belajar di tempat yang sama.

“Awak sihat?” terpacul soalan itu di bibir Aryan Daniel apabila melihat aku diam.

“Alhamdulillah, aku sihat. Kau buat apa dekat sini?” wajah lelaki yang sudah melabuhkan duduknya di sisi aku ku kerling sekilas. Situasi itu sedikit sebanyak membuatkan aku merasa canggung. Sengaja aku menggunakan kata ganti nama kau-aku. Biar lelaki ini jelas dengan perasaan aku saat ini.

Perkenalan aku dan Aryan Daniel bermula dengan rasa benci. Aku benci kenakalan lelaki ini kerana dia tidak pernah jemu mengutuk dan membuli aku. Namun, itu hanyalah cerita zaman kanak-kanak kami. Masuk ke sekolah menengah, Aryan Daniel sudah tidak lagi membuli aku. Tetapi, hubungan persahabatan di antara aku dan Aryan Daniel tidak pernah menjadi rapat. Aku tidak tahu kenapa. Mungkin kerana aku sudah ada Zhafran yang sentiasa menemani aku.

“Kan saya dah beritahu awak dalam e-mel. Saya akan datang mencari awak di sini masa cuti Krismas” balas Aryan Daniel perlahan. Aku memang tidak menyangka sama sekali Aryan Daniel benar-benar mengotakan apa yang dikatanya. Dia sanggup meredah musim sejuk ini dari London untuk berjumpa dengan aku. Entah dari mana dia mendapatkan alamat aku sedangkan aku tidak pernah sekalipun membalas setiap e-melnya.

Aku mendengus rimas. Rimas dengan cinta yang ditagih oleh Aryan Daniel. Lelaki ini tidak pernah faham dan tidak pernah mencuba untuk faham. Sejak kami mengikuti persediaan A-Level, Aryan Daniel tidak pernah jemu mengejar cinta aku. Dialah, lelaki pertama yang meluahkan kata cintanya pada aku. Dan kerana rasa ingin dicintai, aku menerima cinta Aryan Daniel. Memang aku bodoh kerana mempercayai lelaki ini. Rupanya, dia tidak pernah jujur dengan perasaannya terhadap aku. Dia memilih aku hanya kerana ingin memenangi pertaruhan yang dibuat dengan temannya. Selayaknya aku diejek dan dimalukan di depan teman-temannya. Ya, aku memang bodoh. Siapalah diri aku ini waktu itu untuk mendapat cinta lelaki tampan seperti Aryan Daniel. Jika difikirkan dengan logik, mana layak aku yang bertubuh seperti tong dram ini berdamping di sisi Aryan Daniel yang tegap lampai itu.

Sehingga kesannya membuatkan aku hampir kecundang dalam pengajian aku. Mujurlah, kata-kata semangat daripada Zhafran menjadi kekuatan aku. Setiap hari, Zhafran tidak pernah gagal menghubungi aku melalui telefon untuk memastikan aku bangkit dari kekecewaan. Dia sanggup berhabis duit membuat panggilan pada aku dari England.

“Maafkan saya di atas segala kekhilafan saya dulu. Saya benar-benar menyesal, Atie. Saya,..saya ingin kembali semula pada awak” sejak dua tahun yang lalu, kata-kata itulah yang sering dititipkan dalam setiap kiriman e-mel lelaki ini. Setiap e-mel yang pasti akhirnya akan ku hapuskan ke dalam thrash bin. Sangka aku dengan berdiam diri lelaki ini akan lelah. Tapi ternyata aku silap.

“Sudahlah, Aryan. Aku maafkan kau. Aku sudah lupakan semuanya” ujar aku perlahan. Beban masalah di antara aku dan Zhafran lebih berat jika dibandingkan dengan Aryan Daniel. Apalah sangat kemaafan yang aku berikan seandainya ia mampu menjadi titik noktah rasa bersalah Aryan Daniel terhadap aku.

“Jadi, awak terima saya kembali?” tanya Aryan Daniel dengan nada ceria. Tangan aku yang bersarung tangan dicapai dan digenggamnya. Terkejut aku dengan tindakan spontan Aryan Daniel.

