30 Ogos 2002.
Sudah setahun aku telah sah menjadi isteri kepada Zhafran. Hari ini merupakan ulang tahun perkahwinan kami yang pertama. Aku memandang sepi kotak hadiah yang berbungkus cantik di tepi katil aku. Hadiah jam tangan yang telah aku siapkan sejak seminggu yang lalu. Wajar kah aku menyambut ulang tahun pernikahan kami yang tidak pernah membawa apa-apa erti bagi Zhafran? Tambah-tambah lagi, hubungan aku dengan Zhafran juga sudah tidak serapat dulu. Zhafran begitu dingin terhadap aku kini. Tiada lagi gurau senda yang menghiasi perhubungan kami. Tiada lagi kemesraan dalam setiap layanannya terhadap aku. Tiada lagi luahan bicara yang sering dikongsi bersama aku. Cuma, perhatian dan sikap ambil berat nya yang tidak pernah berubah. Mungkin kerana terikat dengan janjinya pada abah untuk menjaga keselamatan aku di sini. Kami ibarat seperti dua orang asing yang tinggal di bawah bumbung yang sama. Zhafran kini cukup berbeza dengan Zhafran yang aku kenali dulu.
Mungkin Zhafran sudah mula merasa terbeban kerana terpaksa akur dengan ikatan janji yang dia sendiri ikrarkan pada abah aku. Mungkin juga dia sudah penat bersabar menanggung penderitaan semata-mata kerana berkorban untuk masa depan aku. Atau mungkin Zhafran sudah bosan berhadapan dengan aku. Seorang perempuan yang hanya layak menjadi sahabat dan bukannya isteri!
Aku cukup merasa serba salah kerana aku diibaratkan seperti seketul batu berat yang terpaksa dipikul oleh Zhafran. Kerana aku Zhafran terpaksa terus berada di sini walaupun dia telah berjaya menamatkan pengajian ijazah nya. Mujurlah dia mengambil keputusan menyambung pengajiannya di peringkat sarjana, sementara menunggu aku di sini. Setidak-tidaknya hati ini tidak terus dihambat rasa bersalah yang teramat sangat. Jika aku tahu begini pengakhirannya, pasti aku tidak akan membiarkan diri aku terjebak dengan ikatan pernikahan ini. Kenapa aku bersetuju bernikah dengan Zhafran? Semuanya kerana janji antara aku dan Zhafran tentang perkahwinan kami ini. Janji yang kini menghiris pilu hati dan perasaan aku sendiri.
“Cukuplah, abang. Jangan buat Atie terus rasa bersalah dengan abang. Dah banyak abang berkorban untuk Atie. Takkan abang sanggup korbankan masa depan abang semata-mata kerana ingin pastikan Atie menamatkan pengajian Atie di sini. Atie tak mahu berjaya di atas penderitaan abang” suara aku pada Zhafran sebaik kami ditinggalkan berdua di wad hospital. Aku menghalakan pandangan ke susuk tubuh Zhafran yang sedang membelakangi aku. Pandangannya jauh ditebarkan ke luar jendela.
“Atie hendak terus belajar di sini atau tak?” tanya Zhafran ringkas tetapi cukup tegas kedengaran di telinga aku.
“Memang Atie sayangkan study Atie di sini, tapi Atie..”
“Kalau begitu, abang sanggup buat apa saja asalkan impian Atie terlaksana. Hanya pernikahan jalan penyelesaiannya. Abang akan bahagia kalau Atie bahagia” potong Zhafran. Hati aku benar-benar terusik dengan kata-katanya. Bertuah sekali diri aku ini kerana mempunyai seorang sahabat seperti Zhafran.
“Atie tak sanggup abang. Pernikahan mungkin penyelesaiannya sekarang. Tapi, bagaimana nasib ikatan pernikahan ini pada masa depan? Selama ini, kita bahagia bersama kerana ikatan persahabatan kita. Tapi, bolehkah kita bahagia sebagai suami isteri? Atie tak nampak abang” sangkal aku. Jika pernikahan ini benar-benar berlaku, mungkin hanya aku yang berbahagia dengan ikatan ini. Aku tidak mahu membina mahligai perkahwinan dengan hanya bertepuk sebelah tangan.
“Kita akan fikirkan kemudian untuk masa depan perkahwinan kita. Yang penting, apa yang kita perlu buat sekarang. Cuba Atie fikirkan betul-betul. Pernikahan kita boleh menyelamatkan banyak perkara. Abah Atie tidak perlu berhutang keliling pinggang untuk membayar balik biasiswa. Atie sanggup biarkan abah Atie berhutang sepanjang hayat? Itu tidak termasuk duit yang terpaksa dibayar untuk pendaftaran pengajian Atie di Malaysia. Dan, Atie boleh terus mengejar cita-cita Atie di sini” tingkah Zhafran meyakinkan aku. Kata-katanya itu membuatkan aku berfikir dua kali. Memang aku akui alasan-alasan Zhafran itu mempunyai rasionalnya. Keluarga aku memang tidak mempunyai kedudukan kewangan yang stabil. Abah hanya bekerja sebagai pembantu am rendah di pejabat SUK. Manakala, ibu hanyalah suri rumah. Dengan memikul tanggungan tiga orang adik aku yang masih belajar di sekolah menengah dan rendah lagi. Memang kehidupan kami hanya cukup-cukup makan sahaja.
“Tapi, macam mana dengan Kak Aisyah? Pernikahan ini akan melukakan ramai orang” tanya aku dengan nada suara yang sedikit kendur. Aku dapat mengesan kelegaan di wajah tegang Zhafran.
“Dia akan faham. Atie jangan bimbang. Jadi, setuju dengan cadangan abang?” ujar Zhafran sekali lagi meyakinkan aku.
“Tapi, Atie tak sampai hati abang. Atie…” kata-kata aku terhenti. Aku kehilangan kata. Apakah lagi alasan yang mampu aku berikan untuk menolak saranan Zhafran.
“Sekarang, fikirkan masa depan Atie dulu. Atie satu-satunya harapan uncle dan aunty. Contoh pada adik-adik Atie. Bukan senang untuk mendapat peluang belajar di tempat orang. Ditambah pula zaman kegawatan ekonomi sekarang” tukas Zhafran apabila dilihatnya aku masih lagi berat untuk bersetuju. Kata-kata Zhafran itu tidak ada sedikit pun yang salah.
Aku menarik nafas panjang. Cuba mencari kekuatan. Cuba mendapatkan sokongan. Berat sekali kata putus yang harus aku buat ini. Tapi, apabila memikirkan kesusahan yang bakal ditanggung oleh abah dan ibu aku tekad untuk mengikuti cadangan Zhafran. Maafkan Atie, Kak Aisyah. Lantas aku menganggukkan kepala menyatakan persetujuan aku dalam diam. Zhafran tersenyum nipis.
“Tapi, dengan syarat” bungkam aku menelan liur pahit. Persetujuan aku menuntut pengorbanan yang bukan sedikit dari Zhafran. Dan setiap pengorbanan yang diberikan membuatkan hati aku ini semakin terikat dengannya. Semakin kuat sehingga saat ini aku rasa terlalu sukar untuk aku buang rasa cinta yang mengisi ruang hati aku ini. Tetapi, aku tidak boleh hanya mementingkan apa yang aku rasa. Aku juga ingin berkorban demi kebahagiaan Zhafran. Kebahagiaan Zhafran untuk bersama dengan gadis yang dicintainya. Cintanya yang telah berjaya dicuri oleh Siti Aisyah. Dan aku hanya mampu meraih kasih sayang Zhafran sebagai sahabat.
“Janji dengan Atie. Seandainya suatu hari nanti, abang terasa terbeban dengan ikatan pernikahan ini, seandainya abang sudah lelah menjaga Atie, jangan terus memaksa diri abang kerana Atie. Atie akan terima dengan hati yang reda jika abang sudah tidak perlukan Atie dalam hidup abang lagi. Atie tidak akan sekali-kali menghalang abang untuk bahagia. Janji dengan Atie” beritahu aku lirih. Suatu hari nanti aku yakin, pasti ada pengakhiran pada pernikahan yang dibina tanpa ikatan cinta ini. Pandangan mata aku menjadi kabur dengan mutiara jernih.
“Abang janji. Untuk sementara waktu, ini adalah yang terbaik untuk kita. Atie jangan bimbang, suatu hari nanti abang sendiri yang akan minta Atie untuk berkorban demi kebahagiaan abang” tutur Zhafran. Ya, pernikahan yang hanya sementara! Jika tiba saat itu, aku berdoa semoga diberikan kekuatan untuk aku melepaskan Zhafran pergi dari hidup aku.
Lamunan aku yang panjang dikejutkan dengan bunyi loceng yang bertalu-talu. Pantas, aku mengesat air mata yang menjamah pipi ku. Aku beristighfar di dalam hati. Memohon ketabahan untuk aku mengharungi perjalanan hidup aku. Langkah aku ayun ke ruang tamu di tingkat bawah.
“Kenapa lambat sangat nak buka pintu?” soal Zhafran dingin. Wajah yang selama ini sering mengukirkan senyuman mesra buat aku, kini hanya memandang aku dengan beku.
“Atie minta maaf, abang. Atie tak sedar” ucap aku perlahan. Pelik. Selalunya Zhafran membawa kunci rumah bersamanya.
“Itulah, berangan saja tahu. Mana nak dengar kalau kepala tu asyik berkhayal!” perli Zhafran membuatkan aku menundukkan wajah. Aku sedaya upaya menahan tubir mata aku yang sudah semakin panas. Tanpa mempedulikan aku, Zhafran terus menapak laju menaiki tangga menuju ke biliknya. Di situlah kebanyakan masanya dihabiskan. Memerap di dalam bilik jika tidak mempunyai kuliah. Dan begitu juga aku. Dunia aku hanyalah di dalam bilik aku sendiri.
Aku memujuk hati yang rawan dengan membawa diri ke dapur. Aku ingin siapkan makan malam yang romantis buat kami berdua. Malam ini aku memang sudah merancang untuk menyediakan menu istimewa kegemaran Zhafran- Nasi beriani ayam. Walaupun hubungan di antara aku dan Zhafran dingin, namun aku tidak berhak untuk berkecil hati. Pengorbanan Zhafran terhadap aku sudah terlalu besar dan aku benar-benar menghargainya. Sekurang-kurangnya, sisa waktu yang ada untuk aku bersama dengannya, aku ingin isikan dengan kenangan-kenangan yang indah dan membahagiakan. Jika takdir menentukan suatu hari nanti kami tidak lagi bersama, paling tidak aku masih memiliki kenangan untuk menemani hidup aku.
Tepat pukul tujuh malam, aku telah siap memasak, cuma belum dihidangkan di atas meja makan. Sebaik aku melangkah ke kamar tidur untuk membersihkan diri, aku terserempak dengan Zhafran yang sudah bersiap seperti ingin keluar.
“Abang ada discussion dengan Peter. Make sure, pintu semua kunci. Kalau bunyi loceng, jangan terus buka pintu. Tengok dulu siapa yang datang. Kalau ada apa-apa hal terus call abang” pesan Zhafran sambil menyarungkan jaket kulitnya di badan.
“Err…Abang balik pukul berapa?” tanya aku. Terbit rasa kecewa di dalam hati aku. Angan aku untuk makan malam bersama dengan Zhafran nampaknya hanya tinggal mimpi.
“Tak pasti lagi. Maybe dalam pukul 10 lebih” balas Zhafran tanpa memandang aku.
“Abang tak nak makan malam dulu? Atie dah siapkan” soal aku lagi. Tidak mengapalah kami tidak dapat melalui detik makan malam bersama seperti yang dirancang. Sekurang-kurangnya masakan yang ku masak dijamah olehnya.
“Tak perlu. Abang makan dekat luar” jawapan Zhafran benar-benar mengundang pilu di hatiku.
“Tapi, Atie dah masak banyak untuk kita berdua. Membazir pula kalau abang tak makan. Jom lah kita makan dulu ya” ajak aku lembut masih berusaha memujuk Zhafran menjamah sedikit air tangan aku. Dua jam aku berhempas pulas menyediakan menu kegemaran Zhafran. Terasa ralat pula jika Zhafran tidak merasainya.
“Kenapa pandai-pandai masak tak tanya abang dulu? Menyusahkan betullah” intonasi keras Zhafran benar-benar menyentak aku. Sejak bila aku perlu bertanya sebelum memasak? Bukankah selama ini, setiap malam tugas aku memasak untuk kami berdua. Apalah sangat pilihan yang ada apabila berada di luar negara. Kedai halal yang ada pun agak terhad dan mahal.
“Atie minta maaf. Tak apalah, abang. Lain kali kalau abang tak nak makan di rumah, abang beritahu Atie awal-awal ya” ujar aku seraya melangkah naik ke tingkat atas. Nampaknya kini, ajakan aku juga menjadi beban bagi Zhafran. Tidak mengapalah. Aku tidak mempunyai hak untuk memaksanya. Jika permintaan aku membuatkan Zhafran merasa terseksa, jadi aku tidak akan mengajaknya untuk menuruti lagi selepas ini. Biarlah hati ini merasa terluka, seandainya luka ku ini bisa menjentik bahagia kepada Zhafran.
Malam itu, hari ulang tahun perkahwinan kami yang aku rancang untuk menyambutnya bersama dengan Zhafran hanya tinggal rancangan. Selera aku turut mati untuk menjamah nasi beriani. Akhirnya aku tertidur dengan perut kosong dalam linangan air mata. Aku tidak memiliki kenangan indah menyambut ulang tahun perkahwinan ku sendiri.
Share this novel