“Tidak, Aryan. Aku harap hubungan kau dan aku hanya akan kekal sebagai kawan” tegas aku. Aku merentap pegangan tangannya. Aku sudah tidak betah berlama di situ. Aku mengangkat punggung untuk berlalu pergi meninggalkan Aryan Daniel.

“Tapi, saya cintakan awak, Atie” luah Aryan Daniel masih tidak berputus asa. Laungannya yang agak kuat membuatkan langkah aku terhenti. Mungkin aku perlu beritahu perkara sebenar kepada Aryan Daniel. Alasan yang mungkin akan menghentikan hasrat lelaki ini untuk kembali kepada aku.

“Maafkan aku, Aryan. Aku sudah berk..” kata-kata aku terhenti saat aku terpandangkan susuk tubuh Zhafran yang sedang tajam merenung aku. Dengan wajah yang tanpa reaksi, Zhafran menghampiri aku. Pantas tangan aku digenggamnya.

“Kat sini rupanya, sayang. Puas abang cari tadi. Sayang buat apa dekat dalam salji ni. Tak sejuk ke?” lembut sekali nada suara Zhafran mengundang rasa pelik di hati aku. Tubuh aku dirapatkan ke tubuhnya. Bahu aku dipeluknya erat. Satu tindakan untuk mengalirkan haba ke tubuh aku. Haba itu cukup berbahang sehingga mampu membuatkan wajah aku berubah merah. Sayang! Zhafran tidak pernah memanggil aku dengan panggilan itu.

“Err..Atie..” kata-kata aku mati. Otak aku juga beku untuk memikirkan ayat yang sesuai.

“Apa khabar, Aryan?” pandangan Zhafran sudah beralih ke arah Aryan Daniel yang masih tercegat merenung aku. Masakan Zhafran tidak mengenali dan mengingati nama lelaki yang suatu ketika dulu sering meniti di bibir aku ketika berbicara dengannya. Bukan sahaja Aryan Daniel yang keliru, aku juga pelik dengan perubahan yang ditunjukkan Zhafran.

“Err..Baa..Baik. Kau?” balas Aryan Daniel tergagap-gagap. Huluran tangan Zhafran disambut dengan teragak-agak oleh Aryan Daniel. Wajah Zhafran berubah serius ketika bertentang mata dengan Aryan Daniel.

“Aku sihat. Kau buat apa dekat sini?” Zhafran mengulangi pertanyaannya kepada Aryan Daniel pula.

“Aku datang ke sini kerana Atie. Aku hendak dia kembali pada aku” jawab Aryan Daniel dengan tegang.

“Aa..apa yang kau merepek ni, Aryan?” soal aku terketar-ketar. Tidak pasti aku menggigil kerana kesejukan cuaca atau kerana debar yang melanda hati aku.

“Saya cintakan awak, Atie. Dan akan tetap terus cintakan awak” luah Aryan Daniel berterus-terang.

“Too bad, Aryan. Berani kau bermain cinta dengan isteri orang. Nasib baik aku kenal kau, Aryan. Kalau suami lain dah lama kau makan penumbuk” tiba-tiba Zhafran mencekak kolar jaket milik Aryan. Situasi yang tegang itu benar-benar mencemaskan aku.

“Dahlah tu, abang. Jom kita balik” aku memaut lengan Zhafran, cuba meredakan bahang yang mula terasa. Perlahan-lahan Zhafran melepaskan pegangannya di jaket Aryan Daniel.

“Suami? Apa maksud semua ini, Atie?” ternyata kata-kata Zhafran berjaya mengundang kejutan di wajah Aryan Daniel. Jelas kekecewaan di wajah Aryan Daniel.

“Aku dan Zhafran sudah bernikah” tutur aku mengiakan kata-kata Zhafran.

“Sampai hati awak buat saya macam ini, Atie” tingkah Aryan Daniel berani. Sedikit pun dia tidak ingin berselindung perasaannya di hadapan Zhafran. Aku perasan riak wajah Zhafran sudah berubah tegang.

“Antara kita sudah lama tamat, Aryan. Get rid of it. Tidak perlu simpan rasa bersalah kerana aku sudah lama maafkan kau. Aku harap selepas ini, kau tak hubungi aku lagi. Abang, jom kita balik” putus aku sebelum keadaan menjadi lebih rumit. Aku menarik tangan Zhafran sekali lagi namun lelaki itu masih tidak berganjak.

“Kau fahamkan apa yang isteri aku cakap? Sebagai suami, aku harap selepas ini kau tidak akan mengganggu Atie lagi. Dan jangan sekali-kali berani memegang isteri orang walaupun tangan engkau berlapik” suara Zhafran dalam nada tegas. Pegangan tangan aku dikemaskan sebelum kami melangkah meninggalkan Aryan Daniel yang masih termangu.

“Saya tetap akan tunggu awak, Atie” dari jauh aku masih dapat menangkap laungan suara Aryan Daniel walaupun kedengaran sayup.

Di sepanjang perjalanan ke rumah, aku mengerling ke wajah Zhafran. Ingin aku menebak perasaannya saat itu, namun gagal. Zhafran hanya menyepikan diri sehinggalah sampai ke rumah. Hati aku pula menjadi tidak keruan dengan kesepian Zhafran. Aku mahu bersuara tetapi tidak berani. Jiwa aku semakin di tebak rasa serba salah apabila melihat Zhafran melangkah ke tingkat atas meninggalkan aku. Aku hanya mengekori langkahnya ke atas. Tubuh aku sedikit menggigil kerana kesejukan dek terlalu lama berada di luar.

“Lain kali, kalau nak ke mana-mana beritahu abang dulu. Jangan terlalu pentingkan diri sendiri. Fikirkan juga orang di sekeliling Atie. Hidup itu kalau tak menyusahkan orang boleh tak?” sinis tutur kata Zhafran tiba-tiba apabila dia menghentikan langkahnya. Hilang sudah bicara lembutnya ketika di hadapan Aryan Daniel tadi. Tajamnya kata-kata itu seperti sembilu yang menikam kalbu aku. Pedihnya bagaikan disayat-sayat sakitnya.

“Atie minta maaf. Atie tak berniat nak susahkan abang. Atie cuma hendak ambil angin di taman” bela aku menahan tangis.

“Elok sangatlah tu. Ambil angin dengan bekas kekasih. Berdua-duaan dengan lelaki bukan muhrim di taman. Tanpa pengetahuan abang pula tu. Perempuan jenis apa Atie ni?” nada suara Zhafran semakin keras dan kasar. Bait-bait ayat yang meniti di bibirnya juga semakin menghiris pilu hati aku.

“Abang! Atie cuma terserempak dengan dia. Atie…” kata-kata aku mati di situ. Melihat wajah Zhafran yang menyinga membuatkan aku kehilangan kata. Tiada guna aku cuba mempertahankan dan membela diri di atas apa yang telah terjadi.

“Kalau sudah kemaruk sangat rindukan Aryan tu, beritahu abang. Abang boleh teman kan Atie jumpa dia di rumah. Tak perlu menyeksa diri di tengah-tengah salji tebal semata-mata kerana nak memadu kasih” perli Zhafran. Kali ini aku benar-benar sudah tidak mampu menerima tujahan ayat yang cukup pedas itu. Air mata aku juga sudah bertakung. Kenapa aku rasakan Zhafran cukup kejam saat itu. Apa salah aku sehingga selayaknya aku diherdik begitu. Salah aku cuma keluar ke taman tanpa pengetahuannya. Itu pun kerana aku tidak ingin mengganggu saat-saat bahagia Zhafran bersama Siti Aisyah.

“Sampai hati abang tuduh Atie begitu. Walaupun Atie ini cuma isteri di atas kertas, Atie masih tahu batas Atie. Atie sedar kedudukan Atie. Kalaupun Atie ini sudah menjadi beban yang tidak mampu abang galas lagi, kalaupun abang sudah tidak mahukan Atie lagi, janganlah herdik Atie begitu, abang. Beritahu Atie elok-elok. Dengan rela hati, Atie akan pergi. Apa yang penting bagi Atie, abang bahagia” ucap aku sayu dan terus melangkah ke dalam bilik tidur aku. Saat pintu bilik ku tutup, air mata yang ku jatuh berguguran membasahi pipi. Menangis lah hati. Menangis lah sepuas-puasnya. Aku akhirnya tertidur dalam kepenatan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience